TERKINI

YPW mahu gerakkan semula Yayasan Pemimpin Muda Islam

YPW mahu gerakkan semula Yayasan Pemimpin Muda Islam

19/06/2017 1:19pm


Abdul Rahim


ALOR GAJAH - Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik akan mengusulkan semula kesinambungan penubuhan Yayasan Pemimpin Muda Islam kepada kerajaan dalam tempoh terdekat sebagai pusat rujukan negara serta pertubuhan Islam di dunia.

Beliau berkata, sebelum ini yayasan tersebut berjaya menghimpunkan peserta dari 57 buah negara dalam persidangan antarabangsa bagi memusatkan idea mengenalpasti perancangan ekonomi dalam kalangan negara Islam yang akan memberi manfaat bersama.

"Kita mahu memberikan pendedahan kepada pemimpin muda Islam yang bukan sahaja bertenaga tetapi berwawasan melihat perkara-perkara yang perlu diperjuangkan pada masa hadapan.

"Kemajuan umat Islam boleh diubah dalam tempoh singkat menerusi pemikiran lebih canggih dari semua pemimpin muda di seluruh dunia dan negara kita menjadi bukti menerusi penghijrahan pembangunan dalam tempoh kira-kira 60 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya dan majlis berbuka puasa anjuran YPW di Sri Pantai, Pengkalan Balak di sini semalam.

Katanya, beliau yakin Malaysia sebagai tuan rumah mampu memainkan peranan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menyalurkan maklumat berkaitan ekonomi, perniagaan dan peluang perdagangan dari seluruh dunia Islam.

"Yayasan ini akan menjadi platform untuk usahawan Islam menjadi sebahagian daripada rangkain perniagaan dunia Islam dan global.

"Kita juga bukan sahaja fokus kepada pemimpin Islam tetapi akan memastikan solidariti pemimpin dari Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan sentiasa bersedia untuk berinteraksi," katanya.

Abdul Rahim memberitahu, yayasan tersebut bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kelancaran perlaksanaan tanpa perlu berhadapan dengan kerenah birokrasi. - K! ONLINE

Process time in ms: 32