TERKINI

Enam lokasi berisiko kemalangan jalan raya di Kelantan dipantau

Enam lokasi berisiko kemalangan jalan raya di Kelantan dipantau

19/06/2017 10:50am


Gambar hiasan


GUA MUSANG - Polis Kelantan akan membuat pemantauan di enam lokasi merbahaya di tiga jalan utama di Kelantan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lokasi itu membabitkan Kilometer (KM) 311.1 dan 318.5 Jalan Kuala Krai - Gua Musang, KM 732 Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas dekat Lubok Jong.

Selain itu, di KM 290.2 Jalan Tanah Merah - Pasir Puteh hadapan JKR Machang, KM 37 Jalan Kota Bharu - Terengganu, KM 16.2 dan 16.8 Jalan Panglima Bayu - Rantau Panjang - Jeram Perdah.

"Kesemua lokasi itu akan dipantau anggota polis peronda supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat yang bermula semalam (18 Jun) hingga 2 Julai depan, sempena Hari Raya 2017 di Hentian Gua Musang di Kampung Tanah Puteh sini, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mahasan Mustafa dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Rajab Ahad Ismail. - K! ONLINE

Process time in ms: 31