SUKAN

Hubungan Alonso, McLaren harmoni

Hubungan Alonso, McLaren harmoni


ALONSO masih gagal memungut sebarang mata sepanjang perlumbaan musim ini dan hanya menamatkan satu perlumbaan daripada enam saingan yang disertai menyebabkan dia kecewa dengan prestasi McLaren.


LONDON – Ketua pasukan McLaren, Zak Brown mendedahkan bahawa tidak ada se­barang pertelingkahan berlaku antara Fernando Alonso dan pasukan itu kecuali mereka berkongsi rasa kecewa ekoran prestasi yang hambar sejak beberapa musim lalu.

Selepas beberapa kali gagal menamatkan perlumbaan kerana ma­­sa­lah kerosakan, McLaren bersama pembekal enjinnya, Honda masih menanti mata pertama yang mampu dikutip mereka pada perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini.

Alonso sekadar berjaya mena­matkan saingan dalam satu daripada enam perlumbaan setakat ini kecuali aksi di Monaco yang mana dia membuat keputusan untuk ber­aksi pada saingan Indy 500 kerana terlalu kecewa dengan masalah teknikal sering dihadapinya.

Situasi tersebut menyaksikan McLaren kini dilaporkan sudah ber­sedia untuk menamatkan kontrak kerjasama 10 tahun dengan pembekal enjin dari Jepun itu dan khabar angin mengatakan mereka mungkin akan kembali mendapatkan bantuan Mercedes.

“Saya fikir Fernando masih gembira dengan suasana di McLaren dan saya tidak fikir dia akan pergi dan menyertai pasukan lain kerana kami adalah paling utama baginya.

“Bagaimanapun, dia mahu ber­aksi dan bersaing pada peringkat yang lebih baik dan kami sangat me­ma­hami mengenai keinginannya.

“Hubungan McLaren dan Fernando dalam keadaan baik, setiap hari ia berjalan dengan lancar.

“Dia sangat kecewa, begitu juga kami. Masing-masing memiliki ra­sa kecewa kerana prestasi yang kami lalui ketika ini.

“Kami di McLaren mengakui bahawa kami memerlukan Fernando dan dia juga dengan jelas membe­ritahu bahawa dia mahu terus kekal di sini.

“Cuma kami memerlukan jentera yang lebih baik, itu adalah ke­utamaan kami ketika ini,” katanya.

– Agensi

Process time in ms: 32