SUKAN

United perlu dapatkan Lukaku

United perlu dapatkan Lukaku


LUKAKU merupakan antara pilihan terbaik dimiliki United sekiranya usaha mereka untuk mendapatkan Morata dan Belotti gagal.


LONDON – Bekas pemain Chelsea, Mi­chael Essien yakin penyerang, Romelu Lukaku masih boleh bekerjasama dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho pada saingan liga musim depan walaupun Mourinho pernah bertanggungjawab melepaskan pemain antarabangsa Belgium itu menyertai Everton pada 2014.

Menurut Essien, sekiranya penyerang sasaran United iaitu Alvaro Morata dan Andrea Belotti gagal diperoleh musim ini, Lukaku merupakan alternatif terbaik untuk Mourinho memperkuatkan jentera serangan United musim depan.

“Saya rasa United perlu meletakkan bidaan terhadap Lukaku. Sekiranya Mourinho mahu menggunakan khidmatnya dan Lukaku turut bersetuju untuk berhijrah ke sana, maka itu bermakna mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama.

“Kedua-dua individu ini sudah mempunyai pengalaman yang luas dan memiliki kebolehan tersendiri. Taktikal yang digunakan oleh Mourinho sesuai diaplikasikan dengan bakat Lukaku,” katanya.

Sebagai rekod, skuad The Red Devils kini sedang berusaha untuk mencari pengganti peledak berbisa, Zlatan Ibrahimovic yang tidak disambung kontrak baru-baru ini.

Situasi itu sekali gus meletakkan United dalam keadaan terdesak untuk mencari penyerang baharu pada saingan liga serta Liga Juara-Juara musim depan.

Dalam perkembangan sama, Essien yang kini meneruskan karier bersama pasukan Persib Bandung tidak menolak kemungkinan bahawa Lukaku, 24, lebih terbuka untuk kembali menyertai Chelsea. – Agensi

Process time in ms: 31