SUKAN

Misbun enggan tekan butang panik

Misbun enggan tekan butang panik


CHONG WEI tewas kepada pemain India pada pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta Khamis lalu.


BAKAL ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek melihat kekalahan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Khamis lalu dari sudut positif.

Katanya, beliau tidak akan mengganggu misi pemain berusia 34 tahun itu untuk memburu kejuaraan pertama pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti.

“Chong Wei sebenarnya tidak tahu dia adalah sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan corak permainan dia, jadi dia perlu sedar mengenai perkara itu. Mungkin dia juga keliru dengan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza sebelum ini,” katanya.

Sehingga kini, Misbun menjangkakan usaha melahirkan pemain badminton kebangsaan setanding Chong Wei akan mengambil masa 10 ke 20 tahun lagi berikutan tiada pelapis negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun itu.

“Ini terjadi pada semua negara. Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat, Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Viktor Axelsen.

“Perancangan jangka masa panjang sangat penting, maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada pembangunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu sahaja,” katanya yang bakal memulakan karier­nya sebagai ketua jurulatih perseora­ngan negara awal Julai depan.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super dan meraih gelaran berprestij termasuk tiga pingat perak Sukan Olimpik dan empat kejuaraan All England.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ’sebab peribadi’. – Bernama

Process time in ms: 32