RENCANA UTAMA

Ibrah di sebalik perang dalam Islam

Ibrah di sebalik perang dalam Islam

Ahmad Adnan (kiri), dan Muhamad Aizuddin membincangkan sesuatu memegang buku Ensiklopedia Perang Rasulullah yang baru dilancarkan baru-baru ini.


Buku Ensiklopedia Perang Rasulullah selain membawa kita mengimbau kembali zaman silam mengikut kronologi peperangan Rasulullah, ia juga mengupas sebab, taktikal, strategi serta analisis penglibatan Baginda dalam peperangan.

SELEPAS berpeluang membaca buku Ensiklopedia Perang Rasulullah yang dibelinya baru-baru ini, perasaan Halimatun Sa’adiah Rosli, 19, berasa hiba tatkala membayangkan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda dalam mengembangkan agama Islam.

Lebih memberi kesan jauh di dalam lubuk hatinya apabila Baginda dan sahabat sanggup berjuang dalam perang Badar demi untuk menegakkan Islam walaupun dalam masa yang sama sedang menjalani ibadah puasa.

“Dalam keadaan berpuasa, tentera Islam mengerah kudrat untuk memastikan agama Islam terbela. Saya begitu kagum dengan semangat juang mereka,” kata pelajar tahun satu Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) itu.

Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun Kedua Hijrah di Hijaz, di bahagian barat Semenanjung Arab (kini Arab Saudi) itu merupakan antara perang besar dalam Islam dan disertai Rasulullah.

Perang Badar tercetus selepas Kafilah Abu Sufyan yang dalam perjalanan membawa hasil dagangan bernilai kira-kira 50,000 dinar (RM40.8 juta) dari Syam ke Mekah telah menghantar utusan meminta bantuan tentera Musyrikin Quraisy Mekah selepas mengetahui rombongan mereka akan diserang tentera Muslimin.

Bantuan


Ibrahim mengakui banyak menimba ilmu berkaitan perang zaman Rasulullah selepas membaca ensiklopedia tersebut.


Namun, sebaik terlepas daripada sekatan tentera Islam Madinah, Abu Sufyan sekali lagi menghantar utusan memaklumkan agar tentera Musyrikin Quraisy Mekah berpatah balik dan tidak perlu berperang.

Bagaimanapun, Abu Jahal yang mengetuai kira-kira 1,000 orang tentera Musyrikin itu terus berdegil dan berkeras dengan niat untuk berperang dengan tentera Islam sehingga tercetusnya peperangan di medan Badar.

Dalam peperangan itu, pasukan tentera Muslimin pimpinan Rasulullah yang hanya memiliki kekuatan 313 orang menggunakan dua ekor kuda dan 70 ekor unta berjaya menewaskan tentera Musyrikin pimpinan Abu Jahal yang jauh lebih ramai termasuk memiliki 100 orang tentera berkuda dengan 600 ekor unta.

Allah telah menurunkan bantuan ribuan tentera langit yang terdiri daripada para malaikat untuk membantu pasukan tentera Islam berhadapan dengan tentera pimpinan Abu Jahal, sekali gus membakar semangat tentera Muslimin untuk bertempur dan mencapai kemenangan.

Peristiwa perang Badar jelas meninggalkan kesan yang besar dalam sejarah Islam. Selain turut dirakam oleh Allah menerusi kitab suci al-Quran menerusi Surah Ali-Imran, perang Badar juga menjadi bukti kepada tanda pertolongan dan pengajaran oleh Allah terhadap mereka yang berjuang menegakkan Islam.

Selain Perang Badar, ensiklopedia berkenaan turut memuatkan lebih 80 peperangan tentera Islam ketika zaman Rasulullah dengan 28 daripadanya disertai sendiri oleh Baginda.

“Buku ini memberi kita pengajaran yang sangat besar tentang perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam membela agama Islam.

“Malah, jika didalami setiap kisah peperangan yang berlaku itu, kita pasti akan berasa sangat bersyukur kerana disebabkan kesungguhan dan kecekalan mereka semua, Islam sampai kepada kita pada hari ini,” kata Ibrahim Zahari, 22, yang juga merupakan pelajar KUIS.

Ilham

Ensiklopedia Perang Rasulullah merupakan sebuah naskhah terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru) yang telah dilancarkan pada 5 Mei lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Buku setebal 284 halaman itu itu merupakan hasil karya Ahmad Adnan Fadzil yang merupakan seorang lulusan Universiti Al-Azhar. Ia turut mendapat sentuhan Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman yang bertugas sebagai pengarang di Telaga Biru.

Bercerita tentang buku tersebut, Ahmad Adnan berkata, dia mendapat idea untuk menulisnya selepas mendapat banyak pertanyaan daripada rakan-rakannya yang bertugas sebagai tentera yang ingin mengetahui tentang strategi peperangan Rasulullah.

“Bagi mengelak menggunakan fakta yang tidak tepat, saya menjadikan buku bahasa Arab karangan Mahmud Syits Khatthab yang dibeli di Mesir pada tahun 2000 sebagai rujukan utama selain beberapa bahan rujukan lain untuk mengumpulkan maklumat.

Pengajaran


LAKARAN diorama termasuk berkaitan perang Badar diselitkan bagi membantu pembaca memahami sejarah sesebuah peperangan dengan lebih jelas.


“Selepas setahun, saya akhirnya berjaya menyiapkan draf awal mengenai buku tersebut yang menyenaraikan 84 perang pada zaman Rasulullah yang berlangsung dalam tempoh 11 tahun dengan 321 orang syuhada terkorban,” katanya.

Akui Ahmad Adnan, kisah peperangan pada zaman Rasulullah melibatkan banyak fakta terutama tarikh dan lokasi tercetusnya perang sekali gus menjadikan tugas mengumpul maklumat dan menulis draf buku tersebut sangat mencabar.

Pada asalnya, kandungan asal buku tersebut lebih berbentuk akademik kerana mengandungi 95 peratus tentang sejarah perang dan strategi peperangan zaman Rasulullah.

“Pihak Telaga Biru bagaimanapun meminta kebenaran daripada saya untuk melakukan pindaan bagi disesuaikan kepada golongan pembaca dalam skop yang lebih luas.

“Selepas dipinda, buku tersebut mengandungi kira-kira 70 peratus mengenai peperangan dan selebihnya diselitkan sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan ensiklopedia itu, Ahmad Adnan menambah, setiap kisah peperangan yang dimuatkan dalam buku tersebut mempunyai pengajaran yang perlu dijadikan panduan dan iktibar oleh seluruh umat Baginda.

“Kita harus faham bahawa setiap peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah itu terjadi bukan disebabkan oleh Baginda mahu meluaskan empayar atau kekuasaannya, tetapi untuk menyebarkan dakwah.

“Jika pihak musuh tidak mengisytihar perang terhadap umat Islam, mungkin tidak akan berlaku peperangan pada zaman Rasulullah kerana Baginda amat cintakan kedamaian,” katanya.

Tujuan utama buku itu ditulis juga adalah untuk menonjolkan Rasulullah sebagai seorang panglima perang yang hebat dan disegani selain patut dijadikan contoh oleh seluruh umat Islam dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Sekiranya umat Islam pada hari ini mengambil pengajaran daripada sejarah peperangan zaman Rasulullah, kejadian perang dan berbalahan sesama negara Islam selain kemunculan kumpulan ekstremis agama dan pengganas seperti yang berlaku pada hari ini mungkin tidak akan terjadi.

Malah katanya, umat Islam juga tidak akan berpecah-belah, sebaliknya akan menjadi umat yang digeruni di seluruh dunia.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Aizuddin, ensiklopedia tersebut harus menjadi bahan bacaan yang perlu dimiliki oleh seluruh umat Islam khususnya di negara ini sebagai panduan untuk memahami sejarah peperangan pada zaman Rasulullah.

Selain gambar, ensiklopedia berkenaan turut memuatkan pelbagai fakta berkaitan sesebuah peperangan termasuklah nombor, ilustrasi, garis masa yang mengandungi plot peperangan serta peta lokasi peperangan sebagai panduan.

“Turut dimuatkan ialah lakaran grafik dan diorama bagi membantu pembaca memahami strategi dan pergerakan perang dari sudut pandangan yang lebih luas.

“Malah, buku ini juga mengandungi kod QR eksklusif yang membolehkan pembaca menonton pelbagai maklumat dalam bentuk video berkaitan satu-satu tajuk peperangan yang tidak boleh didapati di mana-mana platform lain sama ada internet mahu pun YouTube,” katanya.

Process time in ms: 46