NEGARA

Terapkan nilai kemanusiaan

Terapkan nilai kemanusiaan


NAJIB dan Rosmah (depan, dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada artis veteran pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.


PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penggiat seni dan bidang kreatif agar bekerjasama dengan kerajaan dalam menerapkan nilai kemanusiaan melalui karya-karya mereka ke arah membentuk masyarakat yang diinspirasikan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri berkata, terdapat kelompangan dalam masyarakat negara ini dalam soal jati diri sehingga membuatkan proses pembinaan negara bangsa belum lagi kukuh.

“Kita ada masalah sosial. Sehari dua ini, kita mendengar masalah gangsterisme dan buli yang menjadi perhatian umum.

“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan (penggiat seni) dapat memainkan peranan untuk menanamkan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni di Seri Perdana semalam

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Seramai 2,000 tetamu terdiri daripada sasterawan, budayawan, penulis, kartunis dan artis hadir pada majlis berbuka puasa yang julung-julung kali diadakan bersama Perdana Menteri.

Sebanyak 60 persatuan seni terlibat antaranya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (Pena), Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kematian pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnian, 21, dan seorang remaja, T. Nhaveen, 18, akibat didera dan dipukul.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bukan sahaja ingin membangunkan insfrastruktur terbaik malah turut mahu membangunkan sebuah tamadun yang tinggi nilai murninya.

“Mesej ini boleh disampaikan dalam penghasilan anda semua (penggiat seni). Kerjasama ini boleh dipupuk antara kerajaan dan anda semua supaya dapat melahirkan masyarakat baharu yang menjadi aspirasi dalam Transformasi Nasional 2050,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 32