HIBURAN

70 sajian Syawal eksklusif di TV3, TV9

70 sajian Syawal eksklusif di TV3, TV9


Kamal KHALID (tujuh dari kanan) bergambar bersama barisan selebriti popular tanah air pada majlis pelancaran Program Raya Media Prima baru-baru ini.


SEPANJANG Syawal yang bakal disambut penuh kegembiraan oleh seluruh umat Islam di negara ini tidak lama lagi, sebanyak 70 buah program menarik disajikan buat penonton setia stesen rangkaian Media Prima, TV3 dan TV9.

Antara program menarik yang disajikan termasuklah bual bicara, program hiburan, seleksi filem pecah panggung luar negara dan animasi untuk golongan kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid berkata penyiaran program berkenaan selari dengan tema Terima Kasih yang diangkat Media Prima tahun ini untuk menghargai sokongan tidak berbelah bahagi penonton kepada stesen televisyen tersebut.

“Dua buah saluran televisyen rangkaian Media Prima iaitu TV3 dan TV9 merupakan saluran pilihan rakyat Malaysia sepanjang bulan Syawal pada setiap tahun.

“Sebagai tanda terima kasih kepada penonton, kami memastikan hanya program terbaik dan eksklusif disajikan sepanjang minggu pertama dan kedua bulan Syawal. Ia termasuk drama dan telefilem yang dibintangi pelakon hebat dan popular, bual bicara serta filem,” ujarnya pada majlis pelancaran Program Raya Media Prima baru-baru ini.

Untuk penonton setia stesen TV3, pelbagai program, telefilem dan filem terbaik ditayangkan sepanjang Syawal ini.

Ia termasuk telefilem Syawal Yang Kuinginkan lakonan Fauziah Ahmad Daud, Azira Shafinaz, Izreen Azminda dan Idris Khan yang akan ditayangkan pada 25 Jun pada pukul 10 pagi.

Bukan sekadar paparan hiburan, TV3 turut menyajikan program bual bicara menarik iaitu Mana Kawan Adik? (28 Jun), Majalah 3 Raya (3 Julai), Nona Istimewa Raya (2 Julai), Dapur Panas VS 5 Rencah 5 Rasa 2017 (27 Jun) dan Madrasah: Jalur Sutera Ilmu (2 Julai).

Beberapa buah program hiburan istimewa turut ditayangkan kepada penonton untuk menyerikan lagi sambutan Syawal pada tahun ini dengan pengisian yang santai dan menghiburkan.

Antaranya ialah Raya Sakan Mak Cun yang pada 24 Jun pukul 11 malam), Melodi Raya (25 Jun dan 2 Julai, 12 tengah hari), The Sarimah Show (25 Jun, 11 malam), Muzik-muzik 32 Raya (26 Jun, 11 malam) dan Mentor Milenia Raya (29 Jun, 9 malam).

Sementara itu, TV9 tidak ketinggalan dalam memberikan yang terbaik buat penonton. Antara telefilem yang bakal menemui penonton TV9 adalah Balik Raya Ke Kita? lakonan Azad Jasmin, Sherry Al-hadad, Rosnah Mat Aris dan Amyza Adnan yang disiarkan pada 25 Jun pukul 8.30 malam.

Telefilem menarik lain termasuklah Dodol Untuk Menantu (26 Jun), Imam Samar-Samar (27 Jun), Ketupat Buat Nenek (28 Jun) dan Projek Kuih Raya Mak Leha (29 Jun). Semua telefilem berkenaan akan menemui penonton pada pukul 8.30 malam.

Selain itu, sajian program hiburan yang ditawarkan TV9 sepanjang Syawal menyenaraikan Perang Bibir Raya (25 Jun, 10 pagi), Pop TV Raya (24 Jun dan 2 Julai, 9.30 malam), Serupa Tapi Tak Sama (25 Jun), Karaoke Boom! (26 Jun, 3.30 petang) dan Lawak Karoks (27 Jun, 3.30 petang) selain program bual bicara seperti Ketupat Rendang Kopi O (25 dan 26 Jun, 8 pagi), Tanyalah Ustazah (30 Jun, 7 pagi) dan SIS Raya (1 Julai, 6 petang).

Process time in ms: 15