GENK

Rebut ganjaran pahala Ramadan

Rebut ganjaran pahala Ramadan


MENGHAYATI al-Quran dapat mendidik kita agar tidak terpedaya dengan tipu helah syaitan sama ada melalui jin atau manusia. Gambar hiasan


BULAN Ramadan bertandang setahun sekali. Bulan mulia yang penuh barakah ini sentiasa dirindui.

Walaupun ibadah puasa (menahan lapar dan dahaga daripada Subuh hingga Maghrib) adalah satu cabaran yang harus ditempuhi oleh umat Islam, namun ia merupakan momen yang menimbulkan keterujaan bagi seorang Muslim.

Ada yang merindui saat ibadah (tarawih dan tadarus) dan ada juga yang terkenang akan kemeriahan ketika berbuka puasa, moreh serta bazar Ramadan.

Segala kemeriahan yang dirindui itu akan berakhir beberapa hari sahaja lagi.

Dalam kita meniti suasana ini, sebenarnya ada falsafah yang tersirat di sebalik kewajipan ibadah puasa.

Keupayaan menahan diri daripada makan dan minum selama berbelas-belas jam merupakan suatu tindakan yang kritikal kerana sepanjang tempoh berpuasa, tenaga dalam tubuh kita berada pada kedudukan yang rendah.

Ini menyebabkan badan kita berasa letih dan kecenderungan untuk banyak berehat adalah tinggi.

Pada hari-hari biasa di luar bulan Ramadan, kita boleh menikmati makanan hampir setiap jam terutamanya sarapan pagi dan makan tengah hari.

Namun, rutin mengambil makanan pada dua waktu ini terhenti sepanjang bulan Ramadan.

Bulan istimewa

Sepanjang sebelas bulan dalam setahun, sistem penghadaman dan pencernaan kita bekerja kerana aktiviti makan serta minum.

Maka, sepanjang bulan Ramadan ini, kedua-dua sistem itu dapat berehat, sekali gus secara tidak langsung dapat memperkuat organ-organ yang terlibat dalam proses pencernaan.

Kita sedia maklum bahawa Ramadan merupakan satu bulan yang istimewa untuk para Muslimin merebut banyak ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Dari sudut Islam, konsep ibadat itu luas merangkumi ibadat antara hamba dengan Allah seperti puasa dan solat serta ibadat yang impaknya turut dirasai insan lain sebagai contohnya, zakat dan sedekah.

Ramai yang mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Sedekah pada bulan Ramadan walau sekadar tamar adalah besar maknanya bagi si pemberi dan penerima sedekah itu.

Kita tidak boleh menyempitkan skop sedekah itu semestinya dengan wang ringgit sahaja. Senyum juga dianggap sebagai sedekah.

Ibadat sedekah hakikatnya bukanlah menitikberatkan kuantiti dan amaun yang disumbangkan tetapi ia bergantung kepada ketulusan hati orang yang bersedekah.

Bagi individu yang pernah berkesempatan menunaikan ibadat umrah pada bulan Ramadan, mereka pasti akan menemui pelbagai bentuk sedekah yang dilakukan terutamanya sewaktu iftar di Masjidil Haram.

Sedekah buah kurma, susu atau juadah berbuka adalah perkara yang biasa di sana.

Namun, penulis pernah melihat ada yang bersedekah tisu dengan cara berdiri di pintu masuk ke Masjidil Haram sambil memegang kotak tisu.

Bersedekah tisu merupakan sesuatu yang unik dan jarang sekali kita lihat di negara ini.

Kebiasaannya, pada bulan Ramadan ini ramai orang memberi fokus untuk menyumbang makanan.

Di Malaysia, kebanyakan masjid dan surau akan meletakkan papan atau borang untuk senarai penyumbang berbuka puasa serta moreh.

Senarai itu akan diisi beberapa minggu sebelum masuk bulan puasa.

Pendek kata, orang bujang atau sesiapa yang inginkan kelainan sewaktu iftar akan memilih masjid kerana segala-galanya tersedia di situ.

Meskipun pihak masjid akan menyediakan juadah berbuka, sekiranya kita ada membeli juadah tambahan di bazar Ramadan moleklah sekiranya kita dapat kongsikan dengan jemaah lain yang duduk berhampiran kita.

Sekurang-kurangnya jika kita dapat sediakan tisu atau air mineral, itu pun sudah boleh dianggap sebagai sedekah jariah.

Kadangkala, kita lupa sewaktu berada di atas jalan raya, sekalipun kita boleh bersedekah dengan cara memberi laluan kepada kenderaan lain semasa berada di persimpangan jalan.

Sesungguhnya, amalan bersedekah menimbulkan ketenangan bagi jiwa kita serta menjadi sebab untuk dipermudahkan segala urusan kehidupan.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47