DUNIA

Thailand rampas aset ‘Mr. T’ bernilai jutaan Bath

Thailand rampas aset ‘Mr. T’ bernilai jutaan Bath

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand merampas pelbagai aset yang dipegang oleh ‘Mr. T’ atau ‘Lelaki Ais Malaysia’ yang bertindak sebagai orang tengah utama kepada beberapa sindiket dadah antarabangsa.

Menurut sumber, pihak berkuasa bukan sahaja me­rampas aset di bawah nama Mr. T tetapi turut menyita harta milik isterinya yang berketurunan Thai dan anak lelaki mereka.

“Aset mereka (Mr. T, isteri dan anak lelakinya) berjumlah berjuta-juta Baht dengan kebanyakan aset berkenaan berada di Hatyai dan beberapa wilayah selatan Thai lain,” kata sumber kepada agensi berita Bernama.

Menurutnya, aset yang dirampas di bawah nama Mr. T termasuk wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk Bath, Ringgit, Dollar Hong Kong, Won Korea, Rupiah Indonesia dan Dolar Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa turut merampas beberapa akaun bank tempatan milik lelaki Malaysia itu yang kini ditahan reman di Bangkok sementara menunggu siasatan kesnya selesai.

Di bawah undang-undang Thailand, seorang suspek boleh direman sehingga 84 hari.

Sumber sama berkata, antara aset milik isteri Mr. T dan anak lelakinya yang dirampas termasuk beberapa buah kereta serta motosikal, deposit di beberapa buah tempatan, bon loteri, unit kondominium dan lot tanah.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan aset yang dirampas daripada tiga individu terbabit berikutan siasatan masih dilakukan.

Pihak berkuasa Thailand mengesyaki Mr. T menjadi orang tengah utama yang mengadakan perjanjian jual beli dadah dan menyeludup ratusan kilogram barang terlarang itu ke Malaysia sebelum dieksport ke negara-negara lain.

Lelaki kelahiran Johor itu diberkas di Lapangan Terbang Hatyai pada April lalu. – Bernama

Process time in ms: 31