DUNIA

Mayat anak kapal USS Fitzgerald ditemui

Mayat anak kapal USS Fitzgerald ditemui


REUTERS - USS Fitzgerald yang mengalami kerosakan berlabuh di pangkalan Tentera Laut AS di Yokosuka, Jepun semalam.


TOKYO – Mayat sejumlah kelasi yang hilang selepas kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Fitzgerald berlanggar dengan sebuah kapal kontena ditemui di bahagian dimasuki air di dalam kapal rosak itu, kata Armada Ketujuh AS dalam satu kenyataan semalam.

Media Jepun melaporkan bahawa semua tujuh kelasi berkenaan yang dilaporkan hilang telah ditemui mati.

Menurut kenyataan Armada Ketujuh, mayat mereka telah dipindahkan ke sebuah hospital tentera AS untuk pengecaman.

“Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan diberikan sokongan yang mereka perlukan pada waktu sukar ini,” kata kenyataan tersebut.

USS Fitzgerald berlanggar dengan kapal kontena Filipina di tengah laut sekitar 103 kilometer ke barat daya bandar Yokosuka awal kelmarin.

Pelanggaran antara kapal pemusnah sepanjang 154 meter dan kapal kontena ACX Crystal sepanjang 222 meter itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan.

Sebanyak tiga orang dipindahkan ke Hospital Tentera Laut AS di Yokosuka selepas pelanggaran itu termasuk komander kapal, Komander Bryce Benson yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dua lagi askar masih dirawat kerana kecederaan termasuk lebam di atas kapal USS Fitzgerald. Kapal itu belayar ke pelabuhan di Yokosuka petang kelmarin. – Reuters

Process time in ms: 31