DUNIA

58 maut kebakaran flat di London

58 maut kebakaran flat di London


AP - SEORANG anggota bomba meneruskan pencarian mangsa kebakaran di dalam Menara Grenfell, barat London kelmarin.


LONDON – Angka kematian dalam kebakaran di Menara Grenfell se­tinggi 24 tingkat di London dipercayai meningkat kepada 58 orang kelmarin.

Berpuluh-puluh orang lagi masih hilang, tiga hari selepas insiden itu yang menarik perhatian dunia.

Komander Polis, Stuart Cundy berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa seramai 58 orang berada di dalam Menara Grenfell pada hari kejadian.

“Kami dimaklumkan bahawa terdapat 58 orang di dalam menara itu pada hari kejadian yang masih hilang. Sehubungan itu, saya dengan rasa sedih menganggap mereka telah mati,” kata Cundy kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau juga tidak menolak angka kematian akan berubah apabila polis mendapat maklumat baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, operasi mencari mayat mangsa dilaporkan semakin perlahan ekoran kebimbangan mengenai keselamatan blok pangsapuri itu yang rentung.

Sebanyak 16 mayat sudah dibawa ke rumah mayat dan mangsa pertama dikenal pasti sebagai Mohammad Alhajali, 23, yang merupakan seorang pelarian Syria.

“Kira-kira 19 mangsa masih dirawat di hospital dengan 10 daripada mereka kritikal,” kata Perkhid­matan Kesihatan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Theresa May berikrar untuk bertindak selepas beliau me­nemui sekumpulan 15 mang­sa, penghuni, pe­mimpin komuniti tempatan dan sukarelawan di pejabatnya di Downing Street kelmarin.

May menjanjikan peruntukan £5 juta (RM27.3 juta) untuk bantuan kecemasan, makanan dan pakaian.

Beliau turut mengumumkan seorang hakim akan dilantik untuk mengetuai inkues bencana itu.

Ratu Elizabeth II pula berkata, bencana itu menyebabkan suasana muram di seluruh Britain, namun negara itu me­nunjukkan kesungguhan sewaktu berdepan kesukaran.

Kemarahan orang awam bagaimanapun meningkat dengan sekumpulan penduduk mengejek May dan menyerbu ke dalam ibu pejabat pihak berkuasa pada Jumaat lalu.

Mereka menuntut keadilan untuk mangsa korban Menara Grenfell dan mendakwa kebakaran pada Rabu lalu itu di­sebabkan oleh kecuaian manusia.

– AFP

Process time in ms: 31