RENCANA UTAMA

Perkhidmatan tren pengangkutan paling selamat

Perkhidmatan tren pengangkutan paling selamat


NAWAWI menegaskan perkhidmatan tren ETS merupakan pengangkutan awam paling selamat dan cepat.


SELAIN pengangkutan awam seperti bas dan kapal terbang, tren turut menjadi antara alternatif yang digunakan oleh puluhan ribu penumpang untuk bergerak ke destinasi masing-masing.

Saban tahun setiap kali tibanya musim cuti perayaan, perkhidmatan pengangkutan awam sudah bersedia menerima kebanjiran penumpang yang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Memilih untuk menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Intercity dilihat sebagai pilihan yang tepat berdasarkan beberapa faktor seperti penjimatan masa dan risiko terdedah dengan kemalangan yang rendah. Bagi menerangkan mengenai perkhidmatan tersebut, ikuti temu bual wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI bersama pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad di ibu pejabat KTMB, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Menjelang sambutan Perayaan Aidilfitri yang akan datang, boleh Datuk beritahu jumlah dan peratusan tiket yang telah terjual ke seluruh destinasi setakat hari ini (Sabtu)?

DATUK NAWAWI: Tiket perjalanan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi merangkumi dua jenis perkhidmatan iaitu ETS dan Intercity iaitu tren yang menggunakan tenaga diesel. Setakat Jumaat (16 Jun), jumlah tiket perkhidmatan tren ETS yang telah dijual adalah sebanyak 106,204 (60 peratus) tiket daripada keseluruhan jumlah tempat duduk yang disediakan iaitu 191,328. Jualan tiket untuk perkhidmatan tren Intercity pula telah dijual sebanyak 9,634 (49 peratus) keping daripada keseluruhan 21,000 keping tiket disediakan. Jualan tiket dijangka akan terus meningkat menjelang minggu akhir Ramadan.

Sejak bila jualan tiket ini mula dijual kepada penumpang untuk pulang ke kampung sempena hari raya?

Penjualan tiket raya perkhidmatan tren ETS dan Intercity telah mula dijual kepada penumpang sejak 29 Mei lalu bermula pada pukul 10 pagi di kaunter-kaunter tiket KTMB. Penumpang juga boleh mendapatkan tiket melalui pembelian secara online di bahagian e-Tiket dalam laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my. Kebanyakan penumpang hari ini lebih cenderung membeli tiket secara online kerana lebih mudah dan menjimatkan masa. Justeru, kami telah membuat beberapa tindakan dengan meningkatkan kapasiti talian daripada 13 megabit kepada 50 megabit sesaat.

Berapa jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan ETS menjelang musim cuti perayaan?

Kalau dilihat perjalanan dari 18 Jun hingga 2 Julai, jumlah tiket yang ditawarkan secara keseluruhan untuk perkhidmatan ETS adalah sebanyak 191,328 tiket semasa musim perayaan berbanding hari biasa iaitu 185,728 tiket. Ini bermakna, terdapat pertambahan sebanyak 5,600 tiket dikeluarkan. Setiap satu perjalanan pula boleh memuatkan kira-kira 300 penumpang. Untuk perkhidmatan Intercity, sebanyak 37,200 tiket disediakan pada musim perayaan berbanding 21,000 tiket pada hari-hari biasa iaitu dengan penambahan sebanyak 16,200 tempat duduk. Untuk jualan tiket yang ditawarkan setiap hari dari Isnin hingga Khamis bermula 18 Jun lalu, sebanyak 12,464 tiket terjual sepanjang hari tersebut berbanding pada hari biasa iaitu 11,764 tiket dalam tempoh sama. Pada hari Jumaat hingga Ahad pula, sejumlah 13,088 tiket terjual. KTMB mempunyai 15 buah tren ETS yang beroperasi sebanyak 36 perjalanan sehari (Isnin hingga Jumaat) dan 40 perjalanan (Sabtu dan Ahad). Kita menjangkakan akan mendapat sembilan buah tren baharu menjelang tahun hadapan. Penambahan tren ini diharapkan dapat meningkatkan perkhidmatan kepada para penumpang.

Bagaimana pula dengan jadual perjalanan tren ketika menjelang Aidilfitri nanti?

Menjelang Aidilfitri, sebanyak 38 perkhidmatan perjalanan ke arah utara disediakan sepanjang Isnin hingga Khamis dan 40 perkhidmatan pada hari Jumaat hingga Ahad bermula pada 18 Jun nanti. Untuk perkhidmatan tren Intercity yang melibatkan perjalanan ke selatan dan Pantai Timur, sebanyak lapan servis disediakan setiap hari (Isnin hingga Ahad) dengan dua servis untuk perjalanan dari Johor Bahru ke Tumpat dan enam servis untuk perjalanan dari Gemas-Johor Bahru-Gemas. Kami menjangkakan penumpang mula berduyun-duyun untuk pulang ke kampung menjelang minggu terakhir iaitu sekitar pada 22 Jun nanti dan keadaan akan menjadi sesak pada waktu itu.

Adakah tren tambahan yang akan disediakan bagi menampung pertambahan jumlah penumpang semasa cuti Aidilfitri nanti?

Kita akan tambah dua perkhidmatan tren ETS pada hari Isnin hingga Khamis menjadi 38 perkhidmatan, manakala Jumaat hingga Ahad kekal kepada 40 perkhidmatan sehari. Setiap tren ETS pula mempunyai enam buah gerabak yang mampu menampung kira-kira 300 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sejak perkhidmatan ETS diperkenalkan, sejauh manakah Datuk melihat perjalanan para penumpang ke destinasi masing-masing menjadi lebih efektif dan menjimatkan?

Sudah semestinya. Ia menjadi efektif kerana perkhidmatan tren tidak mempunyai gangguan dari segi kemalangan, kelancaran perjalanan dan masalah kesesakan lalu lintas. Selain itu, perkhidmatan tren ETS sungguh menjimatkan masa, selain dapat mengawal aliran tunai berbanding memandu kereta kerana perlu membayar kos minyak dan juga tol. Penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren ETS juga dijamin selesa kerana penumpang bebas bergerak di dalam tren, selain turut mempunyai pelbagai kemudahan seperti tandas dan kantin.


PENGANGKUTAN tren ETS dan Intercity mampu menjimatkan masa perjalanan penumpang sehingga separuh berbanding perjalanan biasa.


Adakah sejak tren ETS diperkenalkan ia banyak membantu dalam mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya?

Sejak perkhidmatan tren ETS diperkenalkan pada 2010, memang tidak dapat dinafikan ia sedikit sebanyak membantu dalam mengawal kadar kesesakan jalan raya terutama ketika menjelang musim cuti perayaan. Sebagai contoh, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar memakan masa antara 10 hingga ke 12 jam, bergantung pada cara pemanduan seseorang. Bagaimanapun, dengan menggunakan perkhidmatan tren ETS, perjalanan penumpang cuma mengambil masa selama 4 jam 30 minit untuk ke Padang Besar. Perkhidmatan tren juga dikatakan antara yang paling selamat untuk terdedah kepada risiko kemalangan maut. Setakat ini, belum pernah terjadi sebarang kemalangan tren sehingga meragut nyawa berlaku berbanding kemalangan di jalan raya yang membabitkan bas dan kereta.

Pernahkah KTM menerima aduan tentang aktiviti penjualan oleh ‘ulat tiket’?

Untuk perkhidmatan tren ETS setakat ini, kita belum pernah menerima sebarang aduan berkaitan aktiviti ulat tiket dan diharapkan ia tidak akan berlaku. Jika masalah tersebut terjadi, dikhuatiri akan menimbulkan masalah pertindihan kerusi. Untuk tren Intercity dahulu, pernah timbul masalah ulat tiket yang membabitkan perjalanan dari Johor Bahru Sentral ke Woodlands di Singapura. Selalunya ulat tiket ini akan menjual sekali ganda daripada harga asal. Tapi sekarang tidak lagi berlaku memandangkan KTMB telah menggunakan sistem baharu berkomputer apabila penumpang perlu memasukkan nombor pasport dan nama.

Apakah nasihat Datuk kepada penumpang yang bakal menggunakan tren ETS untuk pulang ke kampung halaman masing-masing nanti bagi mengelakkan terjadinya sebarang masalah seperti kelewatan dan sebagainya?

Pertama sekali, para penumpang diminta supaya memastikan pembelian tiket perjalanan mereka tepat seperti tarikh yang dirancang. Masalah sering berlaku jika penumpang membeli tiket secara online apabila tersalah memasukkan tarikh perjalanan yang dirancang. Penumpang juga dinasihatkan untuk sampai awal ke stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu tren berlepas memandangkan pergerakan tren dijalankan tepat mengikut masa yang dijadualkan. Pastikan keselamatan diri, keluarga dan barangan peribadi ketika berada di stesen dan di dalam tren. Penumpang sering kali diingatkan supaya mematuhi semua arahan keselamatan oleh kakitangan bertugas di semua stesen KTMB supaya tidak timbul sebarang kemalangan akibat kecuaian sendiri.

Process time in ms: 79