RENCANA UTAMA

Apam istimewa dibalut daun rambai

Apam istimewa dibalut daun rambai

ZAHARIAH menunjukkan cara memasukkan adunan tepung yang telah dibancuh dengan bahan-bahan lain ke dalam lipatan daun rambai.


SEHELAI demi sehelai daun berwarna hijau tua itu disapu dengan minyak masak sebelum dilipat menjadi bentuk seperti kon.

Sesudah itu, adunan tepung berwarna coklat keperangan yang telah dibancuh dengan beberapa bahan lain dibubuh ke dalam daun tadi sehingga separuh penuh dan dilipat menjadi bentuk seakan-akan bungkusan nasi lemak sebelum disusun di dalam periuk pengukus.

Kedengaran asing bagi sesetengah orang luar, namun bagi masyarakat di Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kuih tradisional yang dipanggil apam daun rambai itu dianggap sungguh istimewa dan tersendiri.

Kalau ditanya kepada generasi hari ini terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar Johol, pasti ramai yang terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengar namanya jauh sekali melihat dan merasai keenakan kuih tersebut.

Bagaimanapun, usaha untuk mengekalkan warisan yang dimiliki bukanlah mudah tanpa ada pewaris yang boleh meneruskan legasi mempertahankan sajian tinggalan nenek moyang itu.

Pada tahun 2014, Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, melalui program Himpunan 101 Makanan Hampir Pupus telah menyenaraikan apam daun rambai sebagai salah satu juadah hampir dilupakan oleh generasi hari ini.

Hampir pupus

Perjalanan kru Jurnal ke Johol bagi menjejaki seorang pengusaha apam daun rambai berjaya menemui seorang wanita yang aktif membuat juadah tersebut sebagai punca pendapatan utamanya.

Setibanya di rumah Zahariah Mohamed Zin, 48, aroma keenakan kuih tradisi itu sedikit menguji keimanan lebih-lebih lagi ketika di bulan puasa.

Memulakan bicara, Zahariah telah menjalankan perniagaan membuat apam daun rambai sejak 13 tahun lalu dengan mewarisi resipi yang diperturunkan oleh arwah ibunya.

“Memang sejak kecil saya telah didedahkan dan membesar dengan kuih tradisi yang popular dari Johol ini,” tutur Zahariah yang tinggal di Kampung Masjid Tua, Johol di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Zahariah menambah, nama apam daun rambai telah diganti kepada apam Johol oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, Allahyarham Datuk Roslan Md. Yusof pada 2005 sebagai salah satu cara untuk mempromosi kuih yang berasal dari Johol itu.

“Agak sukar untuk mendapatkan kuih apam daun rambai di sekitar Negeri Sembilan kecuali di Johol.

“Sebab itulah ia ditukar kepada apam Johol sebagai simbol asal usul kuih tersebut,” kata Zahariah.

Apabila ditanya tentang keunikan apam daun rambai itu, Zahariah memberitahu, keistimewaan kuih tersebut terletak pada cara penyediaannya yang dibungkus dengan daun rambai sebelum dikukus sehingga ia menghasilkan aroma yang sungguh wangi dan menyelerakan.

Menurut Zahariah, daun rambai sebenarnya mempunyai aroma yang tersendiri. Pernah apam Johol itu dibalut dengan daun pisang atau daun koko, namun bau dan rasa yang terhasil tidak dapat menandingi aroma jika menggunakan daun rambai.

Daun rambai yang digunakan pula tidak boleh terlalu muda kerana jika di kukus, ia mudah terkoyak dan rosak.


ZAHARIAH dibantu oleh suaminya, Jaafar untuk mendapatkan bekalan daun rambai di sekitar kampung.


2,000 biji sehari

Selain enak dimakan begitu sahaja, apam Johol juga selalu dimakan bersama pencecah seperti sambal tumis ikan bilis atau kuah kari oleh masyarakat tempatan mengikut selera dan cita rasa masing-masing.

Selain teksturnya yang gebu dan lembut, apam Johol juga tahan lama dan boleh disimpan sehingga tiga hari jika betul cara memasaknya.

Bercerita tentang kerumitan menghasilkan apam Johol itu, Zahariah memberitahu, proses membuatnya tidaklah begitu sukar, cuma adunan tepung gandum yang digaul bersama bahan lain seperti ibu roti, gula merah dan lemak sayur itu perlulah diperap selama dua jam sehingga ia betul-betul naik.

Selepas 13 tahun tangan Zahariah sudah sebati membalut apam Johol, dia bersyukur kerana rezekinya sentiasa ada apabila menerima tempahan untuk dipasarkan di pasar tani, hotel-hotel, restoran dan kenduri termasuk untuk majlis orang kenamaan.

Setiap hari, Zahariah perlu menyedia­kan sehingga 2,000 biji apam Johol yang telah di­­tem­pah pelanggan tetapnya.

“Ada seorang pelanggan tetap dari Kuala Lumpur akan menempah sehingga 5,000 biji apam Johol setiap minggu dan akan datang mengambilnya di rumah,” tutur ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Pernah suatu ketika, syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad meminta Zahariah untuk menyediakan sehingga 9,000 biji apam Johol setiap hari, namun perkara tersebut terpaksa ditolak kerana memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

“Sebanyak 9,000 biji apam Johol bermakna saya memerlukan sehingga 9,000 helai daun rambai setiap hari.

“Saya terfikir dari mana saya boleh mendapatkan bekalan daun rambai sebanyak itu setiap hari? Silap hari bulan habis ‘togel’ pokok rambai yang ada di kampung ini,” seloroh Zahariah.

Berkenaan harga pula, Zahariah mengenakan harga bagi sebiji apam johol hanya 40 sen sebiji bergantung kepada lokasi tempahan tersebut perlu dihantar.

Tidak mahu warisan yang diturunkan oleh ibunya terkubur begitu sahaja, Zahariah telah menurunkan ilmu membuat apam Johol itu kepada dua orang puteri kesayangannya, Nadia Shahirah Jaafar, 22, dan Nazwa Natasha, 19.


NADIA (depan) membantu ibunya menyiapkan tempahan apam Johol dan berbangga dapat mewarisi cara-cara membuat kuih tradisi itu.


Promosi berterusan

Menurut Nadia, dia tidak malu untuk mewarisi kemahiran menghasilkan apam Johol, malah berasa bangga kerana sebagai anak muda dia dapat menguasai kemahiran tradisi itu.

“Sejak di bangku sekolah saya telah didedahkan dengan cara-cara membuat apam Johol bermula daripada mengadun tepung sehingga membalutnya dengan daun rambai,” tutur bekas penuntut Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dalam jurusan Kewangan Syariah itu.

Malah, ketika belajar di Melaka, Nadia selalu membawa pulang apam Johol ke rumah sewanya untuk diberikan kepada rakan-rakannya yang tidak pernah melihat kuih tersebut.

Begitu juga dengan Natasha yang kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Undang-Undang Syariah di KUIM yang memberitahu, sebagai generasi muda, dia bertanggungjawab untuk memelihara warisan seperti pembuatan apam Johol agar tidak dilupakan.

Apabila ditanya tentang kemungkinan apam Johol bakal pupus suatu hari nanti, kedua-dua remaja itu yakin bahawa kuih tradisional itu tidak akan hilang ditelan zaman selagi ada pewaris yang meneruskannya.

“Permintaan yang menggalakkan seiring dengan promosi berterusan oleh pihak berkaitan mampu menyelamatkan apam Johol daripada terus dilupakan,” kata Zahariah sambil menghulurkan dua plastik apam Johol kepada kru Jurnal untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Rencana Utama!»

Kallas buatan anak tempatan

PROJEK penggantian kubah dan kallas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini siap sepenuhnya awal tahun ini.

Process time in ms: 47