KESIHATAN

Derita pesakit usus Hirschsprung

Derita pesakit usus Hirschsprung

KEADAAN perut Shah yang membesar akibat sel-sel saraf yang mengawal pergerakan najis tidak wujud.


MALANG bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun apabila dia menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan perutnya membesar sehingga menyamai saiz sebiji bola.

Shah Gul Mazari yang menetap di sebuah kampung terpencil di selatan Pakistan, menghidap penyakit Hirschsprung iaitu keadaan yang menyebabkan najis terkumpul di dalam ususnya.

Dianggarkan, ­penyakit tersebut dihidapi oleh seorang daripada setiap 5,000 bayi yang dilahirkan di seluruh dunia.

Penyakit Hirschsprung berlaku apabila saraf yang mengawal pergerakan najis di bahagian hujung usus tidak wujud sehingga menyebabkan najis tersumbat dan terkumpul.

Lazimnya, keadaan tersebut dapat dikesan ketika individu berusia dua tahun dan ke atas.

Nasib malang yang menimpa Shah menyebabkan perutnya membesar dalam keadaan tidak normal sehingga menyebabkan kedua-dua ibu bapanya sukar mencari pakaian untuk dirinya.

Lebih menyedihkan apabila Shah juga tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.

Menurut ayahnya, Niaz Mazari, 45, dia dan isterinya, Mian Zohran, 40, terpaksa me­ngurung anak malang tersebut di rumah kerana khuatir keadaan yang dialaminya itu menyebabkan dia menjadi mangsa buli.

Menangis tidak henti

“Shah merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.

“Ketika dilahirkan sembilan tahun yang lalu, fizikalnya sihat sempurna dan tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, kehidupannya berubah beberapa bulan kemudian apabila perutnya mula membesar. Bukan itu sahaja, Shah juga akan menangis tidak henti-henti dan sukar untuk minum susu dengan betul,” jelasnya.

Menurut Niaz, dia dan isterinya kemudian membawa anaknya itu untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum didiagnosis dengan penyakit Hirschprung.

“Doktor yang mera­watnya menyarankan agar anak kami dibedah untuk mengeluarkan sebahagian daripada ususnya. Pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan perut anak saya kembali normal seperti kanak-kanak lain.

“Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian, Shah mula mengadu sakit di bahagian tersebut dan perutnya pula semakin membesar,” jelasnya.

Ujar Niaz, disebabkan pada waktu itu pendapatannya sebagai seorang buruh kasar adalah sebanyak AS$4 (RM21) sehari, dia dan isterinya mengambil keputusan untuk tidak membawa anaknya mendapatkan rawatan susulan.

“Gaji harian yang diperoleh saya tidak cukup untuk menampung kos perubatan Shah.

“Ketiadaan wang menyebabkan rawatan terpaksa ditangguhkan. Disebabkan itu, penyakit yang dihidapi Shah merebak sehingga menyebabkan dia mengalami komplikasi yang serius dipanggil enterocolitis iaitu jangkitan pada bahagian usus besar,” jelasnya dalam nada kecewa.

Enterocolitis

Biarpun begitu, Niaz mendakwa, dia telah membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan secara percuma di sebuah hospital kerajaan berdekatan kediamannya, namun usaha tersebut gagal kerana jangkitan kuman pada usus besarnya terus merebak.

Keadaan tersebut menyebabkan dia dan isterinya bertambah runsing.

“Kami berharap agar anak kami boleh sembuh seperti kanak-kanak normal yang lain dan memiliki masa depan yang cerah,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut seorang Pakar Pediatrik Amerika Syarikat, Jim Sears, Hirschsprung merupakan penyakit yang biasa berlaku.

Dianggarkan, kira-kira 40 peratus daripada individu di dunia menghidap penyakit Hirschsprung.

“Penyakit ini lebih banyak dihidapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

“Ia berlaku apabila sel-sel saraf yang mengawal pergerakan najis di dalam usus tidak wujud. Kea­daan tersebut menyebabkan najis tersumbat dan terkumpul di dalam usus yang akhirnya menyebabkan saiz perut membesar secara tidak normal,” jelasnya.

Ujarnya lagi, penyakit tersebut bagaimanapun boleh disembuhkan melalui pembedahan pembuangan susu kolon.

Biarpun begitu, sesetengah bayi yang mengalami jangkitan enterocolitis seperti Shah perlu menjalani pembedahan pada bahagian stoma iaitu satu abdomen yang dicipta untuk mengalihkan aliran najis ke dalam usus besar.

Rencana Utama!»

Kallas buatan anak tempatan

PROJEK penggantian kubah dan kallas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini siap sepenuhnya awal tahun ini.

Process time in ms: 47