DUNIA

Kapal Tentera Laut AS langgar kontena

Kapal Tentera Laut AS langgar kontena

Keadaan kapal pemusnah USS Fitzgerald milik Tentera Laut AS selepas insiden pertembungan dengan kapal kontena Filipina. - REUTERS


TOKYO – Seramai tujuh kelasi hilang manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan kapal kontena Fi­lipina awal pagi semalam di Te­luk Tokyo di Jepun, kata Tentera Laut AS.

Pengawal Pantai Jepun berkata, air mula memasuki ke dalam kapal pemusnah itu, namun tidak membawa ancaman karam. Kapal dagang yang mengibarkan bendera Filipina masih mampu berlayar secara bersendiri.

Tentera Laut AS dalam satu kenyataan menyatakan kapal USS Fitzgerald, iaitu sebuah kapal pemusnah peluru berpandu Aegis, berlanggar dengan kapal dagang itu kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan), 56 batu nautika barat daya bandar Yokosuka.

Seramai tiga kru terma­suk pegawai pemerintah USS Fitzgerald, Komander Bryce Benson terpaksa diterbangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Benson dirawat di Hospital Tentera Laut AS di pangkalan Yokosuka dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Dua lagi yang cedera dipindahkan ke hospital sama untuk rawatan akibat kecederaan melecet dan lebam, kata Tentera Laut AS.

Kapal USS Fitzgerald bersama Pengawal Pantai Jepun dan Pa­sukan Pertahanan Maritim meneruskan usaha mencari tujuh kelasi yang dilaporkan hilang.

“Siasatan masih dijalankan (untuk menentukan punca kejadian) dan apabila selesai, satu kenyataan akan dikeluarkan,” kata jurucakap Armada ke-7 Tentera Laut AS.

Tentera Laut menyatakan USS Fitzgerald mengalami kerosakan di bahagian kanan kapal iaitu di atas dan bawah garis air. Kerosakan penuh kapal termasuk kecederaan dialami kru masih dalam siasatan.

Jurucakap Armada ketujuh menyatakan kapal pemusnah itu kini dalam perjalanan balik ke Yokosuka menggunakan enjin sendiri pada kadar kelajuan 3 knot.

Kapal USS Dewey dan dua bot Tentera Laut AS dihantar untuk memberi bantuan kepada kapal pemusnah yang rosak itu, kata pihak tentera.

Syarikat Jepun, Nippon Yusen KK yang menyewa kapal kontena ASX Crystal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan beri ‘kerjasama penuh’ kepada siasatan insiden itu oleh pihak pengawal pantai.

Kapal dagang itu memiliki saiz tiga kali ganda lebih besar daripada kapal USS Fitzgerald dan membawa muatan 1,080 kontena dari pelabuhan Nagoya ke Tokyo.

Kesemua 20 anak kapal warga Filipina di atas kapal kontena itu tidak mengalami kecede­raan. Kapal berkenaan juga tidak mengalami kebocoran tangki minyak, kata Nippon Yusen.

Laluan air di Teluk Tokyo sibuk dengan pelayaran kapal-kapal komersial dari dan ke dua pelabuhan terbesar Jepun iaitu Tokyo dan Yokohama. – Reuters

Process time in ms: 47