RUANG

Industri, retro pilihan Hotel U

Industri, retro pilihan Hotel U

KAUNTER pendaftaran daripada material kayu menyerlahkan sisi elegan pada Hotel U.


LIMPAHAN rona kuning terang dan hitam pada bangunan setinggi lima tingkat itu kelihatan cukup menyerlah dan menonjol dari Jalan Sungai Dua, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Diberi nama Hotel U, kawa­san parkir di pekarangan ­bangu­nan itu sudah pun penuh saat kru Jurnal tiba, seolah-olah memberi tanda bahawa tempat penginapan tersebut merupakan antara hotel pilihan buat pengunjung yang datang ke Pulau Mutiara.

Keseluruhan bahagian luar pada bangunan dicat hitam, menyerlahkan sisi elegan bangunan tersebut.

Saat pintu dikuak, mata kru Jurnal terpaku melihat hiasan ringkas pada bahagian lobi hotel lima tingkat itu. Kemasan material kayu pada lantai tampak moden dan elegan, sesuai dengan konsep yang cuba diketengahkan pada hotel.

Mainan warna ceria

Limpahan rona coklat cair pada ruang lobi utama dengan limpahan cahaya jingga malap dari lampu-lampu di ruang tersebut mencetus suasana damai.

Haruman flora yang disembur pada ruang itu juga memainkan peranan penting bagi memasti­kan pengunjung berasa selesa untuk bersantai saat menunggu untuk diberi kunci bilik.

Ketika kru Jurnal cuba meneka konsep dekorasi Hotel U, seorang wanita dengan potongan rambut pendek kemudian menyapa lalu memperkenalkan dirinya sebagai Marini Rahman.

Selaku pengurus pemasaran hotel tersebut, Marini membuka bicara tentang Hotel U yang mula beroperasi kira-kira dua tahun lalu.

Menurut anak kelahiran Perlis itu, konsep hiasan dalaman yang dipilih adalah industri dengan sedikit sentuhan retro.

“Idea dan konsep hiasan dalaman pada hotel ini adalah industri, namun pada masa yang sama, kami menyuntik sedikit elemen retro yang minimal pada dekorasi.

“Boleh dikatakan, pada dasarnya, ia tampak ringkas dan mungkin sama seperti kebanyakan hotel butik yang lain, namun ada sesuatu pada Hotel U yang menjadikan ia nampak lain daripada yang lain,” ujarnya ramah.

Ruangan lobi turut diserikan dengan beberapa unit bangku bulat dari fabrik kain perca yang dijahit menggunakan teknik tampal cantum.

Biarpun ringkas, ia menjadikan set kerusi itu sebagai titik tumpuan bagi ruang lobi yang agak polos. Selain kerusi jenis bulat, ruang itu juga diserikan dengan empat buah unit kerusi santai rekaan moden dari rona kelabu.

Bagi kemasan dinding pula, Hotel U memilih limpahan rona kelabu cair untuk disesuaikan dengan rona coklat lembut pada lantai. Ternyata, gabungan dua warna selamat itu mencipta suasana damai dan menenangkan.

Menyedari ruangan lobi merupakan kawasan yang pertama dilihat pengunjung saat bertandang ke sesebuah hotel, pemilik Hotel U menata rias ruang itu dengan kemas dan menjadikan pengunjung berasa selesa saat menjejakkan kaki dan memilih untuk menginap di situ.


BAGI unit bilik keluarga, katil dan ruang tamu mini di dalam bilik dipisahkan oleh satu dinding besar berona coklat cair.


Mural burung

Menjengah ke bahagian yang menempatkan dua unit lif hotel pula, pengunjung akan disajikan dengan lukisan mural penuh ceria bermotifkan burung-burung yang cukup cantik.

Pemilihan rona biru firus, merah jambu dan kuning sebagai rona utama mural yang dilukis pada hamparan dinding hitam polos menjadikan ruangan itu cukup sukar untuk diabaikan.

Menurut Marini, pemilik Hotel U itu merupakan seorang yang cukup sukakan seni lukisan mural, lalu mengambil keputusan untuk meletakkan mural bertemakan burung pada ruang lobi itu.

Marini kemudian membawa kru Jurnal untuk melihat beberapa unit bilik yang ditawarkan di hotel tersebut.

“Semua 128 unit bilik tidur di Hotel U mempunyai binaan dan konsep yang hampir sama. Cuma yang membezakan bilik-bilik itu ialah keluasannya dan dekorasi-dekorasi kecil yang digunakan pada hiasan dalaman.

“Contohnya, pemilihan corak pada bantal-bantal kecil yang diletakkan di atas katil adalah berbeza mengikut jenis bilik bagi menyuntik sedikit kelainan,” ujarnya.

Selain itu, hiasan pada bahagian dinding juga diberikan elemen retro apabila pemilik memilih untuk menggantungkan lukisan dari motif skuter Vespa di bilik, sesuai dengan konsep keseluruhan hotel butik berkenaan.

Bagi pemilihan warna pada dinding, Hotel U dilihat memilih rona krim. Hal ini kerana ia merupakan antara warna yang paling selamat dan sesuai untuk digabungkan dengan warna-warna lain.

Hasilnya, suasana bilik kelihatan cukup harmoni, sesuai buat pengunjung untuk merehatkan badan selepas seharian bekerja.

Urban dan unik

Jika diperhatikan, bilik tidur juga masih mengekalkan kemasan lantai daripada material kayu bagi mencipta kesenadaan dengan ruang lobi hotel.

Dari segi pencahayaan pula, lampu-lampu dari rona jingga malap diletakkan pada ruang bilik bagi mencipta suasana elegan dan menenangkan.

Berkongsi tentang pemilihan nama hotel, Marini memberitahu, huruf U itu tampak ringkas, namun ia mempunyai maksudnya yang tersendiri.

“Nama hotel diinspirasikan daripada perkataan urban dan unik. Selain itu, ia juga melambangkan perkataan you, yang bermaksud ‘hotel untuk anda’.

“Boleh dikatakan, ia sesuai untuk semua golongan terutamanya golongan muda yang sukakan suasana moden dan industri pada dekorasi hotel,” ujarnya.

Selain golongan muda, hotel tersebut juga dilihat menjadi pilihan petugas-petugas yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas memandangkan perjalanan dari hotel tersebut ke lapangan terbang hanya mengambil masa 15 minit.

Harga yang ditawarkan juga adalah amat berpatutan, bermula daripada RM130 sehingga RM230 satu malam.

Process time in ms: 16