DUNIA

AS cetus kemarahan Erdogan

AS cetus kemarahan Erdogan


SEORANG anggota polis cuba meleraikan pergaduhan antara penunjuk perasaan dan pegawai peribadi Erdogan di Washington pada 16 Mei lalu.- REUTERS


WASHINGTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan bahawa waran tangkap dikeluarkan terhadap 12 anggota keselamatan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (gambar) kerana menyerang penunjuk perasaan di Washington pada bulan lalu.

Tindakan Washington bagaimanapun mencetuskan keramahan Erdogan. Beliau berkata, AS tidak mempunyai hak untuk menahan pengawal peribadi yang melindunginya daripada “pengganas”.

Kementerian Luar Turki menjemput Duta Besar AS untuk mengadakan perbincangan susulan pengumuman tersebut.

Namun, Washington bertegas bahawa pegawai peribadi Erdogan tidak berhak me­nyerang sekumpulan kecil penunjuk perasaan bangsa Armenia dan Kurdis di luar kediaman duta Turki di Washington pada 16 Mei lalu.

Pergaduhan itu berlaku selepas Erdogan menemui Presiden AS, Donald Trump di White House.

Seramai sembilan orang cedera, manakala beberapa mangsa lain dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat pelbagai kecederaan termasuk patah gigi dan lebam.

Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap 12 individu berkenaan bersama enam lelaki berbangsa AS-Turki dan Kanada-Turki yang terlibat dalam pergaduhan tersebut,

“Waran tangkap ini me­nyampaikan mesej jelas bahawa AS tidak bertolak-ansur terhadap individu-individu yang menggunakan ugutan dan keganasan untuk menghalang kebebasan bersuara dan hak demonstrasi aman,” kata jurcakap Jabatan Negara, Heather Nauert.

Erdogan membidas kenyataan Nauert dengan mendakwa, polis AS sengaja membenarkan pengganas mengadakan tunjuk perasaan hanya 50 meter daripada konvoi beliau.

“Mengapa saya membawa pengawal peribadi ke AS, jika tidak untuk melindungi saya.

“Kami akan menentang secara politik dan undang-undang berhubung waran tangkap ini,” katanya ketika berucap di Ankara.

Terdahulu, Ketua Polis Washington, Peter Newsham berkata, 12 individu berkenaan termasuk sembilan pengawal peribadi Erdogan dan tiga polis Turki. – AFP

Process time in ms: 15