VARIA

Pasar Seni raikan sambutan Aidilfitri

Pasar Seni raikan sambutan Aidilfitri


Miniatur masjid-masjid ini dibina khas bagi meraikan acara ‘Welcoming Syawal’ di Pasar Seni, Kuala Lumpur esok.


PASAR Seni atau Central Market mempelawa warga kota untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.

Suasana hari raya klasik yang berlangsung esok bakal dipersembahkan secara percuma menerusi acara ‘Welcoming Syawal’ yang menampilkan tarian kebudayaan dan nyanyian ghazal tradisional.

Selain itu, pelbagai juadah tradisi disediakan seperti lemang, nasi impit, rendang ayam dan kuah kacang untuk dinikmati bersama.

Para pengunjung juga berpeluang menyertai demonstrasi membuat dodol dan kuih goyang tradisional bagi membangkitkan keceriaan bulan Syawal.

Pengurus Kompleks Pasar Seni Kuala Lumpur, Cheong Wai Mun berkata, sambil berhibur dan beraya, mereka juga secara tidak langsung mengajak para pengunjung mempelajari kehalusan seni bina Islam dalam negara melalui tema Ramadan Raya yang ditonjolkan pada tahun ini.

“Kali ini kami menampilkan miniatur masjid dalam bentuk karikatur buat para pengunjung. Lima buah masjid terkemuka dalam negara dipilih untuk menghiasi Pasar Seni. Setiap masjid ini mempunyai rekaan unik, tersendiri, dipengaruhi oleh budaya dan sejarah negeri masing-masing.

“Melalui miniatur ini, pengunjung tempatan dan luar negara boleh mengenali faktor pengaruh keindahan seni bina di negeri-negeri dalam Malaysia,” katanya.

Lima buah masjid itu ialah Masjid Sultan Abu Bakar di Johor, Masjid Beijing di Kelantan, Masjid Ulul Albab atau dahulunya Masjid Kayu Seberang Jertih, Terengganu serta Masjid Al-Azim, Melaka dan Masjid Panglima Kinta di Ipoh.

‘Welcoming Syawal’ akan menemui pengunjung seawal pukul 8 malam di hadapan pintu masuk Pasar Seni.

Untuk mengemukakan sebarang pertanyaan atau mendapatkan makluman lanjut, layari laman web www.facebook.com/centralmarketkualalumpur atau hubungi talian 03-2031 0399.

Process time in ms: 703