HORIZON

Seni bina Nusantara Ombak Dive Resort

Seni bina Nusantara Ombak Dive Resort


DASAR laut Pulau Perhentian Kecil, Terengganu mempunyai pemandangan yang cukup menarik.


NYAMAN dan tenang. Itulah suasana yang dirasai penulis sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu baru-baru ini.

Disajikan dengan air laut yang kebiruan serta dihiasi pasir pantai yang halus memutih ia memberikan satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dari kaca mata penulis.

Sebaik saja sampai ke jeti Pulau Perhentian Kecil, tanpa melengahkan masa penulis terus ke tempat penginapan di Ombak Dive Resort yang terletak tidak jauh dari jeti tersebut.

Penulis dan beberapa rakan media yang lain dijemput oleh Ombak Dive Resort untuk menginap dan melakukan beberapa aktiviti menarik di pulau tersebut.

Bersih dan selesa, itulah yang boleh digambarkan sebaik sahaja penulis tiba ke resort tersebut.

Di resort itu, pengunjung boleh memilih untuk menginap di beberapa jenis kamar bilik yang selesa dengan harga yang amat berpatutan.

Ombak Dive Resort mula beroperasi pada tahun 2012 dan ia dibangunkan oleh Datuk Zulkifli Mohd. Sharif, 55, dan Isterinya, Datin Nur Salinda Sabar, 39.

Menurut Zulkifli, resort yang berkonsepkan seni bina Nusantara itu menawarkan pelbagai kategori bilik penginapan kepada para pengunjung.

“Resort ini sesuai untuk pengunjung yang datang secara bersendirian mahupun berkeluarga.

“Di sini juga kami menawarkan beberapa pakej menarik untuk pengunjung lakukan seperti aktiviti menyelam skuba, snorkeling, berkayak, mendaki bukit dan lain-lain lagi,” jelasnya ketika memberi taklimat tentang Ombak Dive Resort.

Selepas selesai semua urusan mendaftar masuk, tanpa melengahkan masa, penulis diberi kesempatan untuk melakukan aktiviti menyelam skuba.

Penulis dan beberapa rakan media lain yang memiliki lesen menyelam diberi kesempatan untuk meneroka dasar laut pulau yang cukup terkenal di negeri itu.

Berada pada kedalaman 15 meter di dasar laut, tiada apa yang mampu diungkapkan selain perasaan teruja.

Melihat terumbu karang yang cantik di dasarnya dan sesekali beberapa ekor ikan berenang bebas di hadapan mata, ia membuatkan penulis berasa seperti berada di satu dunia yang lain.


OMBAK Dive Resort menawarkan pakej lengkap kepada para pengunjung.


Mendaki

Sementara itu, pemilik pusat menyelam skuba Ombak Dive Resort, Shaharudin Sharif, 56, berkata, Pulau Perhentian mempunyai banyak lokasi menyelam skuba dan setiap satunya mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Terdapat lebih 15 lokasi menyelam yang boleh dicuba di sini antaranya D’Lagoon, Terumbu Tiha, Tokong Laut, Tanjung Besi dan Sugar Wreck.

“Kami menyediakan pakej menyelam skuba pada harga yang amat berpatutan. Selain itu, bagi mereka yang berhasrat untuk mendapatkan lesen menyelam skuba, kami turut menyediakan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Selain menyelam skuba, penulis dan rakan media yang lain juga diberi kesempatan untuk melakukan aktiviti bersnorkeling.

Seorang rakan media, Muhammad Syafiq Ambak, 23, berkata, pengalaman snorkeling di kawasan yang menjadi habitat penyu dan ikan yu itu memberi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

“Melihat penyu dan ikan yu berenang bebas di hadapan mata memang sesuatu yang mengujakan saya.

“Apa yang boleh saya katakan, Ombak Dive Resort menyediakan pakej lengkap bukan hanya pada penginapan dan makanan malahan pelbagai aktiviti menarik juga turut mereka tawarkan,” jelasnya.

Tidak lengkap rasanya, jika percutian di pulau tersebut jika pengunjung tidak mendaki bukit Perhentian Kecil yang mempunyai kincir angin pada bahagian puncaknya.

Merentasi trek yang agak curam dengan tumbuhan renek tebal menyelubungi kiri dan kanak perjalanan, pendakian ke puncak bukit itu agak sukar dan memenatkan.

Namun segala penat itu hilang apabila berada di puncak dan dapat menghayati kecantikan pemandangan di kawasan sekitar.

Ombak Dive Resort terletak di lokasi yang begitu strategik di pulau tersebut kerana ia juga berdekatan dengan pantai Pasir Panjang yang sememangnya menjadi tumpuan pengunjung di pulau itu.

Kepada mereka yang ingin merasai pengalaman percutian di pulau peranginan itu boleh memilih untuk menginap di resort tersebut.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.ombak.my.

Process time in ms: 47