INFINITI

Rakam imej dan video dalam usus 330 darjah

Rakam imej dan video dalam usus 330 darjah



PAGI itu rasa tidak selesa pada bahagian abdomen Muhammad Naqib Ahmed Tarmizi, 24, kian menjadi-jadi. Hatinya mendesis, penyakit radang usus yang dihadapinya sejak empat tahun lalu muncul kembali.

Sehingga pada satu tahap, penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik itu tidak mampu bangun. Tubuhnya terasa lemah akibat terlalu kerap muntah dan terdapat darah pada najisnya.

"Sudah lebih setahun saya tidak merasai situasi tersebut. Ia langsung tidak dapat dijangka," ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Pusat Endoskopi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) baru-baru ini.

Endoskopi merupakan prosedur mendiagnosis permukaan dalaman melibatkan esofagus, perut dan duodenum menggunakan tiub fleksibel berkamera dipanggil endoskop.

"Berdasarkan pengalaman lalu, selepas menjalani prosedur itu saya sudah tidak ingat apa-apa lagi mengenainya. Bagi saya ia bukan proses menyakitkan," tambah anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Jabatan Perubatan PPUKM, Prof. Madya Dr. Raja Affendi Raja Ali berkata, kini terdapat teknologi terbaharu dikenali sebagai Endoskopi Spektrum Penuh (Fuse) untuk kemudahan pesakit di hospital itu.


REPLIKA komponen dan bahagian yang terdapat dalam endoskop.


Kos untuk mendapatkan teknologi itu dibiayai Wakaf Selangor Muamalat dan ia ditempatkan di PPUKM sejak beberapa minggu lalu. Kos membeli peralatan itu tidak didedahkan buat masa ini.

Menurutnya, PPUKM muncul sebagai hospital kerajaan pertama di Malaysia dan kedua selepas Subang Jaya Medical Center yang memiliki kemudahan itu.

"Ia bertujuan mengesan kewujudan ketumbuhan pada dinding usus dikenali sebagai polip. Polip mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang menjadi barah.

"Pada peringkat awal kewujudan polip lazimnya tidak menunjukkan apa-apa simptom. Tapi ia harus dibuang sepenuhnya bagi memastikan seseorang itu tidak terdedah kepada risiko menghidap barah usus pada masa depan," jelasnya.

Beliau menambah, teknologi itu dipanggil spektrum penuh kerana ia mempunyai sistem kamera meliputi pandangan sisi kiri, kanan, atas dan bawah.

Katanya, dalam erti kata mudah, Fuse mempunyai liputan kamera sebanyak 330 darjah berbanding mesin endoskopi sedia ada di PPUKM yang terhad pada pandangan sekitar 170 darjah.

Dalam hal ini, kebanyakan kamera yang dicipta untuk proses endoskopi hanya mempunyai pandangan hadapan. Ini bermakna terdapat kebarangkalian pegawai perubatan terlepas pandang kewujudan polip amat tinggi.

"Tiub fleksibel dilengkapi kamera dan mempunyai tiga saluran cahaya yang dihubungkan dengan kamera. Ia ibarat mendukung kapasiti tiga skop dalam satu peralatan.

Rakaman video


KETUMBUHAN tidak normal atau polip (dalam bulatan) yang terselindung sukar dikesan dengan endoskop biasa.


"Jika sistem endoskopi konvensional, polip yang kecil terselindung di bahagian usus yang tidak kelihatan. Jadi, melalui penggunaan Fuse ini kita boleh mengenalpasti kawasan polip lebih tepat," katanya.

Sifat tiub yang fleksibel itu membolehkan ia melalui dan melihat permukaan usus kecil dan besar yang tidak sekata serta berlipat-lipat. Secara purata manusia mempunyai usus sepanjang 189 sentimeter.

Selain itu, Fius berupaya menyediakan rakaman video selain imej, dokumentasi maklumat doktor, kemasukan maklumat pesakit dan bahan cetakan.

Ia turut dihubungkan dengan perisian laporan endoskopik (ERW) untuk penyimpanan data sistematik dan boleh dipindahkan kepada pemacu pena dengan mudah.

Mempunyai kombinasi program canggih dan sofistaked, Fuse telah ditetapkan untuk menerima gabungan pelbagai isyarat video definisi tinggi (HD) untuk menterjemahkan paparan yang dilihat pada monitor julat tinggi 4K.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Endoskopi PPUKM, Prof. Madya Dr. Ngiu Chai Soon menjelaskan, proses mengeluarkan polip biasanya tidak melibatkan pembedahan.

Katanya, polip yang ditemui semasa ujian saringan boleh dibuang sepenuhnya semasa prosedur endoskopi. Dalam hal ini, terdapat pelbagai teknik penyingkiran boleh digunakan.

"Antaranya ialah menggunakan wayar gegelung forsep yang dihubungkan pada tiub fleksibel yang menjadi komponen penting mesin endoskopi.

"Wayar gegelung ini akan dijerutkan pada ketulan polip dan diketatkan sehingga polip tertanggal. Satu lagi proses ialah menggunakan arus elektrik," tuturnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya menerima antara 20 hingga 25 pesakit setiap hari termasuk pesakit dari luar Kuala Lumpur seperti Pulau Pinang, Johor dan Perak dengan lima set mesin endoskopi tanpa teknologi Fuse digunakan buat masa ini.


TEKNOLOGI Fuse mempunyai kapasiti tugas tiga skop bagi melihat dinding usus dalam pelbagai arah.


Dianggarkan daripada 100,000 penduduk, antara 30 hingga 40 tergolong sebagai penghidap kanser usus dengan 3,000 kes baharu dilapor setiap tahun.

Sebanyak 85 peratus kes kanser barah terjadi secara sporadik atau rawak. Hanya sekitar 10 hingga 15 peratus mewarisinya daripada sejarah keluarga.

"Kesedaran menjalani ujian saringan kanser usus amat rendah di Malaysia. Hanya sembilan peratus didiagnosis positif kanser usus pada tahap pertama, sedangkan 91 peratus dikesan telah berada pada tahap kedua, ketiga dan keempat selepas menjalani pemeriksaan.

"Alasan malu menjalani ujian berkamera, tiada maklumat, kurang kesedaran mengenai simptom atau petanda penyakit menjadi punca perkara ini berlaku.

"Justeru, dengan adanya teknologi Fuse, kami berharap gejala awal dapat disaring secara efektif sekali gus mengurangkan kadar kes baharu pada masa depan," ujarnya menambah tempoh saringan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 30 minit.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 63