STAILO

Perhimpunan 680 pempamer kecantikan, kesihatan

Perhimpunan 680 pempamer kecantikan, kesihatan

Ragam pengunjung ketika mendapatkan rundingan kecantikan bersama pakar.


Pengusaha butik solekan, Afra Hazman, 34, buntu memikirkan cara untuk melonjakkan jualan perniagaannya.

Butik yang dibangunkan pada awal tahun lalu itu hanya beroperasi secara online sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas memiliki butik fizikal sendiri, ia pasti memerlukan kos yang tinggi.

Mujur dia dipertemukan dengan rakan perniagaan yang berkongsi informasi mengenai Ekspo Kecantikan Antarabangsa (IBE) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Penyertaan kami atas nama Ennai Make Up Shop sebagai pempamer dalam IBE kali ini memasuki tahun kedua.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk mendedahkan kepada masyarakat umum mengenai butik baharu kami berbanding dahulu yang hanya beroperasi secara online.

Selain itu, pihaknya juga berpeluang bertemu dengan pemborong dari serata dunia, sekali gus meningkatkan jaringan perniagaan kami,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Afra, kesempatan itu juga wajar digunakan sebaiknya kerana ia merupakan peluang terbaik untuk mendapat potensi pasaran baharu.

Pada masa masa, ia dapat memperkenalkan produk baharu sesebuah perniagaan secara lebih berkesan.

IBE merupakan platform perniagaan berpengaruh di Asia Tenggara yang berkonsepkan pameran.

Ekspo itu dimeriahkan dengan lima tema pameran utama iaitu zon kecantikan, persolekan dan penjagaan kulit, zon rambut dan kuku, zon spa kesihatan, zon kesihatan dan pemakanan serta zon pengurusan berat badan.

IBE merupakan pameran anjuran Elite Expo Sdn. Bhd., yang berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya 400 buah syarikat dalam industri kecantikan dan kesihatan dari serata dunia. Antaranya termasuklah Korea Selatan, Taiwan, Indonesia, Australia serta China.

Sebanyak 680 pempamer terlibat pada ekspo tahun ini yang terdiri daripada profil kecantikan, kosmetik dan penjagaan wajah, rambut dan kuku, spa kesihatan dan nutrisi serta pengurusan berat badan.

Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn. Bhd., Johnson Lim berkata, IBE telah berkembang sehingga menjadi pusat perniagaan utama dalam industri kecantikan sejak sedekad lalu.

“Lebih 25,000 pengunjung hadir ke IBE tahun ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pemborong, peniaga, peraih dan ejen. Selain itu ada juga kalangan pengunjung terdiri daripada pengimport, perunding kecantikan, pendandan rambut, jurusolek serta pelajar.

“Dengan tapak berkeluasan 7,208 meter persegi, kami dapat memainkan peranan penting dalam mencipta rangkaian dan peluang perniagaan untuk pemain industri profesional.

“Ia dapat mengukuhkan hubungan mesra antara pempamer dan pembeli supaya mereka lebih memahami keperluan perniagaan antara satu sama lain,” ujarnya.

Peneraju


Pengunjung merasai sendiri kemeriahan ekspo kosmetik terbesar di Malaysia ini.


Keistimewaan penganjuran tahun ini ialah IBE menyediakan ruang pameran terbesar yang dibahagikan kepada Korea, Taiwan dan Indonesia.

Ruang pameran Korea membawakan teknologi pembedahan mikroplastik, kecantikan rambut, formula dan teknologi terkini yang dapat meningkatkan tahap industri kecantikan di Asia Tenggara.

Lain pula pendekatan yang digunakan di ruang pameran Indonesia apabila produk yang ditampilkan mengkhususkan kepada penggunaan bahan semula jadi, ubat-ubatan herba tradisional dan bahan-bahan halal.

Bagi ruang pameran Taiwan, ia memaparkan asal usul industri kecantikan di Asia. Taiwan merupakan negara yang disempurnakan dengan teknologi kecantikan serba canggih.

Pembangunan Taiwan dalam industri kecantikan telah memonopoli pasaran Asia sehingga membentuk sebuah empayar kecantikan.

Dengan inovasi, ilmu pengetahuan, resipi atau formula canggih, Taiwan berjaya menjadi peneraju dalam industri kecantikan global.

Tahun ini, IBE merancang bagi membolehkan pembeli berpeluang bertemu dengan pakar dalam industri kecantikan dari Taiwan.

Ia bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pendapat yang komprehensif terhadap perniagaan mereka.

IBE berhasrat menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan bidang kecantikan terbaharu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PT. Sari Sihat (M) Sdn. Bhd., Kandi Rahayu memberitahu, penganjuran ekspo kecantikan itu adalah sesuatu yang positif untuk diteruskan pada masa akan datang.

Selain menjadikan Malaysia sebagai hab industri kecantikan dan kesihatan di peringkat antarabangsa.

“Saya sangat teruja untuk menyertai ekspo pada tahun ini kerana ia merupakan pengalaman pertama kali menjadi pempamer di IBE.

“Tujuan kami menyertai ekspo ini adalah bagi memperkenalkan produk, imej dan jenama itu ke pasaran Malaysia.

“Selain itu, kami juga dapat mencari ejen untuk memasarkan dan mengurus jual beli produk di Malaysia,” katanya.

Antara produk yang dibawa dari Indonesia ialah pil merit, air madurasa, set bersalin dan minyak talon.

Tambahnya, penganjuran ekspo seperti itu sepatutnya dilakukan setiap tahun.

Ini kerana ia merupakan pusat sehenti yang bukan sahaja memberi manfaat terhadap rakyat Malaysia tetapi warga luar turut berkongsi kebaikan yang sama.

Bahkan, ia mampu mempromosi Malaysia di mata dunia sebagai hab kecantikan dan kesihatan.

Process time in ms: 63