GENK

Pameran solo pertama Nurhidayat

Pameran solo pertama Nurhidayat


NURHIDAYAT teruja apabila diberi peluang mengadakan pameran solo pertamanya.


DALAM usaha memartabatkan lagi bidang seni di negara ini, Galeri G13 terus bergerak ke hadapan dengan mengadakan pameran-pameran yang mempamerkan hasil-hasil karya seni tempatan.

Galeri G13 bukan sahaja mempamerkan karya seniman tempatan berpengalaman malahan hasil seni pengkarya yang baru berjinak dalam bidang itu turut diberi ruang dan peluang untuk dipamerkan.

Antara pengkarya seni muda yang diberi kesempatan untuk mengadakan pameran solo di galeri tersebut ialah Nurhidayat Arshad, 26.

Nurhidayat berkata, dia begitu gembira dan teruja apabila diberi peluang untuk mengadakan pameran solo di galeri tersebut.

“Ini adalah pameran solo pertama saya sepanjang terlibat secara serius dalam bidang ini. Sebelum ini, saya banyak menyertai pameran secara berkumpulan sahaja.

“Sebaik sahaja mendapat tawaran dari galeri ini saya terus menerima peluang yang diberikan. Bukan senang untuk pelajar yang baru menamatkan pengajian seperti saya mendapat peluang sebegini,” jelas bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Tambahnya, peluang yang diberikan kepadanya itu menjadi platform untuk dia bergerak lebih jauh dalam bidang itu.

Untuk pameran tersebut, Nurhidayat telah menghasilkan tujuh hasil karya untuk dipersembahkan kepada umum.

“Untuk menghasilkan kesemua karya ini saya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkannya.

“Medium yang digunakan untuk menghasilkan karya ini adalah akrilik dan cat minyak yang dilakar di atas kanvas. Saya gemar untuk menyiapkan dua atau tiga karya dalam satu masa kerana penggunaan cat minyak mengambil sedikit masa untuk kering,” jelasnya.


MEDIUM akrilik dan cat minyak digunakan oleh Nurhidayat untuk menghasilkan karyanya.


Gabungan

Untuk karya-karya yang dihasilkannya itu, dia menggunakan imaginasinya menggabungkan subjek geometrik dan organik.

Menurut Nurhidayat, idea menggabungkan kedua-dua itu lebih kepada penggunaan otak kiri dan kanan.

“Sebagaimana yang kita ketahui otak kiri lebih sistematik manakala otak kanan lebih kreatif dan imaginatif. Gabungan kedua-duanya membentuk hasil karya ini.

“Cabaran yang saya hadapi untuk menghasilkan karya ini adalah bagi mendapatkan keserasian antara geometrik dan organik terutamanya dalam penggunaan komposisi warna,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Galeri G13, Kenny Teng menjelaskan, dia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu dalam bidang seni untuk mempamerkan hasil karya mereka.

Menurut Kenny, galerinya telah menyediakan ruang khusus iaitu G13 Project Room untuk mengetengahkan karya-karya seni.

“Ruang tersebut tidaklah terlalu besar tetapi ia cukup untuk mempamerkan karya-karya seni yang dihasilkan oleh bakat-bakat muda ini.

“Ruang ini telah dilancarkan sejak Ogos tahun lalu dan kami telah bekerjasama dengan beberapa bakat muda untuk mengetengahkan hasil karya mereka,” jelasnya.

Tambahnya, Nurhidayat antara pengkarya muda yang amat berbakat. Oleh kerana itulah, dia diberi peluang untuk mengadakan pameran solo di galeri tersebut.

Process time in ms: 32