GENK

Lantunan suara imam gugurkan air mata

Lantunan suara imam gugurkan air mata



“JIKA menyebut tentang Mu’tah, pelajar-pelajar Malaysia di Amman, Irbid dan Mafraq, Jordan pasti dapat membayangkan suasana di kampung itu.

“Di sini, masih ada penduduk tempatan yang melakukan aktiviti menggembala kambing.

“Tidak ada bangunan pencakar langit, pusat hiburan atau pusat beli-belah. Pada waktu pagi, mereka hanya ditemani aroma kuih falafel dan kopi yang dibancuh segar di tepi-tepi jalan,” kata Nur Fatihah Azzahra Zaharin yang merupakan pelajar tahun ketiga jurusan Syariah, Fiqh dan Usul dari Universiti Mu’tah, Jordan.

Mu’tah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di bandar Al-Kerak, kira-kira 136 kilometer dari ibu negara Jordan, Amman.

Bercerita lanjut, Nur Fatihah, 21, yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini memberitahu, keindahan Ramadan terserlah di Mu’tah dengan hiasan lampu-lampu masjid yang cukup meriah. Bacaan imamnya pula boleh dikatakan setanding dengan imam Masjidilharam atau Madinah.

Di Mu’tah, jumlah rakaat paling lazim untuk solat tarawih ialah lapan rakaat dan tiga rakaat solat witir.

Imam

Tuturnya, pembesar suara masjid sangat jelas. Apabila bacaan ayat-ayat suci al-Quran dilantunkan oleh imam, ia boleh menggugurkan air mata sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Imam tidak memilih bacaan yang terlalu panjang atau terlalu pendek. Bagi mereka, konsentrasi dan khusyuk dalam solat adalah sangat penting.

“Maka lebih baik bacaan tidak terlalu dipanjangkan. Tazkirah pula akan diberikan hanya selama 10 minit selepas rakaat keempat solat tarawih. Kemudian, solat diteruskan sehingga selesai tanpa berlengah,” katanya.

Pada pendapat Nur Fatihah, sistem itu sangat sesuai kerana tidak memberatkan makmum yang hadir terutamanya golongan tua.

Ada juga sebahagian daripada pelajar yang dijemput untuk menjadi imam dengan upah dan tanggungan daripada penduduk di situ.

“Mereka suka dengan bacaan orang Malaysia dan cara kami mengimamkan solat. Beruntunglah bagi mereka yang dapat merasai pengalaman ini.

“Ini kerana daripada ratusan pelajar, hanya dua atau tiga orang akan terpilih,” jelas anak kelahiran Senawang, Negeri Sembilan itu.

Menurutnya, saf yang didirikan juga sangat rapat.

Sepanjang tempoh berada di sana, belum pernah lagi Nur Fatihah melihat situasi jemaah memilih rakan saf.

Jika datang awal, sesiapa sahaja boleh duduk di saf paling hadapan bersama-sama dengan jemaah Arab yang lain.

“Suasana masjid di sini hidup dengan bacaan al-Quran tidak kiralah anak Arab yang berusia empat tahun sehinggalah puluhan tahun, masing-masing memeluk al-Quran dalam dakapan.

“Ada yang mengulang hafazan dan ada yang mengajarkan bacaan kepada yang lain. Bacaan al-Quran juga berkumandang di rata-rata kedai. Satu keindahan yang sukar untuk saya katakan,” katanya.

Sementara itu, Farah Haziqah Mohd. Azhar pula memberitahu, tiada moreh di Mu’tah.

Cerita Farah Haziqah, 21, pernah seorang pelajar tahun satu bertanya tentang moreh yang bakal dihidangkan.

“Kami tertawa kecil. Tanah Arab bukan Malaysia. Tiada suasana ahli jawatankuasa masjid membentangkan tikar lalu menghidangkan mi goreng, karipap atau koci.

“Usai solat, anda tidak perlu berpura-pura menunggu makanan untuk dihidangkan. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah pulang terus ke rumah kerana moreh tidak pernah disediakan di sini,” jelasnya.

Antara masjid sekitar Mu’tah yang dikunjungi pelajar Malaysia adalah Masjid Syuhada, Masjid Umar, Masjid Binbaz atau Masjid A’isyah.

Katanya, rata-rata kehadiran makmum di setiap masjid itu sepanjang Ramadan tidak pernah lengang.


SUASANA membeli-belah yang sederhana di Mu’tah pada bulan Ramadan.


Azan

Pada bulan Ramadan, laungan azan Subuh di Jordan akan berkumandang sebanyak dua kali, bersesuaian dengan status negara Islamnya. Azan pertama berkumandang sekitar pukul 3 pagi.

Jadi, waktu yang sesuai untuk membuat persiapan juadah bersahur adalah sekitar pukul 2.30 pagi. Pada waktu itu, rumah-rumah di sekeliling sudah terang benderang.

“Kami boleh mendengar leteran dan bebelan mak-mak Arab memekik dengan kuat, mungkin mengejutkan ahli keluarga yang sama liat dengan kami untuk bangun bersahur. Kami lebih suka menyediakan juadah bersahur pada waktu malam.

“Menunya mungkin sama sahaja seperti di Malaysia ataupun jauh lebih ringkas seperti berlaukkan gulai ayam yang dipanaskan dan sedikit sayur.

“Paling mudah, kami makan sahaja roti prata berintikan telur goreng ataupun dicicah dengan hummus (kacang kuda yang dikisar),” ujarnya.

Tambahnya, azan kedua pula akan berkumandang sekitar pukul 3.30 pagi, sekali gus menandakan telah masuk waktu solat Subuh bagi kawasan sekitar Jordan.

Usai menunaikan ibadah, aktiviti diteruskan mengikut jadual masing-masing.

Ada yang akan meneruskan aktiviti tadarus al-Quran, mengulang kaji pelajaran dan tidak kurang juga yang tidur kerana baki masa ke kuliah yang masih panjang.

Kelas bermula seawal pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang bagi pengajian musim panas. Tahun ini, sekali lagi Ramadan jatuh dalam fatrah (masa) musim panas. Dengan suhu yang mencecah 33 hingga 36 darjah celsius, ia sangat menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Bahangnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan kami bermandi peluh. Anda boleh melihat tutorial di YouTube bagaimana masyarakat Arab menggoreng telur di atas bumbung kereta pada musim ini,” jelasnya.

Jordan mengalami perubahan empat musim iaitu musim panas, sejuk, bunga dan luruh. Pada musim panas, waktu siang lebih panjang daripada waktu malam.


PINTU masuk Universiti Mu’tah, Jordan.


Cuaca panas

Jelas Farah, jadual pengajian pada musim panas juga berbeza.

Pada waktu itu, tempoh masa bagi satu-satu kuliah dianjak kepada satu jam setengah bermula dari hari Ahad hingga Khamis.

Dua ujian besar ketika kuliah pada musim itu adalah ujian cuaca dan ujian tidur. Kelas pengajian boleh bertukar menjadi dewan tidur kerana cuaca yang sangat terik. Dewan kuliah tidak ada pendingin hawa dan sekadar berkipaskan angin sepoi-sepoi bahasa yang jarang sekali masuk melalui tingkap.

“Bulan Ramadan pada musim ini sudah pasti dipenuhi dengan ujian buat kami semua. Lihat sahaja pada cuacanya, ia boleh menghadirkan pelbagai kerenah,” tuturnya.

Seorang lagi pelajar, Nur Sakinah Khairul Shaufuan pula memaklumkan, sudah menjadi tradisi masyarakat tempatan memasak sendiri makanan di rumah.

Dengan cara itu, kata Nur Sakinah, 21, hubungan kekeluargaan akan jauh lebih erat, sesuai dengan bulan yang mulia.

“Suasana menjual lauk bungkus tidak wujud di sini. Menu yang ada di restoran juga hanyalah nasi Arab, ayam bakar dan aneka jenis roti yang dipelbagaikan.

“Paling dinantikan sepanjang bulan Ramadan ialah qatayef yang teksturnya seperti lempeng.

“Qatayef menjadi makanan paling popular kerana ia hanya dihasilkan pada bulan Ramadan,” katanya.

Kebiasaannya masyarakat Arab akan mengubah qatayef menjadi juadah manisan dengan berintikan air gula dan kekacang.

Namun, berbeza dengan selera pelajar Asia, qatayef diubah menjadi makanan pedas yang berintikan sambal sardin, bilis atau kari ayam. Ia sudah cukup menjadi menu rasmi apabila azan Maghrib berkumandang.

Process time in ms: 1829