RUANG

Gabungan tiga warna dekorasi moden ringkas

Gabungan tiga warna dekorasi moden ringkas

SUSUN atur perabot yang sederhana membuatkan suasana keseluruhan ruang kelihatan lebih selesa.


PELAWAAN kru Jurnal untuk mengintai hasil tangan dalam dekorasi pada kediaman milik pasangan suami isteri itu disambut baik oleh mereka meskipun dalam kesibukan umat Islam menunaikan ibadah puasa sempena bulan Ramadan.

Menjadikan warna hitam, kelabu dan putih sebagai warna utama dalam sentuhan pada kediaman pasangan itu membuatkan kru Jurnal berasa lebih teruja untuk menjengah dengan mata sendiri.

Ringkas dan teratur. Itulah istilah yang dapat diterjemahkan terhadap kediaman milik Mohd. Nor Azmie Nor Hamid, 30, dan isterinya, Nor Hidayah Mohd. Amin, 29, yang didiami bersama tiga cahaya mata sejak lebih sebulan lalu.

“Saya baru sahaja berpindah ke sini kira-kira sebulan lalu dan bersyukur kerana telah pun memiliki kediaman sendiri,” tutur Azmie yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Berada di ruang tamu dalam kediaman jenis pangsapuri itu, anak mata kru Jurnal tertancap pada susun atur perabot yang diolah kemas dan teratur.


RUANG dapur yang disuntik dengan elemen moden hasil idea Azmie dan Hidayah.


Ruang terhad

Ketelitian dalam susun atur perabot menjadikan ruang yang terhad masih kelihatan luas dan tidak menghalang laluan.

Bagi Hidayah, susun atur perabot itu memainkan peranan penting dalam menjadikan ruang pada kediaman tidak kelihatan terlalu sarat, tambahan pula dengan keluasan ruang tamu yang agak terhad.

Melihat pada sentuhan yang diberikan pada keseluruhan ruang, Azmie dan Hidayah dilihat sepakat untuk menjadikan rona putih sebagai subjek utama dalam melatari muka dinding pada kediaman.

Ternyata pemilihan warna putih begitu bertepatan apabila berjaya membangkitkan rasa pesona pada ruang tamu agar tampak lebih segar dan selesa.

Walaupun dibiarkan polos tanpa secalit warna asing, perkara tersebut tidak menjadikan wajah keseluruhan ruang kelihatan suram atau membosankan.

“Kami baru sebulan berpindah ke rumah baharu dan banyak lagi perancangan akan datang yang bakal dilakukan,” tutur pasangan suami isteri itu.

Menyimpan angan-angan untuk mengolah paduan pada dinding dengan aplikasi kertas dinding suatu hari nanti, Azmie bercadang untuk kekal dengan kombinasi tiga pilihan warna sama ada hitam, kelabu dan putih agar tidak lari daripada konsep yang diterapkan.

Sentuhan ringkas

Aplikasi cermin besar ibarat suatu kewajipan bagi penggemar dekorasi untuk menjelmakan magis pada ruang agar nampak lebih luas.

Ibarat padanan serasi, paduan rona hitam dengan putih dilihat menjadi apabila digabungkan dalam menghasilkan dekorasi pada kediaman.

Pemilihan beberapa barangan dengan tona gelap seperti hitam dan kelabu ternyata tidak pernah mengecewakan bagi pencinta dekorasi yang gemar bermain dengan konsep hitam putih.

Seperti rona pada kain langsir dan sofa misalnya, penerapan warna seperti kelabu tidak menjadikan ruang kelihatan gelap, malah berjaya membangkitkan suasana meskipun pemilihan warna itu bukan daripada rona-rona ceria.

Menurut Azmie dan Hidayah, mereka sememangnya sangat menggemari barangan perabot daripada jenama Ikea kerana rekaannya yang moden dan mempunyai banyak pilihan berunsur warna putih.

Melihat pada pemilihan rak perhiasan yang diletakkan pada sudut ruang tamu, biarpun tampak ringkas, ia tetap mencuri perhatian mata kru Jurnal selepas pemiliknya bijak menyesuaikan perhiasan ‘ala kadar’ dan bersesuaian.


SISTEM pencahayaan dengan lampu berona jingga menyerlahkan lagi suasana pada dalam kediaman.


Paling mencuri tumpuan ialah buaian rotan berwarna putih yang diletakkan pada ruang menonton televisyen.

Menurut Azmie, untuk mengekalkan tema yang dikehendaki, buaian itu telah dicat dengan warna putih untuk menimbulkan keserasian pada ruang supaya tidak tampak janggal.

Bantal berona merah yang diletakkan pada buaian itu sekali gus menyerlahkan lagi impak pantulan apabila dipadankan dengan warna putih.

Mengakui kurang minat untuk menerapkan unsur alam dengan meletakkan terlalu banyak pokok-pokok plastik di dalam rumah, Hidayah cuma menyelitkan sedikit rona kehijauan agar ruang kelihatan lebih segar.

Menjengah pada ruangan makan, biarpun diberikan sentuhan ringkas, itu sudah cukup memadai seiring dengan pendekatan minimalis yang diketengahkan oleh pasangan suami isteri itu.

Mempamerkan konsep moden pada ruangan dapur ternyata membuka satu dimensi pada bahagian tersebut meskipun pemiliknya terpaksa berbelanja lebih untuk melakukan pengubahsuaian.

Menjadikan sumber rujukan daripada internet serta olahan idea sendiri dalam merealisasikan impian untuk mendapatkan konsep yang diidamkan, Azmie dan Hidayah selalunya saling berbincang agar mendapat kepuasan yang diinginkan.

Process time in ms: 31