HORIZON

Rumah terbalik tarikan baharu Port Dickson

Rumah terbalik tarikan baharu Port Dickson


RUMAH terbalik Port Dickson turut menjadi tumpuan rombongan pelajar sekolah.


PORT Dickson terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dan luar negara sebagai salah satu destinasi percutian menarik.

Tempat peranginan yang terletak di sebelah barat Negeri Sembilan itu sentiasa menggamit kedatangan pelancong menerusi pasir pantai memutih dan laut membiru.

Port Dickson turut menjadi tumpuan individu yang gemarkan aktiviti laut seperti bermain jet ski, banana boat, mandi-manda dan memancing.

Kawasan itu turut mempunyai daya tarikan lain seperti PD Ostrich Show Farm, Alive 3D Art Gallery, Wild West Cowboy Wild West Cowboy dan rumah api Cape Rachado.

Tarikan terbaharu pula ialah Upside Down Art Galeri Poet Dickson (rumah terbalik Port Dickson) di Teluk Kemang.

Mula dibuka pada Mei 2015, rumah terbalik yang dibina dalam bangunan dua tingkat itu berjaya menarik kira-kira 20,000 orang pengunjung dalam tempoh tiga bulan pertama pembukaannya.


RUMAH terbalik Port Dickson terletak berhampiran dengan kawasan Teluk Kemang, Negeri Sembilan.


Tunjuk ajar

Tarikan utama sudah pasti terarah kepada perabot rumah yang disusun secara terbalik, sekali gus mewujudkan suasana unik.

Antara perabot rumah yang disusun secara terbaik ialah sofa, peti ais, kabinet dapur, katil, set bilik tidur bayi dan televisyen.

Bagi pengunjung yang gemar bergambar, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang merakam imej dengan gaya dan gimik menarik untuk dikongsi bersama rakan-rakan dalam media sosial.

Menariknya, para pekerja galeri turut memberi tunjuk ajar kepada para pengunjung mengenai teknik merakam gambar yang betul.

Kalau kena dengan gayanya, imej anda akan kelihatan seperti sedang terbang, membuat aksi akrobatik dan berjalan menggunakan tangan.

Rumah terbalik Port Dickson turut mengandungi seksyen lukisan bentuk tiga dimensi (3D). Antara lukisan yang diketengahkan ialah tandas, watak adiwira, pantai dan kereta melanggar tembok.

Di sudut ini, para pengunjung perlu berada pada kedudukan yang betul di setiap lukisan 3D untuk memastikan imej yang dirakam kelihatan realistik.

Rumah terbalik Port Dickson turut menyediakan kemudahan seperti tandas dan tempat parkir yang luas.

Orang ramai yang ingin melawat rumah terbalik Port Dickson dinasihatkan supaya tidak berkunjung pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Hal ini kerana ruang rumah yang sempit dan pengunjung terlalu ramai akan menyukarkan anda untuk melawat serta merakam gambar.

Process time in ms: 47