STAILO

Bidara tinggi vitamin C, kaya antioksida dan mineral

Bidara tinggi vitamin C, kaya antioksida dan mineral



KEMALANGAN jalan raya yang berlaku kepada Mohd. Firdaus Mohd. Ibrahim, Khan, 40, merubah hidupnya apabila dia menghadapi masalah alergi kulit dan asma.

“Selepas kemalangan itu, saya mengalami masalah kulit yang sangat teruk, terutamanya pada bahagian muka. Ia kelihatan kemerahan dan gatal.

“Keadaan itu membuatkan saya rasa tidak selesa, apatah lagi jika terkena matahari ia akan menjadi sangat merah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Rimbunan Healing Centre, Taman Mutiara, Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Disebabkan masalah itu, Mohd. Firdaus telah menjalani rawatan untuk melegakan masalahnya.

Dia mengambil keputusan untuk mencuba rawatan alternatif bagi mengurangkan risiko kesihatan berlanjutan.

Rawat punca

Hasrat itu tercapai setelah dia berkenalan dengan pengasas Rimbunan Healing. Selepas menjalani beberapa rawatan menggunakan produk berasaskan bidara, kulit mukanya menunjukkan kesan positif.

Bapa kepada orang cahaya mata itu diberi rawatan bekam pada wajah untuk membuang darah kotor di kawasan bermasalah dan penjagaan kulit muka.

Sementara itu, Pengasas Rimbunan Healing Centre, Norasyikin Md. Baharudin, 36, berkata, dia menggunakan pendekatan berbeza di tempat lain iaitu dengan merawat punca.

“Kami akan mendiagnosis pelanggan untuk mengetahui tahap keseriusan masalah mereka dengan menggunakan beberapa cara seperti melihat saraf di tapak tangan kerana di situ dapat mengetahui masalah dalaman seseorang.

“Ia penting kerana kecantikan sebenar adalah dari dalam, jika kita sihat ia akan terserlah pada wajah dan penampilan,” jelasnya yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecantikan dan jurubekam bertauliah.


URUTAN wajah penting untuk melancarkan pengaliran darah.


Selain perkhidmatan kecantikan, pelanggan turut diberi khidmat nasihat mengenai pemakanan dan penjagaan kecantikan diri yang betul.

Ujar Norasyikin, dia memberi fokus kepada tiga perkhidmatan utama iaitu jerawat, resdung dan migrain.

Menariknya, Rimbunan Healing Centre menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti buah bidara sebagai bahan utama di samping buah tin, zaitun, habbatus sauda, aloe vera dan pelbagai herba terbaik.

“Hampir keseluruhan bahan-bahan digunakan adalah esktrak daun bidara kerana ia mempunyai manfaat yang sangat baik untuk kecantikan.

“Selain itu, 90 peratus perkhidmatan di sini menggunakan kaedah bekam iaitu rawatan yang sangat disarankan oleh Rasulullah SAW untuk mengeluarkan darah kotor,” jelasnya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Terdapat 15 pakej perkhidmatan yang ditawarkan di pusat itu.

Antaranya, 3+1 penyelesaian jerawat, 3+1 penjagaan oksigen wajah, 3+1 antipenuaan, 3+1 penyelesaian jerawat lengkap dan penjagaan wajah rimbunan bidara 03.

Selain itu, rimbunan aloe vera oksigen wajah, bekam dan terapi ditoksifikasi, 3+1 migrain serta 3+1 resdung lengkap.

Mengulas mengenai pendekatan penggunaan bidara dan kaedah rawatan Islam, Norasyikin menjelaskan, ia bermula apabila dia mengalami kemalangan jalan raya dan cedera parah sehingga dua kali menjalani pembedahan tulang belakang pada usia 13 tahun.

“Sejak kemalangan itu, saya banyak bergantung pada ubat tahan sakit. Pada umur 30 tahun, saya mendapat rawatan pakar saraf di Aceh, Indonesia. Alhamdulillah, sakit belakang beransur pulih.

“Namun, pada usia 33 tahun saya diuji lagi dengan strok pada wajah sehingga muka penuh dengan jerawat besar. Dari situlah tercetus idea untuk berbekam wajah.

“Rentetan daripada dua peristiwa itu, saya menubuhkan spa yang menggunakan kaedah moden dan tradisional seperti yang ajarkan dalam al-Quran serta sunah,” cerita anak sulung daripada tiga adik-beradik yang sangat meminati bidang kecantikan itu.

Khasiat

Menurut Norasyikin, dia menggunakan bidara dalam produk penjagaan wajah di pusat itu kerana ia merupakan pokok yang diceritakan dalam al-Quran dan mempunyai pelbagai khasiat untuk kulit berjerawat, menguatkan rambut, antibakteria, antikeradangan dan antikebengkakan.

Salah satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang bidara ialah surah Al-Waqi’ah ayat 28:

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), dan naungan yang terbentang luas, dan air yang tercurah, dan buah-buahan yang banyak.”

Pokok bidara atau nama saintifiknya Z. mauritiana merupakan sejenis pokok renek malar hijau dengan ketinggian sehingga 15 meter dan ukuran batang 40 sentimeter.


PUSAT kecantikan Rimbunan Healing Centre menyediakan tiga bilik rawatan dan tiga orang petugas.


Dalam bahasa Arab, bidara kenali sebagai sidr. Pokok ini banyak ditemui di kawasan tropika dan sub-tropika. Ia mempunyai beberapa jenis seperti bidara upas, bidara laut dan bidara Cina.

Ia berasal dari Afrika dan kini tersebar secara meluas di rantau tropika seperti India, Afghanistan, China, Malaysia dan Australia serta beberapa kawasan Pasifik.

Buah bidara mempunyai kandungan vitamin dan galian yang tinggi terutama vitamin C dan kaya antioksida.

Selain Z. mauritiana, buah bidara dikenali dengan pelbagai nama lain seperti jujube atau ber sejak lebih 4,000 tahun lalu.

Faktor migran dipercayai membantu penyebaran bidara ke beberapa buah negara Asia dan selatan Eropah.

Dianggarkan, terdapat 400 varieti buah bidara di dunia terutama di Asia.

Buahnya enak dimakan segar walaupun sesetengah negara menggunakan buah bidara sebagai salah satu ramuan penting dalam masakan.

Kandungan mineral dan vitamin yang tinggi dalam buahnya menyebabkan ia baik untuk kesihatan tubuh, peredaran darah dan kulit.

Lapan jenis produk berasaskan daun bidara yang dihasilkan oleh Norasyikin ialah krim pigmentasi bidara, minyak aroma terapi, pembersih wajah dan gel mandian.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan penjagaan wajah di spa itu, mereka perlu membuat tempahan sehari sebelum datang bagi memastikan slot rawatan tidak penuh dan tidak perlu menunggu lama.

Rimbunan Healing Centre mempunyai tiga bilik rawatan dan tiga orang kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan mengikut kondisi pelanggan.

Perkhidmatan yang menarik untuk dicuba ialah periuk sauna yang mengandungi 100 herba. Ia bertujuan mengeluarkan hama dan kotoran pada wajah.

Norasyikin juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan itu dengan memfrancais kepada mereka yang berminat.

Process time in ms: 78