GENK

Muzainah pramugari penghias wajah AirAsia

Muzainah pramugari penghias wajah AirAsia


ANAK kelahiran Damansara, Petaling Jaya, Selangor ini gemar melakukan aktiviti riadah pada masa lapang.


SETIAP kali menaiki pesawat, pastinya mata penumpang tidak lepas daripada mencuri pandang kelibat kru kabin bertugas yang cantik dan segak.

Maka, tidak hairanlah mereka perlu sentiasa murah dengan senyuman dan menyantuni penumpang pesawat dengan kata-kata yang sopan.

Sudah lebih lima tahun menyemai bakti kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, wajah pemilik nama Muzainah Mohd. Fausi atau mesra dengan panggilan Ina ini mungkin kelihatan tidak asing kepada kebanyakan pelayar internet.

Wajah cantik anak kelahiran Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu dianggap sebagai ‘pasu bunga’ syarikat penerbangan tersebut kerana sering menghiasi dada-dada akhbar dan papan iklan komersial AirAsia Berhad.

Bukan sahaja memiliki pakej fizikal lengkap, wanita yang menceburi kerjaya gah di awan biru sejak berumur 18 tahun itu juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam karier apabila dia dilantik sebagai ketua pramugari sejak dua tahun lepas.

Sempena hari kru pesawat pada Rabu lepas, ikuti temu bual Kosmo! bersama wanita berusia 23 tahun ini bagi menyingkap penglibatannya sepanjang bergelar seorang pramugari.

Apakah cabaran yang pernah ditempuh sepanjang menceburi bidang kerjaya ini?

Bagi saya, melayan kerenah penumpang adalah perkara paling getir yang perlu ditempuh oleh semua kru pesawat. Adakalanya mereka akan meminta sesuatu yang pelik dan sememangnya diketahui tidak terdapat dalam pesawat.

Sebagai kru, kami tetap perlu menjaga etika kerja dan akan cuba memenuhi setiap permintaan penumpang selagi terdaya.

Prinsip saya mudah. Apa sahaja yang berlaku di dalam pesawat, akan kekal di dalam pesawat.

Sejak bila timbul minat untuk bergelar seorang kru pesawat?

Selepas tamat tingkatan lima, kedua-dua ibu bapa menggalakkan saya untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pelajaran kerana menurut mereka, pengalaman itu nanti akan lebih meningkatkan kebolehpasaran kerja. Saya tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang pramugari.

Selepas tiga bulan bekerja, saya mula berasa seronok, selesa dan menggemari pekerjaan ini.

Apakah tip penjagaan wajah dan badan yang diamalkan agar sentiasa tampil cantik serta bertenaga?

Saya percaya kecantikan sebenar bermula dari dalam diri. Justeru, saya mengamalkan pemakanan sihat terutama buah-buahan dan bersenam bagi mengekalkan stamina agar kekal cergas.

Bagi menjaga kemulusan kulit wajah, saya akan pastikan untuk menanggalkan solekan setiap kali sebelum tidur agar kulit bebas bernafas.

Tidak cukup dengan penjagaan fizikal sahaja, saya perlu sentiasa memuhasabah diri dan berfikiran positif agar tidak mudah terpengaruh dengan ancaman negatif sehingga menjejaskan emosi.

Bagaimana anda mengisi masa terluang sekiranya tidak terlibat dengan penerbangan?

Saya gemar meluangkan masa bersama keluarga, kawan atau memanjakan diri pada hari cuti, misalnya mengunjungi pusat rawatan wajah, menonton wayang atau bersenam di gimnasium.

Sebaliknya pada hari yang saya perlu bersedia untuk dipanggil bekerja, saya akan tinggal di rumah sahaja.

Apakah pengalaman menarik yang pernah berlaku dan memberi kesan terhadap diri anda?

Saya pernah menawarkan untuk membawa beg yang dibimbit oleh seorang lelaki. Dia kelihatan terkial-kial membawa beberapa beg sambil menolak kerusi roda ibunya pada masa yang sama.

Saya kemudiannya mendapat tahu mereka merupakan penumpang dalam pesawat ke Kuala Terengganu yang akan dinaiki nanti. Sewaktu di dalam pesawat, wanita itu memberikan saya sepucuk surat penghargaan dan kad nama. Anak lelakinya juga menjemput saya untuk berkunjung ke resort miliknya sebagai tanda terima kasih.

Walaupun banyak perkara mencabar yang ditempuh setiap hari, namun sedikit kebaikan yang diterima membuatkan saya bersemangat untuk menjalani hari mendatang.

Process time in ms: 16