GENK

Baca 60 kali setiap ayat untuk mudah ingat

Baca 60 kali setiap ayat untuk mudah ingat

Nur Amalina dan Muhammad Syazani menganggap ilmu menghafaz al-Quran sebagai bekalan untuk diri sendiri dan bukan berpusatkan pertandingan sahaja.


SAAT memasuki kelas yang memuatkan lebih kurang 10 orang pelajar yang kesemuanya duduk bersila menghadap sebuah rehal dengan senaskhah al-Quran di atasnya, Nur Amalina Azharuddin, 23, lantas mengambil tempat di bahagian penjuru kanan.

Seorang pelajar perempuan berumur 19 tahun kemudiannya mengambil tempat di hadapan Nur Amalina yang merupakan guru al-Qurannya sambil memejam mata bagi memperdengarkan bacaan Surah Yusuf yang telah dihafaznya dengan lantang.

Bakal menginjak usia 23 tahun pada 27 September nanti, Nur Amalina sudah lima tahun bergelar guru al-Quran di Maahad Integrasi Tahfiz al-Itqaan yang terletak di Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang, Selangor.

Jika dilihat pada zahirnya, gadis berketinggian sederhana itu mungkin tiada bezanya dengan guru agama lain.

Namun, di sebalik ulas senyum manisnya, Nur Amalina memiliki profil cemerlang pada bidang hafazan al-Quran di peringkat kebangsaan.

Dia merupakan wakil Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-59 bagi tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi dalam kategori hafazan wanita yang berlangsung pada bulan Mei lalu.

Ia merupakan tiket yang diperolehnya rentetan kejayaan meraih gelaran johan dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka pada pertengahan bulan April lalu.

Ditebak penglibatan awalnya dalam bidang kemahiran hafazan al-Quran, Nur Amalina bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat menekankan penghayatan kalam Allah itu.

“Kedua-dua ibu bapa saya merupakan wakil syarikat insurans, namun mereka menggalakkan kami adik-beradik untuk belajar di maahad tahfiz sejak kecil.

“Kini, kesemua enam orang adik-beradik terlibat dalam bidang hafazan manakala saya dan abang kedua, Muhammad Afiq, 25, pula bergiat aktif dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan walaupun kami mewakili negeri berbeza,” katanya sewaktu ditemui di maahad tahfiz berkenaan baru-baru ini.

Gemuruh

Nur Amalina merupakan wakil negeri Melaka dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan buat tiga tahun berturut-turut bermula 2015. Terdahulu, dia sekadar berpuas hati di tempat ketiga pada tahun 2015 dan 2016 sebelum berjaya menjulang gelaran johan pada tahun 2017.

Abangnya Muhammad Afiq pula pernah menjadi johan peringkat Negeri Sembilan dan mewakili negeri itu dalam pertandingan yang sama beberapa tahun lepas.

Nur Amalina yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan dan Pemahaman Al-Quran, Sekolah Tinggi Agama Islam Pengembangan Ilmu Quran (Staipiq), Padang, Indonesia itu mengaku sangat gemuruh sebelum naik ke atas pentas dalam setiap 10 pertandingan hafazan peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang disertainya sejak berumur 12 tahun.

Bagi mengatasi perasaan tersebut, Nur Amalina akan sentiasa mencabar dirinya untuk sentiasa yakin dan berani agar kekal fokus.

“Saya sentiasa ingat pesan ustaz agar tidak menyasarkan kemenangan untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya saya perlu mengenang jasa ibu dan ayah serta guru-guru yang banyak memberi tunjuk ajar selama ini.

“Setiap kejayaan yang diraih merupakan hadiah kepada mereka manakala ilmunya akan menjadi bekalan berpanjangan kepada diri saya sendiri,” ujar anak keempat kepada pasangan Azharuddin Zainal Abidin, 55, dan Nur Basmin Md. Amin, 52. itu.

Anak kelahiran Ampang, Selangor yang mula menghafaz 30 juzuk al-Quran sejak berumur empat tahun itu akan mengulang baca setiap ayat sebanyak 60 kali untuk mengingatinya.

Prinsip diri

Dia juga akan lebih mudah mengingat ayat-ayat mengelirukan yang mempunyai bunyi seakan-akan sama (mutashabihat) dengan mencatat perbezaannya pada lembaran al-Quran lusuh kegemarannya yang telah digunakan sejak 11 tahun lalu.

Wanita yang memegang prinsip agar sentiasa berbuat baik sesama manusia untuk kekal terang hati itu juga menanam hasrat untuk menjejakkan kaki ke Baitulmuqaddis, Palestin suatu hari nanti.

Sementara itu, berkongsi gelaran sama dengan Nur Amalina di pentas kebangsaan, namun dalam kategori hafazan lelaki ialah Muhammad Syazani Jemy.

Pada usia 19 tahun, anak kelahiran Kluang, Johor itu ternyata bukan calang-calang orang.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh (Program Ulul Albab), Tampin, Negeri Sembilan itu bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, malah bijak menyeimbangkan dengan akademik apabila memperoleh keputusan 9A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.

Dia kini sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diumumkan Januari lalu.

“Jika diizinkan, saya ingin menyambung pelajaran dalam jurusan bahasa Arab linguistik dan bergelar seorang pensyarah suatu hari nanti,” ujarnya sewaktu ditemui di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Muhammad Syazani menggalas tanggungjawab untuk mengimamkan solat sunat tarawih di masjid itu.

Mengakui dia bermula agak lambat dalam bidang hafazan al-Quran iaitu sewaktu tingkatan satu setelah bergelar pelajar MRSM Gemencheh, Muhammad Syazani menjadikan alasan tersebut untuk lebih komited dan bekerja keras.

Sewaktu berada di tingkatan dua dan tiga, dia telah melayakkan diri untuk menyertai pertandingan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Sembilan dalam kategori satu hingga 10 juzuk.

Dua tahun kemudian, Muhammad Syazani mewakili negeri kelahirannya, Johor, dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1-20 juzuk sebelum menyertai kategori 1-30 juzuk pada tahun berikutnya (2015) dan 2017. Dia meraih gelaran johan kebangsaan dalam semua penyertaan tersebut.

Bahagi masa

Ditanya bagaimana anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan menghafaz al-Quran di sebalik jadual harian yang padat, dia memberitahu, kuncinya adalah memanfaatkan waktu sebaiknya.

“Saya menggunakan sepenuhnya tempoh satu jam yang diperuntukkan untuk kelas tasmik iaitu sesi menyemak bacaan bersama guru agama pada waktu pagi dan waktu tahdir (sesi menghafaz Quran) pada pukul 8 hingga 9 malam sebelum kelas persediaan malam bermula,” kongsinya.

Muhammad Syazani juga memberitahu, kejayaan yang dicapai kini tidak akan menjadi kenyataan tanpa bantuan insan hebat yang teguh berdiri di belakang menyokongnya.

“Selama lima tahun bersekolah di MRSM Gemencheh, saya bersyukur kerana banyak mendapat tunjuk ajar daripada Ustaz Muhammad Firdaus Bakrin dan dikurniakan ibu bapa yang sentiasa menyokong tindakan saya. Hanya Allah mampu membalas jasa mereka,” luahnya.

Menceritakan pengalaman manis yang pernah diraihnya dalam bidang hafazan, Muhammad Syazani memberitahu, dia seronok apabila dapat berjumpa dan berbual dengan idolanya iaitu Ketua Lajnah Tazhih Quran Mesir, Sheikh Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawi yang merupakan ketua juri Musabaqah Hafazan al-Quran Antarabangsa di Tripoli, Lebanon pada bulan Mac lalu.

Process time in ms: 15