INFINITI

Keputusan ujian sepantas dua minit

Keputusan ujian sepantas dua minit

Penyelidik turut menyediakan tatacara dan manual penggunaan RapidRAW yang boleh dikuasai pengguna dengan mudah.


TIGA tahun lalu, Ketua Pentadbiran Teknikal dan Operasi Institut Genom Malaysia (MGI), Mohd. Razif [email protected] menjadi pengunjung setia hospital setelah puteri keduanya disahkan menghidap masalah buah pinggang.

Sebagai ikhtiar, Mohd. Razif menggunakan madu kelulut sebagai makanan tambahan untuk membantu rawatan Nursyasya Rania yang pada ketika itu baru berusia empat tahun.

Begitupun, kebanjiran produk madu tiruan menyebabkan bapa kepada tiga cahaya mata itu berasa tersepit.

Beliau bimbang penggunaan madu yang tidak diketahui asal-usulnya akan memburukkan lagi kesihatan anaknya.

“Akhbar Kosmo! sendiri pernah melaporkan 80 peratus madu yang dijual di pasaran negara ini merupakan madu tiruan. Saya pernah membeli sebotol madu kelulut yang harganya boleh tahan mahal.

“Sejak itu, saya mula mendalami ilmu lebah kelulut dan menternaknya di rumah untuk kegunaan sendiri.

“Begitupun, beberapa orang rakan saya turut menghadapi dilema sama, sekali gus mendorong saya untuk memulakan penyelidikan berkaitan madu.

“Apatah lagi, MGI sendiri mempunyai fasiliti makmal yang lengkap. Alangkah rugi jika kemudahan itu tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Bangi, Selangor baru-baru ini.

MGI merupakan komponen konsortium dalam Institut Nasional Bioteknologi Malaysia (NIBM) sejak 2012.

Ia merupakan syarikat jaminan terhad di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Hasil kajian yang dilakukan sejak 2015, Mohd. Razif dan rakan penyelidiknya, Dr. Nor Azfa Johari berjaya membangunkan kit RapidRAW yang dapat menguji dan melihat perbezaan tindak balas madu asli serta madu tiruan secara saintifik.

“Sebelum itu, kami telah mewujudkan pusat pengumpulan spesies lebah kelulut di MGI. Melalui pusat itu, kami telah mengumpul data 90 koloni lebah daripada lebih 30 spesies kelulut sehingga akhirnya tercetus inovasi kit tersebut,” tambahnya.

Dua formula

Dalam hal ini, data itu mendedahkan maklumat seperti corak taburan madu dari lokasi berbeza, spesies lebah dan faktor persekitaran yang menyumbang kepada ciri unik madu.

Sementara itu, Nor Azfa berkata, kit tersebut terdiri daripada dua formula reagen yang dinamakan R1 dan R2.

Menggunakan prinsip asas biokimia, ia telah direka bagi menunjukkan tindak balas jika dicampurkan dengan madu.

Jelasnya, lima titis R1 akan dicampur dengan tiga titis madu dan digoncang.

Setelah itu, campuran tersebut akan dimasukkan ke dalam R2.

Dalam proses timbal balas kimia, ia akan bertindak terhadap elemen organik di dalam madu seperti karbohidrat dan asid amino.

Seterusnya, sebatian itu akan mengasingkan unsur biologi tersebut dalam bentuk mendapan.

Bagi ujian melibatkan madu tiruan, pembentukan mendapan tidak akan berlaku kerana ia tidak bersifat organik.

“Buat masa ini, penggunaan kit ini bertujuan untuk membuktikan kehadiran kandungan madu mentah dalam sesuatu sampel. Jika madu mentah dicampur air, ia masih membentuk mendapan tetapi pada kadar yang lebih sedikit.


Set kit yang mengandungi 10 milimeter reagen secara purata dapat menghasilkan 20 reaksi.


“Kami berpendapat, kit ini lebih sesuai diaplikasikan untuk ujian lapangan oleh pihak penguat kuasa bagi mengenal pasti peniaga madu yang menjual madu tiruan kerana ia mampu mengeluarkan keputusan sepantas dua minit,” tuturnya.

Bercerita lanjut, Nor Azfa berkata, pihaknya turut mengumpul sebanyak 122 sampel madu lebah antaranya dari Merbok, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan Sungai Jang, Selangor bagi mendapatkan keputusan yang konsisten.

Ia terdiri daripada pelbagai jenis madu seperti madu pokok tualang, madu kampung di samping madu kelulut.

Daripada aspek pH, madu kelulut lebih berasid dengan kadar pH 3.7 hingga 5.7 manakala madu jenis lain berada pada kadar pH serendah 4.5 hingga 5.9.

Selain itu, penyelidik turut membuat sendiri madu menggunakan resipi yang diperoleh daripada pengusaha madu tiruan selain mendapatkan tip melalui carian internet.

“Adalah mustahil untuk mencipta madu yang menyerupai kandungan dan khasiat madu tulen biarpun rasa dan rupanya adalah sama.

“Dalam hal ini, RapidRAW yang dihasilkan itu merupakan versi kelapan dengan dapatan analisis yang lebih jitu dan tepat,” tegasnya.

Beliau berkata, MGI turut mempunyai spektroskopi resonans magnet nukleus (NMR) untuk mengesahkan dapatan kajian itu. Ia beroperasi seperti mesin pengimbas yang akan mengeluarkan profil metabolit sampel madu secara terperinci.

“NMR merupakan teknologi yang diimport dari luar negara pada kos mencecah RM7 juta beberapa tahun lalu.

“Ia lebih relevan digunakan untuk analisis dalam makmal. Profil metabolit hasil bacaan NMR terdiri daripada spektrum yang menunjukkan kandungan dalam nukleus sampel madu.

“Begitupun, NMR lebih membantu dalam analisa kandungan madu bagi tujuan profil nutrien dan panduan pemakanan berbanding dengan RapidRAW yang bersifat ujian saringan awal dan mudah diaplikasikan di mana-mana sahaja,” ujarnya.

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, MGI menyediakan khidmat menggunakan kit RapidRAW secara percuma untuk semua jenis sampel madu sama ada dari ladang atau dibeli di pasaran sehingga 31 Ogos depan.

Teruja

Dalam pada itu, Pengasas Bersama Bahoney Trading, Fadirul Fais meluahkan rasa teruja apabila mendapat maklumat mengenai kit itu.

Dia semakin yakin untuk mendapatkan bekalan madu dari luar bagi mengembangkan perniagaan produk berasaskan madu.

“Kami menternak sendiri lebah kelulut di Kampung Rinching Hilir, Bangi dengan 110 sarang aktif membekalkan madu secara purata 28 kilogram sebulan sejak 2012.

“Mulai tahun lalu, kami mula mengeluarkan produk yang diperbuat daripada roti lebah dan propolis seperti sabun dan pelembap bibir.

“Permintaan amat menggalakkan tetapi kami masih ragu-ragu mengambil bekalan madu dari pihak luar,” katanya yang sanggup membeli kitRAW jika ia dikomersialkan kelak.

Graduan dalam bidang bioteknologi dari Universiti Victoria, Wellington itu berkata, pihaknya pernah menggunakan perkhidmatan NMR yang disediakan MGI, namun kosnya agak tinggi sementelah keputusan analisis hanya dikeluarkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu.

Process time in ms: 47