GENK

Insan hebat teladani ketepatan masa kereta api Shinkansen

Insan hebat teladani ketepatan masa kereta api Shinkansen


KELAJUAN dan ketepatan masa merupakan signatur kereta api laju Shinkansen di Jepun. – Gambar hiasan


KERETA api laju Shinkansen mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 1964 serentak dengan penganjuran temasya Sukan Olimpik di Tokyo.

Pada tahun itu, negara Matahari Terbit tersebut baru 19 tahun bangkit daripada kekalahan perang dunia kedua.

Shinkansen menjadi sebutan ramai bukan sahaja kerana namanya yang unik tetapi ia adalah pengangkutan awam terpantas dan menepati masa.

Purata kelewatan daripada jadual yang pernah direkodkan oleh Shinkansen ialah selama 54 saat bagi setiap satu tren.

Namun, perkhidmatan kereta api laju itu mengenakan tambang yang lebih tinggi berbanding kereta api biasa.

Penulis sendiri pernah menaiki Shinkansen di wilayah Fukushima sewaktu mengikuti kursus tajaan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) tiga tahun lalu.

Pada kelajuan maksimum 320 kilometer per jam (km/j), jarak sejauh 40km hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Kepantasan Shinkansen menjadi inspirasi sesetengah orang untuk merujuknya sebagai simbol kepantasan dalam tindakan manusia.

Agak sukar sebenarnya untuk menyeragamkan tahap ketangkasan manusia bertindak. Ia berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran dan daya fikir seseorang.

Sebagai contoh, ibu bapa dapat mengenal pasti potensi anak-anak mereka sedari awal. Mungkin perkembangan pembelajaran anak sulung lebih cemerlang berbanding adik-beradik yang lain dan begitulah sebaliknya.

Fitrah manusia

Menjadi seorang yang pantas bukanlah bermakna mengubah hidup menjadi seperti robot.

Ini satu fahaman yang tidak betul. Mustahil fitrah kemanusiaan seperti makan, minum, tidur dan hiburan boleh ditinggalkan.

Sekadar mengambil idea daripada kehebatan Shinkansen membelah bumi Jepun, faktor yang menyebabkannya kekal relevan sebagai mod pengangkutan awam ialah ketepatan masa.

Masa tidak boleh dijual beli. Sebarang tindakan yang diambil kini tidak boleh diputar kembali.

Secara tersirat, masa adalah aspek penting dalam kehidupan. Sesetengah orang beranggapan tempoh masa 24 jam tidak mencukupi untuk menyelesaikan pelbagai urusan.

Rugilah sesiapa yang menjadikan masa tidak cukup sebagai alasan melepaskan diri daripada pelbagai masalah.

Untuk menjadi insan yang hebat, masa perlu diurus dengan cekap.

Bagi seorang pelajar, kemahiran mengurus masa adalah satu kewajipan yang sama penting dengan pengurusan wang. Sebagai pelajar, masa mereka lebih banyak berbanding individu yang sudah bekerja.

Salah satu cabaran yang perlu pelajar hadapi ialah memenuhi tarikh akhir penghantaran kerja kursus.

Pensyarah lazimnya menetapkan tempoh yang agak lama untuk menyiapkan sesuatu tugasan.

Namun, ada yang melengah-lengahkan masa untuk menyiapkannya sehingga ke saat-saat akhir.

Dalam era teknologi yang serba canggih ini, pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi perlu cekap memanipulasi teknologi aplikasi mudah alih yang terdapat dalam gajet mereka.

Sekiranya keberatan untuk mencatatkan jadual dan tarikh-tarikh penting secara manual, maka kita boleh beralih kepada aplikasi kalendar yang tersedia dalam setiap telefon pintar.

Kita boleh memantau aktiviti kita secara harian, mingguan dan bulanan dalam satu masa.

Hakikatnya, tiada sebab untuk kita kemukakan alasan klise seperti terlupa atau terlepas pandang jika gagal melunaskan sesuatu tugasan kerana segala-galanya boleh diurus hanya di hujung jari.

Process time in ms: 47