GENK

Mahu mewakili negara ke peringkat lebih tinggi

Mahu mewakili negara ke peringkat lebih tinggi

NORA LYANA (kanan) dan Naqib menjuarai Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2017 baru-baru ini.


SENYUMAN kegembiraan jelas terpancar pada wajah Nora Lyana Nastasia Norkamal, 20, sebaik kesemua pin boling berjaya dijatuhkan.

Walaupun sekadar latihan, dia yang mesra dengan panggilan Nora Lyana sentiasa fokus untuk memberikan aksi terbaik.

“Kebiasaannya, seminggu lima kali saya dan rakan-rakan yang lain akan datang ke sini untuk berlatih.

“Sehari kami akan berlatih selama dua jam. Jika ada pertandingan yang akan disertai, latihan akan dilakukan pada sebelah pagi dan petang serta setiap sesi selama dua jam.

“Latihan ini penting bagi kami untuk memberikan aksi terbaik pada setiap kejohanan yang akan disertai kelak,” jelasnya ketika ditemui di Sunway Mega Lanes di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Nora Lyana merupakan sebahagian daripada skuad pelapis sukan boling negara di bawah program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) yang giat menjalani latihan bagi meningkatkan skil permainan masing-masing.

Program itu menghimpunkan pemain-pemain pelapis yang berpotensi dari seluruh negara dan ia melibatkan pemain yang berusia tidak melebih 21 tahun.

Sepanjang terlibat dengan sukan boling, Nora Lyana telah menyumbang pingat untuk negara dalam beberapa kejohanan yang disertainya.

Dia juga antara penyumbang pingat emas pada Kejohanan Boling Remaja Asia 2015 yang berlangsung di Macau.

Pada tahun lalu, dia juga telah menyertai Kejohanan Remaja Dunia yang berlangsung di Lincoln, Nebraska, Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, Nora Lyana menjadi juara wanita pada Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2017.

Aktiviti riadah

Ketika diminta mengulas tentang penglibatan dalam sukan boling, Nora Lyana menjelaskan, dia mula melibatkan diri ketika berusia 11 tahun.

“Pada waktu itu, saya hanya mengikuti keluarga bermain boling sebagai salah satu aktiviti riadah.

“Sejak itu, saya mula berminat dengan sukan ini dan ingin melibatkan diri secara serius,” jelasnya.

Tidak berapa lama selepas itu, dia mengikuti pemilihan sukan teras boling.

Ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor setahun kemudian, dia terpilih untuk mewakili Selangor pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Semasa usianya mencecah 15 tahun iaitu ketika menuntut di Sekolah Menengah Putrajaya, dia terpilih untuk menyertai skuad khas di bawah Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

“Dua tahun selepas itu, saya diserap untuk menyertai skuad pelapis kebangsaan.

“Pada tahun lalu, saya terpilih untuk menyertai program Kita Juara, namun tidak berjaya melayakkan diri ke fasa kedua, sekali gus diserapkan kembali ke skuad pelapis.


Sesi latihan skuad pelapis boling negara diadakan di Sunway Mega Lanes di Sunway Pyramid, Selangor.


“Kini, apa yang perlu saya lakukan adalah berlatih bersungguh-sungguh agar dapat diserap ke skuad elit. Saya juga meletakkan sasaran untuk mewakili negara pada Sukan SEA dua tahun lagi,” jelas penuntut Universiti Malaya itu.

Dalam pada itu, menyumbang pingat kepada negara adalah satu kenangan manis baginya sepanjang terlibat dalam sukan boling.

Tambahnya, penglibatan dalam sukan itu juga membolehkannya mengenali negara orang.

“Berpeluang menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat antara kenangan manis yang saya peroleh.

“Pada kejohanan itu, saya berpeluang untuk menentang jaguh-jaguh lain dari seluruh dunia. Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk yakin dan beraksi cemerlang apabila membawa nama negara,” katanya.

Nora Lyana menjelaskan, kedua-dua ibu bapanya, Norkamal Omar, 54, dan Fadzlon Mohd. Yusoff, 53, menjadi tulang belakang sepanjang terlibat dalam sukan itu.

“Mereka berdua banyak berkorban untuk saya berjaya dalam sukan ini. Merekalah yang sering menghantar dan mengambil saya ketika mula-mula melibatkan diri dalam sukan ini.

“Jasa mereka akan saya kenang sampai bila-bila dan setiap kejohanan yang disertai, merekalah yang banyak memberi motivasi serta semangat untuk saya beraksi dengan baik,” kata anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.

Boling boleh dianggap sebagai satu sukan yang sering menghadiahkan pingat buat negara apabila ia dipertandingkan dalam sesuatu kejohanan.

Maka, program pelapis seperti itu perlu dilaksanakan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena sukan ini.

Tidak percaya

Dalam pada itu, Wan Muhammad Naqib Norazizan, 17, antara pelapis muda yang berpotensi untuk menjadi bintang sukan boling pada masa hadapan.

Sama seperti Nora Lyana, dia turut menjadi juara pada Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2017 bagi kategori lelaki.

Wan Muhammad Naqib sendiri tidak percaya dia akan diserapkan ke skuad pelapis boling negara.

“Saya dapat tahu bahawa ada pemilihan untuk skuad pelapis di Sunway Mega Lanes. Jadi, saya mengambil peluang itu untuk mencuba nasib.

“Semasa sesi pemilihan, peserta lain turut menunjukkan mutu permainan yang bagus. Saya bersyukur kerana mampu beraksi dengan baik pada hari itu dan terpilih,” jelasnya yang kini menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 7, Shah Alam.

Tambah Wan Muhammad Naqib, impiannya dalam sukan itu adalah untuk mewakili negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Baginya, kejayaan menjadi juara pada Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2017 telah menaikkan semangatnya untuk terus beraksi cemerlang, sekali gus menyertai skuad elit kebangsaan.

Process time in ms: 47