AURA JUITA

Jakel perkenal koleksi Barulah Raya!

Jakel perkenal koleksi Barulah Raya!


Hairul Azreen dan isterinya, Hanis Zalikha gembira dipilih sebagai duta terbaharu koleksi pakaian raya Jakel.


Setiap kali tiba musim perayaan sudah pasti jenama Jakel menjadi perhatian.

Mana tidaknya, rata-rata masyarakat tidak kira muda ataupun tua, akan berkunjung ke gedung pakaian terbesar itu bagi melunaskan hajat mendapatkan seleksi pakaian yang baharu dan trendy sesuai dengan tema perayaan saban tahun.

Terkenal sebagai pusat pakaian siap dan kain yang berkualiti tinggi, setiap tahun Jakel merangka strategi pemasaran yang sangat bijak dengan menampilkan kolaborasi bersama artis-artis tanah air terkenal bagi mempromosikan koleksi masing-masing.

Tahun ini, Jakel kembali mencuri tumpuan ramai dengan menampilkan barisan duta baharu dalam memperkenalkan koleksi pakaian masing-masing antaranya Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Harith Iskander, Hairul Azreen bersama isterinya, Hanis Zalikha, Awal Ashaari dan pasangan Scha Al-Yahya, Ayda Jebat serta Rozita Che Wan.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, sempena ulang tahun ke-10 Jakel bertapak di Kuala Lumpur, gedung pakaian tersebut pada tahun ini menawarkan lebih banyak koleksi pakaian raya berbanding tahun sebelumnya.


Warna lembut turut disediakan Jakel dalam koleksinya kali ini.


“Tahun ini, Jakel mengeluarkan pelbagai variasi koleksi pakaian raya yang lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat sekali gus memastikan kepuasan pelanggan terjaga.

“Sebagai sebuah pusat tekstil tanah air, Jakel juga adalah pengimport utama tanpa melalui orang tengah. Justeru, perkara ini membolehkan pelanggan membeli fabrik dan pakaian pada kadar harga yang lebih murah dan berpatutan,” katanya ketika ditemui Aura Juita baru-baru ini.

Tambah beliau, koleksi pada tahun ini juga lebih memfokuskan kepada corak dan warna yang lebih segar dan moden.

“Kami sememangnya ingin memahami kemahuan pelanggan di luar sana. Jadi, kami menyediakan koleksi yang lebih pelbagai agar orang ramai sendiri boleh memilih jenis ataupun rekaan koleksi yang diminati untuk digayakan pada Aidilfitri nanti,” katanya.


Jakel mengetengahkan rekaan koleksi raya yang lebih eksklusif.


Koleksi-koleksi pakaian raya Jakel pada tahun ini dirancakkan dengan penampilan dua duta terbaharu iaitu Harith Iskander dan Hairul Azreen bersama isterinya, Hanis Zalikha serta anak lelaki mereka, Yusof Iskandar.

Uniknya, koleksi Harith Iskander memfokuskan khusus kepada pelanggan yang berbadan gempal.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan koleksi-koleksi terbaharu ini boleh mengunjungi gedung Jakel berdekatan seperti di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur; Jalan Plumbum S7/S Shah Alam; Jalan Aji, Segamat dan Jalan Padi Emas 1/3, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Process time in ms: 31