PESONA

Tarian Bollywood kanak-kanak istimewa meriahkan Charity Cantik

Tarian Bollywood kanak-kanak istimewa meriahkan Charity Cantik


KANAK-KANAK dari Pusat Penjagaan K-Link menghiburkan tetamu dengan tarian Bollywood.


CUACA pada hari itu sungguh cerah. Bagi mereka yang mengadakan majlis di luar bangunan seperti padang, halaman rumah mahupun di luar premis perniagaan, tarikh 6 Mei lalu merupakan pilihan tepat.

Antara salah satu program yang diadakan ialah majlis amal Charity Cantik anjuran Pusat Penjagaan K-Link dan Butik Koleksi Shamil. Majlis berkenaan diadakan di pekarangan tempat letak kereta Butik Koleksi Shamil di Jalan Dataran Wangsa 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Sekitar pukul 11 pagi, kelihatan orang ramai mula memenuhi ruang khemah yang dihiasi dengan reben berwarna merah dan kuning. Ada yang datang bersama keluarga dan anak-anak, malah tidak kurang juga bersama rakan-rakan.

Selain pengunjung luar, kanak-kanak istimewa dari pusat jagaan itu bersama waris dan penjaga mereka turut datang meraikan hari berkenaan. Mereka hadir bagi memeriahkan lagi ulang tahun kedua penubuhan pusat tersebut dan ulang tahun pertama Butik Koleksi Shamil.

Tepat pukul 12.30 tengah hari, acara dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka majlis dan persembahan nyanyian daripada kumpulan nasyid, Hijjaz. Kumpulan itu menyampaikan tiga buah lagu antaranya Dia Kekasih Allah diikuti persembahan daripada kanak-kanak Pusat Penjagaan K-Link.

Seorang ibu, Rosnani Hashim, 55, hadir ke majlis itu bagi menyokong dan melihat persembahan anaknya, Nur Haziqah Hanani Mohd. Basri, 16 yang terlibat dalam persembahan tarian Hindustan dan tradisional Sabah.

“Pagi-pagi lagi Haziqah sudah bangun dan tidak sabar untuk bersiap. Dia begitu teruja untuk terlibat dalam tarian tersebut yang dipelajarinya sejak bulan lalu.

“Selain berlatih di pusat tersebut, dia juga akan menunjukkan bakat kepada kakak dan abangnya di rumah,” katanya sambil memerhatikan gelagat anaknya yang berpakaian India, anarkali.

Tambahnya, dia gembira apabila melihat anaknya tidak segan serta berkebolehan mengadakan persembahan di hadapan orang ramai. Dia sering berasa risau kerana anaknya mempunyai karakter berubah-ubah akibat penyakit Sindrom Down.

Rosnani yang berasal dari Setapak percaya dengan didikan guru-guru di pusat tersebut, anak bongsu daripada enam beradik itu mampu menyelesaikan persembahannya dengan baik.

Jangkaan itu tepat apabila lebih kurang 10 kanak-kanak dari pusat itu berjaya membuat persembahan di hadapan kira-kira 150 orang pengunjung.

Acara diteruskan dengan ucapan kata alu-aluan daripada Pengerusi Pusat Penjagaan K-Link, Datin Roziyaton Jamaluddin.

Latihan industri


KANAK-KANAK istimewa menunjukkan bakat tarian yang dipelajari dari Pusat Penjagaan K-Link.


Menurut beliau, majlis berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara waris, kakitangan dan orang awam selain meraikan ulang tahun pusat jagaan dan butik tersebut.

“Pusat Penjagaan K-Link merupakan sebuah pusat yang memberi latihan vokasional kepada kanak-kanak berumur tiga hingga 20 tahun. Mereka dilatih untuk menguruskan diri seperti membasuh pinggan, mencuci baju dan menyapu rumah.

“Kini, mereka diberi latihan industri pula seperti buat biskut untuk perayaan dan perkhidmatan mendobi. Latihan ini penting supaya apabila dewasa nanti, mereka mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang,” ujarnya.

Tuturnya lagi, pembukaan Butik Koleksi Shamil pada setahun yang lalu juga merupakan antara dedikasinya untuk anak-anak istimewa berkenaan.

“Hasil jualan butik itu akan disalurkan dan digunakan untuk mereka. Malah, produk-produk yang dihasilkan kanak-kanak ini dapat diletakkan di butik tersebut,” katanya.

Sementara itu, pada majlis Charity Cantik yang berlangsung daripada pukul 11 pagi hingga 4 petang itu, diadakan juga acara cabutan bertuah, peragaan busana, tutorial memakai hijab dan tutorial alat solek.

Seorang pengunjung, Sri Mulyati Abdul Karim, 60, berkata, dia hadir ke majlis itu selepas dimaklumkan rakannya.

“Saya ingin mendapatkan harga promosi di Butik Koleksi Shamil yang menjual busana patuh syariah selain material kain di butik itu amat selesa,” katanya yang turut membuat pemeriksaan kesihatan di kaunter yang disediakan.

Process time in ms: 15