PESONA

Makan banyak makanan mengandungi serat tinggi

Makan banyak makanan mengandungi serat tinggi

JUMLAH pengambilan kalori mestilah sama seperti hari biasa bagi memberi keseimbangan kepada tubuh badan sepanjang Ramadan. – Gambar hiasan


Ramadan adalah bulan yang penuh barakah dan bulan ujian untuk umat Islam. Kesabaran kita diuji dengan menahan lapar, dahaga, menjaga mata, hati dan lidah daripada perkara yang merosakkan pahala berpuasa.

Ironinya, selain memikirkan amalan-amalan yang ingin dilakukan, semua orang mula sibuk memikirkan juadah yang mahu dinikmati tatkala azan Maghrib berkumandang sebaik melewati waktu tengah hari.

Tepat pukul 5 petang, masing-masing sibuk menuju ke bazar Ramadan bagi mencari hidangan lazat yang beraneka jenis termasuk pencuci mulut ataupun air pelbagai warna.

Semuanya mahu dibeli selepas menahan lapar hampir 14 jam. Waktu itulah nafsu mula mendorong untuk membeli apa sahaja bagi mengisi perut yang sudah meronta-ronta minta diisi.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengendahkan mengenai corak pemakanan sepanjang berbuka sehingga adakalanya mendatangkan mudarat seperti diabetes daripada pengambilan gula berlebihan.

Situasi itu perlu ditangani supaya amalan pemakanan seimbang dapat diterapkan terutamanya pada bulan Ramadan.

Perkara itu antara yang menjadi keutamaan Sharifah Aini Syed Abbas, 39, yang sentiasa mengamalkan pemakan seimbang dan sihat setiap hari termasuk pada bulan Ramadan bagi memastikan kesihatannya kekal baik.

Masak sendiri

Menurutnya, mematuhi piramid makanan antara kunci utama untuk memastikan dia kekal seimbang kerana petunjuk itu mengajarnya cara memilih makanan dan pengambilan sesuatu kandungan makanan itu dengan betul.

“Saya mengamalkan banyak makan sayur dan buah setiap hari kerana ia mengandungi serat tinggi yang cukup baik untuk kesihatan dalaman.

“Saya juga mengurangkan makanan manis dan berminyak kerana tahu setiap makanan itu sudah mengandungi gula,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, setiap kali tibanya bulan puasa, dia memilih untuk memasak sendiri dan hanya sesekali membelinya di bazar Ramadan.

Dia bimbang tentang kualiti kebersihan makanan yang dijual kerana adakalanya ia dibiarkan terdedah sehingga dikerumuni lalat.

Sharifah Aini begitu menitikberatkan soal kebersihan makanan kerana jika kotor, sudah tentu ia mendatangkan mudarat, sekali gus menjejaskan ibadah puasanya.

“Antara menu yang akan dimasak ialah sup sayur dan ikan kukus kerana ia dapat membantu mengekalkan kecergasan sepanjang Ramadan.

“Paling penting, saya juga akan menikmati pelbagai jenis buah-buahan kerana ia pengganti baik untuk gula,” jelasnya.

Bagi memastikan Sharifah Aini memperoleh khasiat secukupnya sepanjang berpuasa, dia sentiasa membaca dan mengambil tip-tip pemakanan sihat sebagai panduan menjalani ibadah tersebut.

“Ia sebagai panduan menentukan jumlah kalori yang diambil ketika berpuasa kerana pada waktu ini, kita akan makan pada awal pagi (sahur) dan malam.

“Saya perlu memastikan jumlah kalori atau nutrisi yang diambil mencukupi sama seperti dalam jadual pemakanan harian lain,” jelasnya.

Sharifah Aini menjelaskan, amalan pemakanan baik dan sihat berjaya memastikan dia sentiasa cergas sepanjang hari.

Paling penting, dia masih bebas daripada sebarang penyakit berbahaya. Sebab itu, dia sentiasa mengamalkan corak pemakanan baik supaya kesihatannya tidak terjejas.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aminah Abdullah berkata, makanan pada bulan puasa tidak mempunyai sebarang perbezaan.

Menurutnya, kebanyakan makanan yang dijual masih sama dan faktor yang menyebabkan orang makan terlalu banyak adalah kerana lapar selepas 14 jam berpuasa.

“Sebenarnya, konsep itu salah kerana semua makanan adalah sama, namun amalan pemakanan yang menyebabkan pelbagai masalah timbul semasa atau selepas berakhirnya Ramadan.

“Sebagai tambahan, ramai orang mengambil pelbagai makanan termasuk minuman berkarbonat atau manis seolah-olah membalas dendam selepas sebulan menahan lapar pada hari raya,” katanya.

Justeru, pada bulan puasa, adalah digalakkan untuk setiap orang mengambil makanan lebih berkhasiat dan mengikut jadual atau piramid makanan yang disediakan pihak kementerian.

Waktu kritikal


Elakkan makanan yang berminyak ketika bulan Ramadan. – Gambar hiasan


Beliau menjelaskan, jumlah pengambilan kalori mestilah sama seperti hari biasa bagi memberi keseimbangan kepada tubuh badan sepanjang Ramadan.

Ini kerana, waktu itu sangat kritikal bagi badan yang kekurangan air.

“Setiap orang digalakkan untuk mengambil makanan sihat yang mengandungi serat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran pada waktu sahur serta berbuka.

“Selain itu, pengambilan makanan berserat tinggi seperti roti dan nasi daripada beras perang sangat bagus kerana makanan ini bersifat tahan lama, sekali gus membantu seseorang itu bertahan sehingga waktu berbuka,” ujarnya.

Pada bulan puasa, ramai orang akan tewas dengan cita rasa makanan terutamanya di bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai lauk-pauk, manisan termasuk makanan barat.

Sekiranya gagal mengambil makanan seimbang, seseorang itu akan terdedah dengan pelbagai risiko berikutan makanan yang terdapat di gerai sering terdedah selain penggunaan minyak masak yang berulang.

“Setiap orang perlu sedar bahawa jumlah kalori harian manusia mestilah seimbang dan dinasihatkan agar membuat rujukan dengan pakar-pakar pemakanan bagi mengetahui pengambilan kalori semasa bulan puasa.

“Diingatkan, makanan seperti santan dan gula memang mempunyai jumlah kalori tinggi serta jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kemudaratan,” jelasnya.

Konsultan Pediatrik Hospital Columbia Asia-Petaling Jaya, Dr. Sharifah Aida Alhabshi turut melontarkan pendapat yang sama.

Beliau memberitahu, bagi individu yang mempunyai masalah gastrik atau kencing manis, mereka masih boleh berpuasa tetapi perlu mengikut saranan doktor.

Selain itu, faktor pemakanan memainkan peranan penting untuk mengawal paras gula dalam badan dan memastikan jumlah nutrien yang diambil mencukupi biarpun pada bulan Ramadan.

“Bagi individu yang mempunyai masalah gastrik, mereka dinasihatkan supaya makan pada waktu sahur.

Selain sunah Rasulullah SAW, ia adalah keperluan seimbang dalam memastikan perut dapat menahan lapar selama 14 jam.

“Jika bergantung pada ubat, pastikan ia mengikut nasihat atau saranan doktor bagi mengelak sebarang masalah. Biarpun mengalami gastrik, mereka masih lagi boleh berpuasa,” katanya.

Bagaimanapun, senario itu sedikit berbeza dengan mereka yang mengalami masalah diabetes kerana jika mengambil insulin, kaedah atau konsep pengambilan ubatnya perlu mengikut kepada pemakanan.

Pesakit perlu mendapat rujukan doktor bagi memastikan kandungan gula dalam badan sentiasa diawasi pada setiap masa.

Menurutnya, pesakit boleh meminum susu selepas solat tarawih sebagai makanan tambahan selain memastikan perut agak kenyang dan jangan sesekali meninggalkan air masak kerana badan kehilangan air pada waktu siang.

“Kehilangan air ini menyebabkan masalah dehidrasi yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan kesihatan seperti pengsan atau lemah.

“Justeru, biarpun puasa, pengambilan air mestilah cukup. Selain elak dahaga, ia juga sangat penting dalam memastikan tubuh sentiasa bertenaga,” jelasnya.

Menurutnya, bagi mereka yang berpenyakit, saranan doktor mestilah dipatuhi dan jangan sesekali mengabaikan ubat jika bergantung kepada ubat.

Ini kerana ada ubat yang boleh diambil dalam pemakanan dan ada yang diambil secara berasingan iaitu selepas makan.

Process time in ms: 16