HORIZON

Pengalaman indah belai, manjakan gajah

Pengalaman indah belai, manjakan gajah

Dua ekor anak gajah ini melakonkan semula kejadian sebenar ibunya mati sebelum kedua-duanya ditangkap oleh Perhilitan dan ditempatkan di KECV.


SAAT mendekati gigi air di Sungai Telemong yang terletak berhampiran Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu itu, perasaan Syarifatul Iman Muhamad Salihin, 8, semakin berdebar-debar.

Masakan tidak, itu merupakan kali pertama pelajar tahun dua Madrasah Darul Taqwa, Batu Enam, Kuala Terengganu itu mendekati sekawan gajah yang sedang mandi di sungai berkenaan.

“Memang saya takut dengan gajah kerana badannya besar dan mempunyai tenaga yang kuat.

“Malah, selama ini pun saya kerap mendengar cerita jika gajah naik minyak, ia akan mengamuk dan merosakkan apa yang ada di sekelilingnya termasuk boleh membunuh manusia.

“Sebab itulah bila bapa bawa saya dan adik, Muhamad Syiham Al-Iman, 6, melihat gajah secara lebih dekat, perasaan takut dan bimbang itu sentiasa ada,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, selepas menghampiri haiwan berkenaan, ternyata perasaan takut yang bersarang di dalam fikirannya selama ini mula hilang sedikit demi sedikit.

Malah, dia juga turut memberanikan diri dengan mengusap seekor gajah betina berusia 13 tahun bernama Puteri yang berbaring di gigi air sungai berkenaan dan sedia untuk dimandikan.

Bagi bapa kanak-kanak itu, Muhamad Salihin Ngah, 35, berkata, dia membawa kedua-dua anaknya itu mendekati dan bermesra dengan beberapa ekor gajah selepas diberi peluang melakukan aktiviti itu oleh pemilik Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV).

“Peluang seperti ini tidak selalunya ada kerana kita tahu, gajah merupakan haiwan bersaiz besar dan emosinya sukar diramal.

“Jadi, apabila diberi peluang untuk memandikan gajah, saya tidak akan melepaskannya kerana saya percaya, faktor keselamatan telah diambil berat oleh petugas di KECV.

“Sebab itulah, saya mahu kedua-dua anak saya merasai pengalaman mendekati dan bermain bersama gajah. Selain itu, saya mahu mereka tahu bahawa di sebalik saiz yang besar, haiwan ini juga memiliki sifat untuk dibelai dan dimanjakan,” katanya yang merupakan seorang anggota polis.

Tarikan baharu


Pintu masuk ke KECV yang terletak di Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu.


KECV merupakan sebuah daya tarikan pelancongan baharu yang wujud di daerah Kuala Berang. Terletak kira-kira 65 kilometer dari Kuala Terengganu, pusat konservasi itu merupakan yang kedua diwujudkan di negara ini selepas Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang terletak di Temerloh, Pahang.

Mengulas mengenai KECV, Pengurus Besarnya, Ang Ching Yang berkata, pusat konservasi seluas 256 hektar itu mula dibangunkan pada tahun 2012 hasil kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ia bertujuan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai penempatan sementara bagi gajah liar yang berhadapan konflik dengan manusia termasuklah memasuki kawasan perkampungan selain memusnahkan tanaman milik penduduk kampung dan ditinggalkan kawanan yang berhijrah disebabkan kawasan habitat yang telah diganggu.

Kata Ching Yang lagi, selepas hampir dua tahun membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut, kumpulan pertama yang terdiri daripada enam ekor gajah telah dibawa masuk ke KECV oleh Perhilitan.

“KECV dibina atas dasar untuk mewujudkan sebuah pusat bagi menempatkan semula gajah yang berhadapan konflik dengan manusia kerana jika dibiarkan situasi seperti itu berlarutan, mungkin akan ada antara haiwan atau manusia yang akan tercedera.

“Malah, ia juga sebagai mesej kepada orang ramai bahawa konflik yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan cara memindahkan gajah-gajah yang terlibat ke satu pusat konservasi bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Pusat rawatan


Gajah yang diselamatkan akan ditempatkan di KECV untuk tujuan pemulihan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal. – Gambar hiasan


Jelas Ching Yang, KECV juga berfungsi sebagai pusat rawatan bagi gajah-gajah liar yang cedera sebelum dihantar semula ke habitat asal selepas disahkan sudah sembuh.

“Kita memilih hutan di Tasik Kenyir ini sebagai pusat konservasi memandangkan ia masih terpelihara dan mampu mewujudkan suasana habitat sebenar bagi kesemua gajah yang dibawa ke sini.

“Malah, daripada 256 hektar kawasan hutan yang diperuntukkan, kita hanya membangunkan kira-kira 10 peratus untuk tujuan pembinaan infrastruktur,” katanya.

Sejak dibuka lima tahun lalu, KECV sudah menjadi tempat tinggal kepada 18 ekor gajah yang berusia antara tiga hingga 42 tahun yang kesemuanya berasal dari negeri berkenaan.

Bagaimanapun kata Ching Ang, sehingga kini belum ada gajah yang dilepaskan semula ke kawasan hutan kerana masih dalam peringkat pemantauan.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti yang terdapat di KECV, jelas beliau, pusat konservasi itu mula dibuka kepada orang awam pada Mei 2014 sebagai pusat pendidikan pelancongan selain menjadi daya tarikan baharu kepada pelancong yang datang ke Kuala Berang.

“Di sini, pengunjung boleh melihat gajah dengan lebih dekat dengan menyusuri jambatan gantung sepanjang kira-kira 600 meter yang dibina mengelilingi kawasan utama yang dikhaskan untuk pelawat.

“Malah, mereka juga boleh melihat persembahan gajah yang menggambarkan kehidupan sebenar haiwan itu di habitat liar menerusi pertunjukan yang diadakan setiap hari selain memberi makan dan menaiki haiwan berkenaan.

Menjinakkan gajah


Muhamad Salihin (kiri) bersama dua anaknya berpeluang mengusap gajah.


“Lebih menarik, pengunjung turut diberi peluang untuk memanjakan gajah dengan memandikan haiwan tersebut di kawasan sungai yang terletak di kawasan pusat konservasi ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai proses menjinakkan kesemua gajah berkenaan, Ching Yang memberitahu, KECV memiliki 20 orang penjinak gajah yang digelar mahout atau pawang gajah.

Lima daripada mereka merupakan warga Thailand yang sememangnya berkemahiran dalam menjinakkan gajah liar selain melatih haiwan itu untuk tujuan pertunjukan.

“Seorang daripada mereka iaitu Maitree merupakan salah seorang daripada lima mahout terbaik di Asia.

“Dia bersama empat rakannya dibawa ke KECV untuk membantu kita menjinakkan kesemua gajah liar yang ditempatkan di sini selain memberi tunjuk ajar kepada penjaga gajah warga tempatan yang bekerja di sini,” katanya.

Menurut beliau lagi, sejak dibuka kepada lawatan, KECV kerap menerima kunjungan daripada pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Tasik Kenyir terutama pada musim cuti umum dan cuti persekolahan.

Process time in ms: 47