STAILO

Turban dan hijab sedia pakai Ilham Echenta

Turban dan hijab sedia pakai Ilham Echenta


Barisan model memperagakan koleksi Ilham Echenta ketika pertunjukan fesyen Zalora Raya 2017 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Turban merupakan kain yang dililit menggunakan teknik tertentu untuk menutup kepala.

Pemakaian turban begitu popular dalam kalangan lelaki dari India, Afghanistan, Asia Tenggara, Asia Barat dan Afrika.

Namun, hari ini ia kini popular dalam kalangan wanita yang mahu tampil sopan.

Memahami perkembangan semasa dalam industri fesyen, Ilham Echenta tampil dengan turban dan hijab.

Ilham Echenta merupakan pelopor industri rekaan turban di Malaysia.

Pengasasnya, Faezah Ahmad Fadzil memulakan aktiviti jualan turban kecil-kecilan sejak tahun 2012 secara online.

Melihat sambutan daripada masyarakat setempat yang menggalakkan, Faezah atau lebih mesra disapa Echenta mula serius membina empayarnya secara rasmi tiga tahun lalu.

“Ketika itu, produk turban sedia pakai masih belum begitu popular seperti masa kini.

“Bahkan, ia sukar diperoleh di pasaran kerana tidak banyak pengeluar tudung atau turban sedia pakai.

“Justeru, kami mengambil kesempatan itu untuk menjadi pelopor produksi turban di Malaysia dan memperkenalkannya dalam skala besar,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! pada pertunjukan fesyen Zalora Raya 2017 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Signatur

Bermula secara kecil-kecilan, koleksi turban sedia pakai Ilham Echenta semakin dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah ia diterima sehingga ke Eropah dan Asia Barat.

Sempena Aidilfitri, Ilham Echenta berkolaborasi bersama Zalora dalam menghasilkan serta memasarkan rekaan koleksi turban dan hijab signaturnya.

Secara umumnya, kesemua koleksi signatur Ilham Echenta menampilkan rekaan kasual dan sopan.

Namun, kali ini Ilham Echenta menambah sentuhan classy dan glamorous sempena koleksi lebaran tahun 2017.

Koleksi tersebut juga didatangkan sempena menyambut ulang tahun kelima Ilham Echenta tahun ini.

“Istimewanya koleksi lebaran kali ini, Ilham Echenta menggunakan fabrik jaring berwarna dan bulu yang belum pernah digunakan.

“Kebiasaannya, fabrik yang digunakan ialah satin velvet, krep dan sutera sifon.

“Namun bagi menonjolkan elemen baharu itu, Ilham Echenta mengambil pendekatan berani iaitu dengan menambah unsur perhiasan pada fabrik seperti jaring berwarna serta bulu,” tambahnya.

Keunikan tersebut membuatkan si pemakai lebih menyerlah biarpun tanpa aksesori lain.

Versatilti koleksi turban tersebut sangat sempurna untuk digayakan oleh segmen masyarakat yang pelbagai selain ia mudah digayakan dalam apa jua keadaan.

Biarpun digayakan dalam cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, pemakai mampu menggayakannya dalam keadaan yang selesa.

Tambah Faezah, fabrik yang digunakan ringan dan berangin.

Turban sedia pakai Ilham Echenta boleh didapati di butik di kawasan komersial Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, pusat beli-belah Modvier Bangsar dan Isetan KLCC.

Selain itu, Ilham Echenta juga terus melebarkan legasinya sehingga ke negara jiran, Singapura.

Rakyat negara itu juga boleh mendapatkan koleksi Ilham Echenta dengan mengunjungi butik mereka yang terletak di Centropod, Changi Road, Singapura.

Process time in ms: 47