STAILO

Reka corak kain secara eksklusif

Reka corak kain secara eksklusif

AISHAH (kanan) dan Nor Airin bergabung tenaga serta idea membangunkan Fabprint Enterprise.


MENCARI kelainan pada koleksi pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri membuatkan wanita berusia 33 tahun yang ingin dikenali sebagai Ina mendapatkan bantuan Fabprint Enterprise (Fabprint).

Sebelum ini Ina hanya membeli kain yang sudah siap dicetak, mereka dan menjahit bajunya sendiri.

“Tahun lalu, seorang sahabat mencadangkan kepada saya untuk mereka sendiri corak kain itu kerana corak pada fabrik-fabrik sedia ada kurang menarik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ketika mencari-cari syarikat yang menyediakan perkhidmatan percetakan kain, Ina secara tidak sengaja mendapat maklumat mengenai Fabprint ketika melayari Instagram.

Selepas meneliti satu persatu gambar mengenai syarikat itu di laman sosial tersebut, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengambil keputusan untuk bertemu pemiliknya.

“Selepas berbincang, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan perkhidmatannya tahun lalu.

“Kualiti cetakannya sangat cantik dan memenuhi keperluan seperti yang saya kehendaki,” terangnya yang sudah tiga tahun menjalankan perusahaan butik di Selangor.

Ternyata langkah yang diambil Ina tidak sia-sia apabila jualan busananya meningkat berbanding sebelum ini.

Sementara itu, pengasas Fabprint, Aishah Hanif, 33, berkata, idea untuk menjalankan perniagaan ini tercetus kerana dia agak bosan dengan corak sedia ada, apatah lagi ia sama sahaja dengan tempat-tempat lain dan tiada nilai eksklusif.

“Sejak usia 13 tahun saya sudah membantu ibu di butik dan dari situ saya belajar selok-belok perniagaan ini serta melihat perkembangan industri percetakan kain.

“Saya juga membuat reka corak eksklusif untuk busana di butik sendiri,” katanya yang juga merupakan pengusaha Butik Moodha yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menurut Aishah, dia tidak berseorangan menjalankan perniagaan tersebut sejak setahun lalu. Dia turut dibantu adiknya, Nor Airin Nor Azham, 22.

Memandangkan harga mesin untuk membuat cetakan kain itu mencecah ratusan ribu, mereka bekerjasama dengan kilang di Guangzhou, China.

Corak bangunan

Bagi memastikan kualiti kain dan cetakan dibuat tepat seperti yang diingini pelanggan, Fabprint menempatkan dua orang stafnya di kilang itu untuk memantau keseluruhan proses.

Terang anak sulung daripada 15 adik-beradik itu, dia ingin mengangkat satu tahap dalam dunia fesyen iaitu semua orang boleh mereka sendiri corak yang dimahukan dan mencurahkan kreativiti masing-masing.

“Kebanyakan pelanggan menempah corak bangunan kerana ia merupakan trend terkini yang diminati oleh generasi muda.

“Menariknya, ada juga yang menjadikan contengan anak mereka sebagai corak fabrik untuk dijadikan memori terindah,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Pelanggannya terdiri kepada dua kategori iaitu individu dan pengusaha butik yang rata-ratanya datang dari Kuala Lumpur dan Johor.

Jelas Aishah, tempahan khas yang dibuat oleh orang perseorangan biasanya untuk dihadiahkan kepada orang tersayang, sambutan hari raya, kenduri kahwin dan majlis-majlis keraian.

Fabrik tersebut mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Sehubungan itu, pelanggan dinasihatkan agar membuat tempahan awal.

Kuantiti

Minimum kain yang hendak dicetak ialah antara 200 hingga 2,000 meter dan harga menjadi lebih murah sekiranya ditempah dalam kuantiti banyak.

Jelas Aishah, penentuan harga juga bergantung pada jenis kain dan pihaknya menyediakan empat jenis kain iaitu sifon, satin, como krep dan lycra.

Selain empat jenis kain itu, harganya akan lebih mahal sedikit tetapi Fabprint memberi pilihan kepada pelanggan dengan menyediakan harga mampu milik sehingga premium.

Seorang lagi pengasas Fabprint, Nor Airin memberitahu, pihaknya memberi idea lakaran kepada pelanggan menerusi satu ruang khas yang disediakan di Instagram.

“Ada pelanggan yang sudah mempunyai corak sendiri dan ada juga yang mahu kami melakarkan untuk mereka.

“Oleh itu, bagi memudahkan proses memilih corak, kami menyediakan satu ruang di Instagram untuk mereka mencipta rekaan signatur sendiri,” jelas anak ketiga itu.

Ujar Nor Airin, dia dan Aishah akan terlibat dalam proses lakaran corak, pemilihan kain, pracetakan dan proses akhir sehinggalah barang itu sampai kepada pengguna.

Katanya, dalam sebulan, pihaknya menerima tempahan kiri-kira 20,000 meter kain.

Bercerita mengenai cabaran dalam perusahaan ini, Nor Airin berkata, cetakan fabrik berdepan dengan risiko kain rosak jika tidak dilakukan dengan teliti.

Selain itu, dia juga mungkin berdepan dengan masalah kelewatan penghantaran sehingga menjejaskan perniagaan pelanggan.

Perkara itu pernah terjadi sehingga Fabprint mengalami kerugian RM10,0000 bagi membayar ganti rugi kepada pelanggan.

Kerenah pelanggan yang suka menukar rekaan corak pada saat-saat akhir juga menjadi cabaran sehingga merencatkan proses cetakan kain.

Walaupun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran tetapi berkat kerja keras tanpa mengenal putus asa Fabprint dapat menghasilkan rekaan yang sangat berkualiti.

“Maklum balas pelanggan yang berpuas hati dengan produk ini cukup menggembirakan kami.

“Apatah lagi, busana yang dihasilkan terjual dalam masa yang singkat,” katanya yang gemar melakukan aktiviti mendaki bukit pada masa lapang.

Berkongsi perancangan pada masa akan datang, Nor Airin berkata, pihaknya telah merangka beberapa perkara untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

“Tahun hadapan kami akan memiliki mesin sendiri dan kerja-kerja percetakan dilakukan di Malaysia.

“Besar harapan kami untuk memiliki kilang sendiri yang juga menjadi pusat sehenti dengan menempatkan bengkel jahitan,” tuturnya.

Process time in ms: 63