GENK

Gelanggang pendekar muda beradu kekuatan fizikal

Gelanggang pendekar muda beradu kekuatan fizikal

Peserta perlu menyelesaikan beberapa rutin berintensiti pertengahan bagi merebut gelaran juara.


Tangan kiri Muhammad Ediasyamin Ediasmizul, 22, yang mengangkat pemberat 10 kilogram kelihatan menggigil. Dia turut mendepangkan tangan kanan bagi mengimbangi dirinya.

Aksinya itu perlu seiring dengan lagu Bring Sally Up nyanyian Moby menerusi pembesar suara.

Bahkan, setiap kali pengacara memberi arahan, dia perlu berdiri tegak dan bersedia dalam posisi squat.

Dia bersama empat orang lelaki lain sedang bersaing dalam rutin ketiga sukan olahraga kefungsian yang dikenali sebagai single dumbbell overhead squat dalam Cabaran Pendekar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Markah dikira berdasarkan peserta yang paling lama bertahan.

Pertandingan itu dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Pengurusan Acara, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM, Puncak Alam.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai aktiviti olahraga kefungsian.

“Ia sangat mencabar, sementelah saya langsung tidak membuat persediaan kecergasan sebelum pertandingan.

“Syukurlah saya berjaya mendapat tempat ketiga pada pusingan itu,” katanya kepada Kosmo!.

Senarai pendek


Para pelajar tahun akhir Pengurusan Acara, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berpuas hati selepas penganjuran Cabaran Pendekar berjalan dengan lancar.


Atlet yang pernah mewakili Pulau Pinang dalam sukan olahraga acara dekatlon pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 itu berjaya memasuki pusingan separuh akhir apabila disenarai pendek sebagai 10 peserta terbaik dalam tiga rutin terdahulu.

Anak kelahiran Kulim, Kedah yang menghadapi kesulitan pada rutin kedua iaitu Missing Train itu ternyata lega dengan kejayaan tersebut.

“Pada rutin kedua, saya berdepan kesukaran kerana perlu melakukan burpee sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat tong air sejauh 20 meter pergi dan balik serta melakukan sit up sebanyak 10 kali.

“Ia bukan sahaja mencabar kecergasan, tetapi menguji kepantasan saya,” ujar pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, UiTM Shah Alam itu.

Walaupun bersaing secara kompetitif, Muhammad Ediasyamin gagal melayakkan diri ke pusingan akhir apabila hanya mampu berpuas hati di tempat keenam.

Olahraga kefungsian atau crossfit merupakan cabang aktiviti kecergasan yang semakin mendapat tempat di negara ini.

Ia merupakan aktiviti kecergasan yang berasaskan persembahan iaitu merangkumi kekuatan, ketahanan dan kelenturan.

Pergerakannya melibatkan penggunaan pelbagai otot dalam satu-satu masa seperti membalikkan tayar.

Selain menggunakan kekuatan tangan untuk mengangkat, membalikkan dan mengawal tayar besar, kelenturan badan untuk menunduk serta bangun dengan cepat juga amat penting.

Pertandingan kecergasan Cabaran Pendekar itu disertai oleh 30 orang peserta lelaki dan tujuh wanita yang rata-ratanya mempunyai latar belakang dalam bidang kecergasan.

Justeru, kesemua lima rutin yang dipertandingkan itu diselaraskan kepada intensiti paras pertengahan.

Begitupun, aras kesukarannya bergantung kepada jenis rutin yang telah dirangka oleh penganjur bersama iaitu pihak gimnasium Pood and Barbell yang turut bertindak sebagai juri.

Kesemua rutin yang diselaraskan kepada peserta lelaki dan wanita itu hanya dibezakan dengan berat beban. Ia juga telah diuji terlebih dahulu oleh barisan juri sebelum dipertandingkan.

Kemenangan pertama


Dari kiri: Adger Alexter Tudus, Irfan Rizqin Abd. Mubin, Shermaine, Nadia Mohd. Zain Ariffin, Konea Kamin dan Hawari Farihin merupakan pemenang bagi kategori Lelaki dan Wanita pada Cabaran Pendekar di UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


Dalam pada itu, Shermaine Tay Yuen Yee, 26, menganggap kemenangan pada kategori Wanita itu adalah hasil penglibatan secara aktif dalam aktiviti kecergasan.

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kemenangan pertama saya dalam acara seumpama ini,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Wanita genit yang menggemari aktiviti crossfit dan angkat berat itu kerap menyertai pertandingan kecergasan antaranya, Festival Kecergasan Sabah atau Sabah Panganzal dalam bahasa tempatan.

Antara aksi Shermaine yang mengagumkan ialah sewaktu melakukan rutin mengangkat tong air seberat 10kg sebanyak 10 kali.

Ia dilakukan dengan pantas, seolah-olah tong itu sangat ringan sedangkan ada peserta wanita lain yang langsung tidak berjaya mengangkatnya, sementelah rutin tersebut menyusul selepas melakukan 10 kali burpee sambil melompat merentas tayar besar.

“Sebaik diberi penerangan rutin oleh juri, saya pantas memikirkan strategi. Tong air itu memang berat dan saya perlu mengangkatnya dengan pantas tanpa menyentuh tanah bagi memastikan momentum berkekalan,” kongsi jurulatih kecergasan peribadi itu.

Sementara itu, Ketua Projek Cabaran Pendekar, Nur Amalina Hazira Zul Azmi, 24, memberitahu, pihaknya memilih aktiviti kecergasan sebagai projek amali tahun akhir berikutan anak muda masa kini yang semakin menggemari olahraga kefungsian.

“Justeru, kami mula menggerakkan kertas kerja sejak empat bulan lalu termasuk membuat promosi dan mendapatkan tajaan,” jelasnya yang berasal dari Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Tambah Nur Amalina, objektif penganjuran Cabaran Pendekar adalah untuk menyediakan platform kepada peminat aktiviti olahraga kefungsian terutamanya dalam kategori amatur.

“Tiada syarat khusus untuk menyertai aktiviti ini melainkan memiliki tubuh badan yang sihat tanpa penyakit kronik. Ia sesuai untuk lelaki dan wanita tanpa mengira peringkat usia,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Pengurusan Acara, Pusat Pengurusan dan Pengajian Pentadbiran, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Puncak Alam, Noor Syahieda Mat Shah gembira dengan kejayaan 17 orang anak didiknya mengendalikan acara yang besar itu.

“Pertandingan ini berjalan dengan lancar, malah para pelajar berjaya mendapatkan beberapa tajaan daripada pihak luar. Ia juga mencapai objektif yang disasarkan termasuk dari segi jumlah penyertaan yang menggalakkan.

“Saya berharap pengalaman berharga ini dapat memberi nilai tambah kepada mereka terutamanya apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Pelajar kini perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan, bekerjasama dan berkomunikasi secara efektif kerana apabila bekerja kelak, mereka akan bercampur dengan orang ramai daripada latar belakang berbeza,” katanya.

Process time in ms: 62