SUKAN

Pemain penentu kejayaan Kedah

Pemain penentu kejayaan Kedah


NIDZAM (kiri) ketika hadir pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam yang turut dihadiri jurulatih Pahang, Dolah Salleh (kanan) dan kapten Kedah, Khairul Helmi Johari (dua dari kiri) dan kapten Pahang, Matthew Davies.


KEJAYAAN sesebuah pasukan terletak pada komitmen semua pemain ketika berada di gelanggang pertandi­ngan.

Jika mereka gagal menterjemahkan apa yang direncanakan oleh jurulatih, maka peluang untuk menang sangat tipis.

Demikian tegas jurulatih sementara skuad Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff semalam menjelang perlawanan akhir Piala FA 2017 menentang Pahang di Stadium Shah Alam, Se­langor malam esok.

Menurut Nidzam, kejayaan sesebuah pasukan terletak sepenuhnya di bahu pemain dan jika mereka beraksi sambil lewa, maka padah akan mengundang.

“Peranan jurulatih adalah untuk merencanakan strategi yang bakal digunakan dalam sesuatu perlawanan dan jika para pemain berjaya menterjemahkannya dengan baik, maka perlawanan akan berakhir dengan keputusan positif. Sebab itu saya katakan bahawa pemain akan menentukan kejayaan,” jelas Nidzam pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.

Menurutnya, dia telah berpesan kepada semua pemain Kedah agar berhati-hati dengan rentak yang bakal diperagakan oleh pasukan lawan dan mereka perlu bijak mengimbanginya.

“Aksi final sudah pas­tinya menemukan dua pasukan terbaik dan atas sebab itulah kita perlu le­bih berhati-hati. Pada masa yang sama, para pemain juga perlu menterjemahkan dengan baik apa yang dirancangkan oleh jurulatih,” katanya.

Ditanya sama ada skuad kendaliannya agak tertekan menghadapi Pahang pada perlawanan akhir itu nanti, Nidzam secara terbuka menjelaskan bahawa mereka akan tampil se­perti biasa.

“Bagi saya, barisan pemain Kedah tidak tertekan kerana ini merupakan tahun ketiga mereka layak ke final dan saya nampak semua pemain cukup fokus untuk menghadapi perlawanan malam esok (hari ini).

“Kami juga selesa bermain di Stadium Shah Alam, jadi saya yakin mereka akan menampilkan aksi terbaik malam esok (malam ini) seperti ketika mengharungi perlawanan-perlawanan lain sebelum ini,” ujarnya.

Process time in ms: 31