RENCANA UTAMA

Pengangkutan paling popular tahun 60-an

Pengangkutan paling popular tahun 60-an



SUASANA di pekan Batu Kikir di Negeri Sembilan pagi itu seakan-akan kembali ke masa lampau. Kelibat ratusan lelaki dan wanita berpakaian seperti masyarakat zaman dahulu membanjiri pekan kecil itu.

Lebih menarik, di sisi mereka terdapat basikal tua yang pernah menjadi pengangkutan penting di negara ini pada tahun 60-an.

Antara jenis dan jenama basikal tua yang kelihatan ialah Raleigh, Sunbeam, BSA (British Small Arms), Phillips, New Hudson dan Humber.

Pada pukul 8 pagi, kesemua mereka mula mengayuh basikal tua masing-masing dari Masjid Desa Anggerik ke beberapa kawasan menarik di sekitar Batu Kikir.

Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai yang turut bersorak, manakala pemandu kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Sokongan

“Orang ramai sanggup berdiri di bahu jalan untuk menyaksikan kami berkonvoi selain bersorak memberikan sokongan.

“Saya tidak sangka basikal tua ini mampu menarik minat mereka,” kata salah seorang peserta, Mohd. Zaali Jamaluddin, 32, yang merupakan peminat basikal tua.

Kakitangan pejabat pos itu membeli basikal tua pertama berharga RM300 pada tahun 2013. Ia dibeli daripada seorang penduduk kampung di negeri Adat Perpatih itu.

Kini, dia mempunyai beberapa koleksi termasuk sebuah basikal tua berwarna merah yang pernah digunakan oleh pekerja pos untuk menghantar surat pada zaman dahulu.

“Saya menyimpan basikal tua kerana ia merupakan khazanah yang semakin dilupai masyarakat masa kini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Zaali antara peserta Kayuhan D’Joseh-Lonek anjuran bersama Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan (KBTN9) dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.

Basikal paling tua pada program tersebut dikeluarkan pada tahun 1934 jenama Raleigh.

Program bertemakan [email protected] Warisan Budaya itu bertujuan mengimbau nostalgia basikal tua.


Para peserta menikmati keindahan kawasan sawah padi.


Para peserta perlu mengayuh sejauh 15 kilometer bermula dan berakhir di Masjid Desa Anggerik.

Presiden KBTN9, Amran Yahya, 48, berkata, program tersebut turut disertai beberapa kelab basikal seperti Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang, Basikal Klasik Port Swettenham, Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis, Kelab Sepeda Klasik Kinta, Kelab Basikal Tua Melaka, Kelab Basikal Tua Kampung Batu Berendam, Basikal Tua Johor Bahru dan Basikal Melaka

Objektif

Jelasnya, antara objektif penganjuran kayuhan itu adalah bagi memastikan basikal tua yang pernah menjadi pengangkutan penting masyarakat negara ini tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, katanya, ia bertujuan menggalakkan masyarakat memelihara basikal tua sebagai satu khazanah supaya generasi baharu memahami kehidupan masyarakat lampau.

“Program ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan peminat-peminat basikal tua di seluruh tanah air,” katanya.

Berkongsi tentang sejarah basikal tua di Negeri Sembilan, Amran berkata, sebelum lambakan kenderaan bermotor seperti motosikal, skuter Vespa dan kereta, basikal tua merupakan kenderaan paling popular di negeri ini sehingga awal 60-an.

Pada waktu itu, basikal tua atau klasik menjadi kenderaan terpenting penduduk Negeri Sembilan dan harganya agak mahal berdasarkan nilai mata wang pada zaman tersebut.

Menurutnya, bapanya ketika itu pernah membeli sebuah basikal tua pada harga RM150 secara hutang di sebuah kedai basikal di Batu Kikir.

“Dia bayar deposit sebanyak RM30 dan bayaran bulanan RM10 untuk basikal itu. Pada zaman itu, tidak ramai orang berkemampuan memiliki basikal.

“Saya duduk di belakang basikal setiap kali ke sekolah. Basikal tua turut digunakan penoreh untuk membawa getah sekerap,” katanya.

Kata Amran, ketika itu, basikal tua turut menjadi pengangkutan utama dalam urusan harian kakitangan kerajaan seperti polis, tentera, pejabat pos dan guru.

Amran turut menyingkap sejarah Jepun yang menggunakan basikal tua untuk menyerang Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua.


Para peserta bergambar di Teratak Za’ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan baru-baru ini.


Baik pulih

Justeru, ujarnya, KBTN9 ditubuhkan pada tahun 2012 dengan hasrat untuk memastikan basikal tua tidak dilupakan generasi baharu.

Selepas lima tahun penubuhan KBTN9, ia memiliki seramai 40 orang ahli berusia antara 15 hingga 70 tahun.

Seorang lagi peserta, Bob Khairi Razali, 33, turut memiliki sebuah basikal tua yang dibeli daripada seorang warga emas pada harga RM100.

Dia yang merupakan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Negeri Sembilan berkata, basikal tua itu selepas dibaik pulih mampu mencecah kelajuan lebih 20 kilometer sejam.

Tambahnya, permintaan terhadap basikal tua semakin meningkat kebelakangan ini dan harganya mencecah RM3,000 sebuah.

Sementara itu, B. Suhashini, 23, berkata, aktiviti berbasikal baik dari untuk kesihatan diri.

“Saya memang meminati basikal tua. Pengendaliannya juga tidak sukar dan tidak banyak menggunakan sistem gear yang moden.

“Ketika masih kecil, keluarga saya turut menggunakan basikal, sekali gus menyuntik minat saya untuk memiliki basikal sendiri,” katanya.

Process time in ms: 63