HIBURAN

Sevendays ungguli <i>Rentak Juara 2017</i>

Sevendays ungguli Rentak Juara 2017


TIGA kumpulan yang berjaya meraih tempat pertama, kedua dan ketiga pada malam kemuncak Rentak Juara 2017 terdiri daripada Sevendays, Super Massive dan Xzotic merakam gambar sambil memegang replika hadiah wang tunai masing-masing.


Selepas 10 minggu bersaing, kumpulan Sevendays muncul sebagai juara program realiti Rentak Juara 2017 yang bersiaran secara langsung menerusi saluran RTM2 pada Sabtu lalu.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai oleh Arul selaku vokalis, Manja (dram), Tuah (bass), Boy (gitar) dan Amm (keyboard) pada konsert akhir Rentak Juara 2017 tersebut sekali gus melenyapkan impian empat kumpulan lain untuk pulang dengan hadiah utama wang tunai bernilai RM60,000 dan trofi.

Tempat kedua pula disandang oleh kumpulan Super Massive yang membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 dan trofi, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Xzotic serta menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Dua kumpulan lain iaitu Doubleshoes dan Reuz masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM3,000 selain Persembahan Terbaik dimenangi oleh kumpulan Xzotic yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.

Pada malam final, semua kumpulan yang bertanding diberi dua tugasan iaitu segmen duet dan solo. Bagi segmen solo kesemua kumpulan mempersembahkan lagu baharu yang dipersembahkan buat pertama kali di hadapan umum.

Teruja diberi peluang pertama kali bergandingan dengan penyanyi profesional, Arul tidak menyangka persembahan medley menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran dan Jaga Dia Untukku duet bersama Sharifah Zarina berjaya mencuri perhatian juri.


Ella bersama Akim and The Majistret membuat persembahan pada pentas akhir Rentak Juara 2017.


Program tersebut memperlihatkan peserta dinilai 100 peratus oleh juri profesional iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Jennifer Thompson, Azman Alias dan Akim.

“Saya tidak meletak sasaran untuk menang selepas melihat kebolehan dan kemampuan peserta lain yang bersungguh-sungguh bersaing dan merebut gelaran juara,” kata Arul.

Markah

Mengulas lanjut, lagu baharu berjudul Memori yang dihasilkan sepenuhnya oleh Hang Nadim juga tidak mempengaruhi kemenangannya sebagai juara Rentak Juara 2017. Hang Nadim merupakan nama samaran bagi vokalis kumpulan Akim & Majistret, Akim.

“Biarpun lagu tersebut dicipta oleh Akim tetapi ia tidak mempengaruhi pemarkahan kerana segalanya telah dibincangkan dengan penganjur terlebih dahulu,” jelas Arul.

Bagi kumpulan Super Massive pula, mereka mempersembahkan lagu bertajuk Penantian dan Dirgahayu secara medley bersama penyanyi Farahwahida, selain single baharu mereka berjudul Bangkitlah Cinta.

Lagu Bangkitlah Cinta dihasilkan oleh Myn dan anggota Super Massive sendiri. Kumpulan tersebut dianggotai oleh Adam Akmal pemain keyboard, Zack (dram), Nazrinshah (vokalis), Shafie (bass), Azari (gitar) dan Myn (gitar).

“Sebagai artis baharu saya mengharapkan agar peminat terus memberi sokongan kepada kami biarpun program ini telah berakhir,” tutur Myn.

Beralih kepada pemenang tempat ketiga iaitu Xzotic yang dianggotai oleh Nash (vokalis), Alan (bass), Zahid (gitar) dan Fael (dram), mereka mempersembahkan lagu berjudul Tiara dan Ah Rindu Lagi secara medley bersama Shiha Zikir dan sebuah lagu baharu Catur ciptaan Haifz The Majistret dan lirik ditulis oleh Rage serta Nash.

“Kami mengharapkan lagu baharu ini bersesuaian dengan selesa pendengar, sekali gus memperkenalkan nama Xzotic ke persada seni muzik tempatan,” jelas Nash ketika ditemui pertandingan tersebut yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri hujung minggu lalu.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 46