HIBURAN

Realiti kehidupan Rizalman Ibrahim

Realiti kehidupan Rizalman Ibrahim



BANYAK perkara yang dikongsikan oleh Datuk Rizalman Ibrahim sepanjang 30 minit berbicara empat mata dengannya baru-baru ini. Selain bercerita tentang situasi fesyen lokal dan korelasinya dengan dunia hiburan, lelaki kelahiran Pulau Pinang itu turut berkongsi rasa teruja menantikan debut perdananya menerusi program realiti Rizalman.

“Jika saya seorang atlet sukan, perasaan sewaktu melihat diri sendiri dalam sebuah program realiti boleh digambarkan sama seperti memenangi pingat emas untuk Malaysia! Sukar untuk dihadam dalam masa yang singkat dan diluahkan menerusi kata-kata.

“Barangkali, perasaan teruja yang luar biasa itu tercetus kerana perancangan untuk menerbitkan program ini telah dipendam iaitu selama lima tahun. Apabila berjaya direalisasikan, sudah tentu saya berasa sangat gembira,” tutur Rizalman memulakan perbualan.

Melanjutkan bicara mengenai pengisian program realiti tersebut, Rizalman menegaskan bahawa ia sama sekali tidak seperti apa yang ada dalam kotak fikiran penonton, khususnya mereka yang sudah terbiasa dengan program realiti komersial seperti Keeping Up With The Kardashians.

“Apa yang dipaparkan dalam program realiti saya adalah bersifat ilmiah, yakni memberi pengajaran secara santai kepada penonton mengenai dunia fesyen.

“Ia juga bertindak sebagai platform yang lebih besar untuk pengikut saya melihat sendiri kehidupan Rizalman dalam mengatur karier sebagai seorang pereka fesyen dan usahawan,” katanya yang begitu mengagumi karakter model dan pereka fesyen Kimora Lee Simmons menerusi rancangan realiti Kimora: Life In The Fab Lane.

Inspirasi

Ditanya mengapakah elemen ilmiah disuntik dalam program tersebut, Rizalman menegaskan bahawa beliau enggan dilabel sebagai ikon yang popular tanpa sebab.

“Selari dengan perkembangan teknologi, kehidupan kita juga semakin terbuka. Banyak perkara tentang rutin seharian dipaparkan di Instagram. Saya sendiri banyak menulis di Instagram dan cuba memberi pengaruh positif buat pengikut.




“Jika dahulu ramai yang menyarankan anak-anak belajar untuk bergelar doktor atau peguam, namun hari ini, ibu bapa lebih memahami kehendak generasi muda yang mahu terlibat dalam dunia fesyen.

“Justeru, saya cukup berbangga jika ada yang mahu menjadi seperti saya atau membenarkan anak-anak mereka mencari rezeki dalam bidang ini,” perinci Rizalman lagi.

Bekerja dengan beliau bukanlah satu tugas yang mudah. Perkara tersebut diakui sendiri oleh Rizalman, yang menyifatkan dirinya sangat teliti ketika bekerja.

“Walaupun tugas saya beraksi di hadapan kamera sahaja, tetapi saya tetap tahu apa yang berlaku di sebalik tabir.

“Kadangkala, saya agak tegas apabila perkara yang diinginkan tidak dapat dirakam dengan baik. Namun, mereka telah faham kehendak saya dan sepanjang berkolaborasi, kami sangat berpuas hati dengan hasil akhirnya,” tutur Rizalman sambil tersenyum.

Jenama artis

Bakal disiarkan menerusi saluran Life Inspired (Astro 728) pada 30 Mei depan pada pukul 10 malam, Rizalman berkata, tidak semua aktiviti hariannya didokumentasikan menerusi lensa kamera.

“Ya, saya memang bersifat terbuka, tetapi tidak terlalu terbuka dalam segala hal.

“Cukuplah sekadar dapat memberitahu khalayak bahawa saya juga melakukan perkara-perkara normal seperti individu lain,” kata beliau yang mahu penonton berasa lebih dekat dengan dirinya selepas ini.

Beralih pada sisi lain dunia hiburan, Rizalman yang pernah memenangi Mercedes-Benz Asia Fashion Awards pada tahun 2008 itu turut ditanya mengenai trend selebriti tempatan yang kerap menghasilkan jenama fesyen sendiri.

Seperti cendawan yang tumbuh selepas turunnya hujan, Rizalman menyarankan agar trend artis yang memasarkan jenama pakaian, khususnya setiap kali menjelang musim perayaan perlu dihentikan.

“Golongan penghibur iaitu pelakon atau penyanyi dikurniakan bakat untuk menghiburkan khalayak. Jadi, biarlah bidang fesyen diterajui oleh mereka yang pakar.

“Saya faham, kebanyakan mereka menceburkan diri dalam bidang fesyen kerana mahu menambah pendapatan. Namun, ia tidak bermaksud mereka boleh menganggu rezeki pereka fesyen lain,” tutur beliau dalam nada tegas.


Muncul dengan program realiti berjudul Rizalman, kata pereka fesyen tersohor negara ini, ia bukan hanya sebuah program ‘kosong’, tetapi diisi dengan pengisian yang ilmiah khusus buat penonton.


Pemilik Glamweddings itu turut menambah, selebriti tempatan tidak boleh mengikut cara bintang Hollywood menjual fesyen kerana mereka berkarya dalam skala hiburan yang sangat berbeza.

“Kanye West sebagai contoh berjaya dengan labelnya, Yeezy kerana dia mempunyai pengikut yang sangat ramai.

“Tambahan pula, rekaan yang dihasilkan cantik, berkualiti dan bersifat semasa,” katanya lagi.

Melihat kepada empayar fesyen yang dibina oleh Rizalman, mungkin ada yang berpendapat bahawa beliau bakal mengabdikan dirinya pada bidang tersebut sehingga ke akhir hayat.

Perantis

Namun, bagi Rizalman, akan tiba masanya segala tugas yang ada di hadapan mata diserahkan kepada perantis yang dipercayai mampu menggalas label Rizalman untuk tahun-tahun yang mendatang.

“Saban hari, jadual saya semakin padat dengan tugas-tugas hakiki seperti mereka busana dan menyelesaikan dekorasi majlis perkahwinan pelanggan.

“Pada satu peringkat, saya berasa sangat tertekan dengan rutin tersebut. Benar, saya melakukan semua perkara tanpa bantuan ramai orang. Namun, saya telah mula membahagikan tugas kepada perantis supaya mereka dapat melakukan kerja mengikut cara yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berharap agar perantisnya dapat meneruskan legasi Rizalman yang megah terbina sejak 25 tahun lampau.

“Saya berdoa agar dipanjangkan umur selepas menyerahkan tugas-tugas penting kepada perantis kelak. Hal ini kerana, saya mahu mempergunakan masa tersebut untuk beribadah sebagai saham akhirat saya.

“Saya juga berharap apa yang dilakukan sekarang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat pada masa akan datang,” ujar Rizalman merujuk tentang keberadaannya dalam bidang fesyen.

Sebelum mengakhiri bicara, alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu sempat ditanya mengapakah beliau masih setia mereka busana buat penyanyi Dayang Nurfaizah.

Respons Rizalman: “Dayang mempunyai tubuh yang sempurna, merendah diri dan dia membayar setiap baju yang saya reka untuknya.”

Process time in ms: 32