TERKINI

149 kaki judi dalam talian ditahan di Batu Pahat sejak Januari

149 kaki judi dalam talian ditahan di Batu Pahat sejak Januari

19/05/2017 11:37pm




JOHOR BAHRU - Polis menahan 149 kaki judi dalam talian dan 43 penjaga premis menerusi serbuan di 31 premis perjudian berkomputer di daerah Batu Pahat sejak awal tahun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, polis turut merampas 524 komputer, tiga komputer tablet, 29 modem serta wang tunai RM8,385 dalam kesemua serbuan terbabit.

"Kesemua yang ditahan berumur 20 hingga 60 tahun. Setakat ini, 10 penjaga premis dan 25 kaki judi sudah dihadapkan di mahkamah serta dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa kain rentang yang dikesan dipasang di beberapa lokasi di daerah itu baru-baru ini dengan mendakwa daerah tersebut sebagai 'bandar mesin judi'.

Abdul Wahib menegaskan daerah itu bebas daripada aktiviti judi dalam talian dan pihaknya turut tidak menyokong pengeluaran lesen Pusat Hiburan Keluarga.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai tampil memberi maklumat mengenai premis judi yang masih beroperasi bagi tujuan pemeriksaan, rampasan dan tangkapan.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membendung sebarang kegiatan perjudian dan maksiat daripada bertapak di daerah ini," katanya. - Bernama

Process time in ms: 31