TERKINI

Modenas lancar tiga model baharu

Modenas lancar tiga model baharu

19/05/2017 5:11pm




SHAH ALAM - Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) hari ini melancarkan tiga model terbaharunya, Pulsar NS200, Pulsar RS200 dan V15 melalui kerjasama dengan syarikat motosikal dari India, Bajaj Auto Ltd. (BAL).

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi, Automatif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB Hicom Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Modenas Pulsar 200 dan Pulsar RS200 dijana oleh enjin bersesaran 199cc SOHC empat lejang dilengkapi dengan penyejuk cecair serta penyuntik bahan api silinder tunggal.

Kedua-dua model ini turut dilengkapi transmisi enam kelajuan yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 23.5 kuasa kuda bagi model Pulsar 200 dan 24.5 kuasa kuda bagi model RS200.

Selain itu, model ini turut dilengkapi sistem Brek Anti Kekunci (ABS) saluran tunggal yang memastikan keselamatan dan kestabilan walaupun pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, bagi model V15 yang mempunyai gaya neo klasikal, jentera ini dijana oleh enjin bersesaran 150cc yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 12 kuasa kuda.

Harga bagi ketiga-tiga model ini adalah sangat berpatutan yang mana model Pulsar RS200 dijual pada harga RM10,700, Pulsar NS200 berharga RM8,700 serta V15 ialah RM5,650. - K! ONLINE

Process time in ms: 3454