TERKINI

Bank Negara tutup 239 akaun kewangan mencurigakan

Bank Negara tutup 239 akaun kewangan mencurigakan

19/05/2017 3:56pm


Muhammad Ibrahim (gambar kecil)


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah-langkah agresif untuk memerangi skim kewangan haram sebagai sebahagian daripada dasar tidak bertoleransi terhadap pengendali dan pelabur yang sengaja menjalankan aktiviti kewangan haram.

Gabenornya Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, sehingga 2 Mei tahun ini, sebanyak 238 akaun mencurigakan telah ditutup oleh institusi kewangan.

"Daripada jumlah itu, 108 akaun disenaraikan di bawah amaran pelanggan kewangan Bank Negara berikutan aduan orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia, di sini, hari ini.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, individu atau perniagaan yang terlibat dalam aktiviti kewangan haram boleh didenda sehingga RM50 juta dan dipenjarakan 10 tahun.

Akta itu menyediakan peraturan dan pengawalseliaan institusi kewangan, sistem pembayaran dan entiti relevan lain dan pengawasan pasaran wang serta pasaran pertukaran asing bagi menggalakkan kestabilan kewangan dan bagi perkara-perkara berkaitan, berbangkit atau bersampingan.

"Apa-apa juga pelaburan yang menawarkan pulangan lebih daripada 20 peratus adalah tidak realistik," kata Muhammad, sambil menambah amanah saham adalah pengurus portfolio terbaik kerana ia menawarkan pulangan kira-kira enam hingga tujuh peratus.

Beliau menjelaskan akaun-akaun yang sangat meragukan akan ditutup dan wang dikembalikan kepada pemilik akaun.

"Dana-dana hanya akan disita atau dibekukan sekiranya diarahkan oleh mahkamah," katanya.

BNM juga melaksanakan langkah-langkah diselaraskan yang termasuk Jabatan peguam Negara yang akan menerajui jawatankuasa antara agensi bagi penguatkuasaan bersama terhadap aktiviti kewangan haram. - Bernama

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31