PESONA

Serawa Labu Manis Nestum pikat juri

Serawa Labu Manis Nestum pikat juri

ALISA bersama suami, Shahrizal Bakar dan empat orang anaknya bergambar selepas dinobatkan sebagai Ratu Empayar Sajian Nestum 2017.


Isi labu itu diasingkan daripada kulitnya dengan teliti. Wanita itu tidak mahu kulit yang akan dijadikan bekas hiasan itu rosak.

Sesekali mukanya berkerut kerana khuatir masa yang digunakan untuk mengeluarkan isi labu itu terlalu lama. Begitupun, Nurul Nur Alisa Roslan, 34, berjaya menyiapkan resipi Serawa Labu Manis Nestum pada masa yang ditetapkan iaitu 60 minit.

Lebih manis, ibu kepada empat orang anak itu dinobatkan sebagai juara pertandingan Empayar Sajian Nestum 2017, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM28,000.

Dia yang mesra disapa Alisa menemui pertandingan berkenaan di laman Facebook sebelum merancang menghantar resipi masakan istimewanya kepada pihak penganjur.

“Semasa memikirkan tentang resipi berkenaan, saya memang meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Akhirnya, saya berjaya menemui resipi Serawa Labu Manis Nestum ini. Tiga kali juga saya mencubanya demi memastikan resipi ini dapat mengambil perhatian juri dan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada peringkat akhir pertandingan Empayar Sajian Nestum di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Tradisi


RESIPI istimewa hasil ilham Alisa ini diberi nama Serawa Labu Manis Nestum.


Tambah Alisa, dia memilih masakan itu kerana ia menggabungkan tradisi lama dan baharu dalam satu menu.

“Serawa labu adalah kegemaran suami manakala Nestum merupakan makanan harian anak-anak. Jadi, saya fikir ia sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.

“Malah, makanan ini ringkas dan tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan,” tuturnya sambil memberitahu, suami dan anak-anak banyak memberi ilham dan komen terhadap masakannya.

Pada pertandingan itu, seramai lima finalis berentap dengan menunjukkan skil masing-masing dalam menyediakan sajian hebat menggunakan Nestum.

Setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyediakan juadah istimewa.

Alisa menambah, dia agak gementar pada mulanya selepas melihat rakan-rakan lain begitu bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan tugasan mereka. Ditambah pula, pihak juri yang sering berlegar-legar untuk memantau teknik masakan menambahkan lagi rasa gemuruh.

“Sejujurnya semasa pertandingan dimulakan, saya tidak yakin akan menang kerana saya sendiri mendengar pihak juri memberi komen positif kepada semua peserta lain. Antara mereka yang pakar dalam bidang masakan

“Namun, saya percaya jika ada rezeki tidak ke mana. Saya hanya fokus pada masakan saya dan tidak putus asa,” ujarnya yang melakukan tugasan itu bersungguh-sungguh kerana tidak mahu menghampakan harapan keluarga yang sanggup datang dari jauh.

Peraduan Empayar Sajian Nestum 2017 telah dimulakan dari 1 hingga 30 April lalu. Untuk menyertai pertandingan itu, peserta perlu mencipta resipi asli menggunakan sekurang-kurangnya 50 gram Nestle Nestum All Family Cereal atau Nestle Nestum Grains & More sebagai salah satu ramuan.

Inspirasi


ANTARA barisan juri yang mengadili pertandingan akhir Empayar Sajian Nestum di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.


Sajian mesti dimasak dalam jangka masa satu jam dari persiapan untuk memasak sehingga akhir penyediaan makanan. Kemudian, peserta perlu mengambil gambar sajian bersama produk Nestum dan muat naik gambar bersama dengan resipi ke Facebook Messenger Nestum Malaysia.

Barisan juri akan memilih 12 resipi yang disenarai pendek sebelum lima daripadanya berentap di peringkat akhir.

Selain Alisa, empat finalis lain ialah Mohd. Zulkifli Abdul Razak, Wan Rogayah Wan Mohamad, Lauren Tan dan Muhammad Falihin Jasmi.

Mohd. Zulkifli menghasilkan Nestum Awesomeness Fruit Crumble iaitu menu gabungan buah-buahan seperti epal, strawberi dan kranberi dengan oat serta Nestum yang boleh dinikmati sebagai sarapan pagi mahupun minum petang. Lebih menambah selera apabila ia dihidangkan bersama aiskrim vanila.

Menurutnya yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur, ayahnya yang suka bereksperimen dengan makanan merupakan sumber inspirasinya.

Dalam pada itu, Lauren yang berasal dari Bukit Katil, Melaka pula menghasilkan makanan daripada udang segar iaitu Nestum Prawn Nuggets.

“Saya amat gemar memasak sejak kecil. Jika ibu memasak, saya akan masuk ke dapur dan turut membantunya. Mungkin saya mewarisi bakat memasak daripada ibu.

“Selain ibu, suami juga merupakan sumber inspirasi dan bahan ujikaji saya. Apa-apa sahaja menu baharu yang saya buat, dia akan jadi orang pertama untuk komen,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Muhammad Falihin pula menghasilkan resipi Sate Ayam Nestum 2.0. Sate ayam itu diletakkan di dalam roti sebelum disalut Nestum.

Sementara itu Cef Eksekutif Korporat Nestle, Abdul Muluk Rambli berkata, markah diambil berdasarkan pembentangan dan rupa sajian, kandungan nutrisi, kemudahan bahan, kreativiti serta rasa hidangan.

“Apa yang paling penting adalah penggunaan Nestum dalam resipi mereka. Kita mahu kekuatan rasa Nestum itu ada dalam setiap sajian.

“Misalnya, Makmur Semolina Nestum Cookies yang dibuat Wan Rogayah sangat rangup. Selalunya biskut ini jika kita makan akan berderai dalam mulut sehingga tersembur-sembur apabila bercakap, tetapi dengan gabungan bahan tadi, rasanya sangat berbeza,” ujarnya.

Tuturnya lagi, begitu juga dengan resipi Muhammad Falihin. Dia menyediakan resipi dengan pembaharuan yang unik namun masih mengetengahkan ciri-ciri masakan Malaysia.

Process time in ms: 47