DUNIA

AS sedia berunding dengan Korea Utara

AS sedia berunding dengan Korea Utara


JAE-IN


SEOUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu utusan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bahawa Washington bersedia menyelesaikan krisis nuklear Korea Utara menerusi rundingan, kata Menteri Korea Selatan semalam.

Trump berkata, konflik besar dengan Korea Utara adalah tidak mustahil, manakala semua pilihan termasuk operasi ketenteraan kini berada di tangan beliau.

Presiden AS itu bagaimanapun memberitahu, beliau berhasrat menyelesaikan krisis itu secara diplomatik termasuk menerusi sekatan ekonomi berterusan.

Jae-in yang mengambil alih pemerintahan pada minggu lalu mahukan pendekatan sederhana berhubung krisis Korea Utara tetapi beliau berkata, Pyongyang perlu mengubah sikap degil untuk meneruskan pembangunan senjatanya sebelum dialog boleh diadakan.

Wakil Korea Selatan di Wa­shington, Hong Seok-hyun berkata, Trump bersetuju menggunakan diplomasi bagi memastikan keamanan di Semenanjung Korea dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu semalam.

“Hakikatnya, Trump menyatakan bahawa beliau tidak mahu melakukan rundingan semata-mata untuk berunding.

“Pendirian ini menyamai pendirian Korea Selatan, manakala kami bersikap terbuka untuk mengadakan dialog tetapi keadaan sesuai perlu dibentuk terlebih dahulu,” kata Jurucakap Kementerian Luar, Cho June-hyuck pula.

Korea Selatan dan AS bersetuju semasa penasihat keselamatan negara Trump mengadakan lawatan ke Seoul pada minggu ini untuk merangka pendekatan bersama yang berani dan pragmatik bagi menyelesaikan konflik Korea Utara, tambah June-hyuck.

Korea Utara telah berjanji untuk membangunkan peluru berkeupayaan nuklear yang mampu menyerang tanah besar AS.

Program peluru berpandu itu bertujuan untuk menangani sebarang pencerobohan oleh AS.

AS menempatkan 28,500 anggota tenteranya di Korea Selatan untuk melindungi negara itu daripada sebarang ancaman oleh Korea Utara.

– Reuters

Process time in ms: 31