VARIA

Persekitaran pengaruhi tingkah laku remaja

Persekitaran pengaruhi tingkah laku remaja


IBU bapa perlu mengelak daripada bergaduh di depan anak-anak. Gambar hiasan


PADA tahun lalu, seorang remaja lelaki di sebuah sekolah tinggi di Wollongong, Australia telah mengejutkan banyak pihak selepas menikam perut seorang rakannya.

Mangsa yang juga seorang pelajar terpaksa melalui proses pembedahan bagi membuang mata pisau yang tertanam di bahagian dalam perutnya.

Suspek berusia 14 tahun itu dikatakan mempunyai masalah psikologi yang diistilahkan sebagai hypervigilante atau tiada simpati terhadap mangsa.

Ibu suspek mendakwa, anaknya itu telah terdedah dengan banyak perilaku ganas daripada dua ahli keluarga lain iaitu bapa dan abangnya.

Pendedahan yang terlalu banyak terhadap keganasan menyebabkan remaja itu menjadi manusia yang tiada berperikemanusiaan.

Walaupun cerita ini mungkin berlaku di luar negara, umumnya tingkah laku manusia mempunyai sifat yang sama.

Jika seseorang itu mempunyai ibu atau bapa yang pemarah, dia juga mungkin membawa watak yang sama.

Jika mereka terdedah dengan ahli keluarga yang terlibat dengan jenayah, dia turut membesar dengan mempelajari ciri yang sama.

Manusia mempelajari sesuatu daripada apa yang dilihat dan diperhatikannya.

Dalam konteks Malaysia, kita juga terdedah dengan cerita yang sama. Mutakhir ini, kita dikejutkan dengan berita penglibatan pelajar sekolah dalam kumpulan kongsi gelap.

Secara umumnya, penglibatan remaja dalam pelbagai aktiviti devian ini telah banyak dibincangkan oleh ahli psikologi.

Antara yang kerap dibincangkan ialah kehidupan sekeliling yang dilalui oleh anak-anak tadi.

Konflik

Sekiranya mereka hidup bersama dengan masyarakat yang berpotensi untuk tidak mengikut peraturan dan terlibat dalam kegiatan salah laku, anak-anak ini juga akan mempelajari sesuatu daripadanya.

Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa kita seboleh-bolehnya perlu mengelak untuk melakukan sesuatu yang buruk di hadapan anak-anak.

Ada ibu bapa yang mungkin tidak berpeluang untuk menghindar konflik keluarga atau mempunyai masalah rumah tangga.

Begitupun, mereka perlu cuba belajar untuk mengawal diri supaya tidak bergaduh atau menunjukkan reaksi konflik di depan anak-anak.

Sekiranya berbual, elakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat atau pertuturan jelik yang akan menjadi kosa kata baharu untuk anak-anak.

Mereka mungkin tidak melakukannya di depan kita tetapi semua yang dipelajarinya itu membentuk diri mereka pada masa hadapan.

Banyak daripada anak-anak yang terjebak dengan kegiatan jenayah atau perilaku devian ini umumnya terdiri daripada keluarga miskin, hidup dalam latar masyarakat penuh konflik dan terdedah dengan pengalaman survival.

Semua ini adakalanya akan menyebabkan mereka berasa rendah diri dan terasing apabila bergaul dengan rakan-rakan lain di sekolah.

Jadi, untuk menyembunyikan rasa rendah diri itu, mereka perlu melakukan sesuatu yang membolehkan ia menjadi hebat.

Ini termasuklah menyertai kumpulan kongsi gelap yang sekali gus membolehkan mereka mempunyai identiti baharu.

Anak-anak ini mungkin terjebak dengan aktiviti jenayah dan tidak bermoral. Namun, jangan sesekali melabelkan mereka sebagai gengster.

Ia akan memberikan mereka motivasi yang lain. Mereka akan menganggap diri sebagai manusia hebat dan dihargai.

Ini berkait rapat dengan dua jenis peneguhan psikologi utama iaitu positif dan negatif.

Peneguhan positif berlaku apabila seseorang diberikan penghargaan apabila melakukan sesuatu yang baik.

Misalnya, apabila anak-anak kita lulus dengan cemerlang, kita berikan mereka hadiah. Ia adalah peneguhan positif.

Sebaliknya, sekiranya mereka gagal, kita menghukum mereka dengan denda tertentu. Misalnya, mengurangkan wang poket. Ia bersifat negatif.

Begitupun, peneguhan ini akan menjadi terbalik, bergantung kepada individu tadi.

Misalnya, bagi seorang yang kaya, mereka memberikan kita upah terhadap satu tugasan dengan wang sebanyak lima puluh ringgit.

Walaupun wang itu bersifat positif tetapi disebabkan orang tadi ialah seorang yang kaya, jadi pemberian itu dianggap sebagai satu penghinaan. Ia dianggap sebagai peneguhan negatif.

Sebaliknya, ada pula peneguhan negatif yang bertukar menjadi positif. Misalnya, seorang pelajar yang selalu ponteng sekolah dikenakan dengan hukuman gantung sekolah selama dua minggu.

Penghormatan

Denda ini asalnya bersifat peneguhan negatif. Oleh kerana pelajar itu sememangnya bermasalah, hukuman gantung sekolah itu telah menjadi sesuatu yang positif. Ia menyebabkan mereka menyukainya.

Begitu juga dengan isu label gengster ini. Walaupun sekali imbas pemberian label itu akan membawa maksud negatif, sebaliknya bagi pelajar kerana ia mungkin satu penghormatan.

Semakin banyak akhbar memberikan liputan terhadap kegiatan gengster, mereka berasa seolah-olah ada reputasi.

Paling terbaik yang boleh kita lakukan ialah kurangkan mereka dengan pendedahan yang keterlaluan dengan pengalaman hidup buruk.

Ia bagi memberi kesedaran kepada mereka betapa masih banyak sisi indah dalam hidup sebagai manusia. Ini tugas kita semua.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 47