RENCANA UTAMA

Terapi rambut makin popular di Istanbul

Terapi rambut makin popular di Istanbul


Seorang pakar sedang memeriksa keadaan kulit kepala pelanggannya di sebuah klinik di Istanbul, Turki.


Dalam senarai perkara yang akan dilakukannya di Istanbul, Turki, pelancong dari Palestin, Jameel mahu pergi ke Masjid Biru selain melawat Bosphorus seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pelancong lain.

Namun, ada satu lagi perkara yang turut termasuk dalam senarainya iaitu memiliki 1,500 helai rambut yang diimplan satu demi satu di atas kepalanya.

Ia merupakan satu kaedah terapi antikeguguran rambut yang semakin popular di Istanbul.

Memiliki lebih 300 klinik yang menawarkan terapi itu, Istanbul kini muncul sebagai hab dalam industri tersebut, sekali gus menarik minat ramai pelanggan dari seluruh dunia terutamanya Timur Tengah dan negara-negara Teluk.

Dilakukan oleh pakar bedah berpengalaman selain penggunaan teknologi terkini pada harga rendah, ia menjadi satu lagi daya tarikan pelancong.

Industri yang berkembang sejak beberapa tahun lalu itu juga dilihat menjadi satu rahmat kepada bandar raya tersebut dengan kemasukan ramai pelancong asing sejak serangan pengganas pada tahun 2006.

“Saya datang ke Turki untuk melakukan pemindahan rambut selain melawat kawasan sekitar,” kata Jameel yang enggan mendedahkan nama sebenarnya.

Dia juga baru selesa menjalani pembedahan pemindahan rambut di sebuah hospital di Istanbul.

Seorang pelancong dari Arab Saudi, Faisal Abu Ahmad memberitahu, dia ke Istanbul untuk menjalani pembedahan itu selepas pak ciknya berjaya melakukannya sebelum ini.

“Masalah keguguran rambut yang serius memaksa saya untuk melakukan pembedahan ini,” katanya.

Di sebuah kawasan tumpuan pelancong di Istanbul seperti Taksim Square, rata-rata golongan lelaki dilihat memakai pengikat kepala yang tertera nama klinik bagi menutup pembalut yang dilekapkan selepas selesai menjalani pembedahan itu.

“Kos untuk melakukannya sangat menarik. Namun, perkara paling kritikal yang perlu diberi perhatian ialah kualiti rawatan yang diberikan.

“Turki memang sangat maju dalam bidang pembedahan kosmetik dan pemindahan rambut. Jadi, pelanggan akan memperoleh rawatan yang sangat berkualiti pada kadar suku daripada kos normal yang dikenakan jika melakukannya di sesetengah negara lain,” kata Pengurus Besar Clinic Expert, Talip Tastemel.

Pakej

Antara pakej yang ditawarkan kepada pelancong asing ialah mengambil mereka di lapangan terbang, penginapan, pembedahan selain lawatan di sekitar Turki.

Pada kos sekitar 1,200 euro (RM5,700), pelancong akan memperoleh pakej selama tiga hari berada di Istanbul dengan menjalani rawatan perubatan berkualiti tinggi.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kos sekitar 6,000 euro (RM28,300) jika melakukan pembedahan tersebut di negara-negara Eropah dan mungkin sedikit rendah di negara-negara Timur Tengah.

Pembedahan yang dilakukan itu melibatkan proses Pengekstrakan Unit Folikular (FUE) iaitu rambut halus akan dikeluarkan satu demi satu di kawasan kepala yang masih ada rambut.

Selepas itu, proses mengimplan rambut akan dilakukan di kawasan kepala yang mengalami masalah keguguran.

Prosedur itu mengambil masa sekitar 10 jam. Rambut halus yang diimplan itu mengambil masa selama dua minggu atau sebulan untuk membolehkan akar rambut mula tumbuh.

Juru Perunding Persatuan Pelancongan Kesihatan, Emre Ali Kodan berkata, kira-kira 5,000 pelancong asing datang ke Turki untuk menjalani pemindahan rambut setiap bulan dan sebahagian besar mereka dari Timur Tengah serta Semenanjung Arab termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Qatar.

“Kami sendiri telah menyasarkan untuk mencapai 10 peratus peningkatan pelanggan bagi menjalani pembedahan pemindahan rambut pada tahun ini.

“Ia bukan satu impian untuk mencapai 6,500 pelanggan setiap bulan,” katanya sambil memberitahu, pelanggan dari Greece, Itali dan Rusia juga menunjukkan minat yang sama.

Katanya lagi, berdasarkan statistik tahun lalu, kira-kira lima peratus daripada jumlah pelancong yang memasuki Turki adalah mereka yang terlibat dalam pelancongan kesihatan.

Justeru, Emre berkata, dia meletakkan sasaran jumlah pendapatan kasar yang dijana hasil industri itu akan mencecah kira-kira AS$7 juta (RM30.4 juta) sepanjang tahun ini.

Jameel sendiri memberitahu, dia pernah mencuba pelbagai jenis ubatan bagi menghalang keguguran rambut tetapi tidak berjaya.

Impak

“Pada satu tahap, masalah keguguran rambut memberi impak yang besar terhadap penampilan anda.

“Apabila ia berlaku, anda akan mula mencari jalan penyelesaian terhadap masalah itu,” katanya.

Katanya lagi, lelaki tidak perlu bermekap kerana rupa yang sebenar boleh ditonjolkan menerusi penggayaan rambut.

Menurut Talip, mereka menawarkan pelbagai pembedahan kosmetik tetapi pembedahan pemindahan rambut merupakan bisnes utama di Clinic Expert.

“Dalam bidang perubatan, anda tidak boleh menjamin hasilnya kerana ia mungkin boleh menemui kegagalan.

“Namun, dalam proses pemindahan rambut, kegagalannya adalah sangat minimum.

“Sesiapa sahaja boleh melakukannya di klinik yang bagus dan doktor berpengalaman. Menerusi teknik yang terbaik, mereka boleh menjangkakan bahawa hasilnya mencapai 100 peratus,” tambahnya. – AFP

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47